19 Nov 2008

Fikir-Fikir : Menerima Teguran dan Nasihat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Ramai dikalangan kita yang suka memberi nasihat, teguran dan peringatan untuk kebaikan bersama. Tetapi apakah orang yang dinasihat, ditegur tersebut mahu menerimanya sebagi teguran atau nasihat? Atau apakah dia hanya mendengarnya sebagai sesuatu berupa angin lalu? Atau apakah teguran dan nasihat tadi telah dianggap satu senjata kebencian terhadapnya oleh si pemberi nasihat atau teguran tadi? Atau memang ada yang terus berubah sikap kepada lebih baik atau mengajuk berubah menjadi lebih buruk? Ada juga yang memang berazam untuk menjadi lebih baik setelah dinasihat dan ditegur tetapi akhirnya tertangguh akibat dari ketiadaan iltizam dan faktor persekitaran yang berbagai. Apakah anda bersetuju ini semuanya ialah pilihan kepada si kena tegur atau nasihat. Sama-sama kita fikirkan dan ambil jalan yang terbaik. Tapi percayalah, menerima teguran dan nasihat ini juga adalah payah bagi mereka seperti mana ada disebut dalam kitab kompilasi nasihat Imam Al-Ghazali, Ayyuhal Walad.

Semua itu tadi meruapakan tanggapan-tanggapan kita terhadap orang yang kita tegur dan nasihati. Walaupun begitu, sebagai pemberi nasihat kita tidak boleh bersikap melepaskan batok ditangga. Maksudnya, kita jangan jadikan nasihat kita tadi "terpulanglah pada engkau untuk menerimanya atau tidak". Kita diwajibakan untuk menjaga ahli keluarga kita, kaum kerabat kita untuk menjaga mereka terhindar dari api neraka, mengapa kita perlu bersikap sambil lewa dalam memberikan teguran dan nasihat? Malah orang yang memberikan nasihat tadi pernah berkata "aku dah bagitau sekali, dahlah". Jika sikap itu yang kita jadikan sebagai sandaran, nasihat bukan lagi boleh kita kategorikan sebagai amar maaruf. Si pemberi nasihat juga perlu menganjurkan nasihat tadi dalam bentuk pelajaran, didikan, pengolahan sikap dalam diri kita sendiri, barulah amar maaruf tadi kelihatan sempurna. Sebab itulah dalam program motivasi, jati diri di sekolah2 perlu kepada kaedah 'follow-up' dan latihan yang berterusan.



Nasihat dan teguran bukannnya sesuatu perkara yang boleh kita lihat hasil totalnya esok mahupun lusa. nasihat dan teguran ialah perkara yang ingin kita lihat hasilnya berpanjangan sampai bila-bila. Oleh itu, nasihat dan teguran itu juga perlu kita olah dalam bentuk amar maaruf berupa didikan dan latihan yang berterusan. Sebab itulah kesabaran itu penting.

Rakan-rakan sekalian, kita juga masih perlu belajar tentang memberi nasihat dan berusaha mengolah langkah supaya nasihat kita boleh diterima oleh orang lain. Bermula dengan memperbaiki diri.. Wallahualam..

Fikir-Fikir : Mensyukuri Nikmat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Sudah lama saya biarkan blog saya ini tidak di isi dengan maklumat dan perkongsian. Mungkin boleh saya katakan saya alpa dengan sikap saya yang bertangguh-tangguh. Sepanjang ketiadaan saya berkongsi cerita di sini, sebanarnya saya banyak berfikir dan memerhati apa yang berlaku di dunia nyata. Terlibat dengan banyak program dan tugas sebagai pekerja membuatkan saya banyak melihat dan mengalami pengalaman baru.

Sewaktu menjelajah ke hampir separuh negeri Sarawak beberapa bulan yang lalu atas urusan kerja membuatkan saya semakin mengerti akan makna syukur dan mewah dengan apa yang ada pada kita di bandar, tidak seperti mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Mereka walaupun daif kemudahan tetapi masih boleh meraut senyuman menyambut kedatangan tetamu dan mengerjakan pekerjaan harian. Walaupun mereka ini majoritinya beragama Kristian mereka tetap bersyukur cara hidup mereka seolah2 tiada stress tentang kewangan. Makan minum mereka dari tanaman yang mereka usahakan. Wang yang mereka perolehi memang cukup buat mereka menyekolahkan anak, membeli keperluan dapur lain dan mungkin sedikit untuk pengangkutan.

Cuba kita renungkan diri kita kembali sebagai seorang Islam, apakah kita yang mewah di bandar ini tidak punya rasa puas dan syukur dengan apa yang ada? Kita pasti akan menjawab kita bersyukur dengan bersolat, zikir, doa, menjaga hak itu ini, tetapi dalam diam dan tidak kita sedari kita mendengus dan merungut akan kekurangan yang kita alami waktu itu berbanding masa kita mudah dan senang malah sepanjang hari tidak senang memikirkannya. Jika itu masih ada maknanya kita perlu masih bermuhasabah tentang mensyukuri nikmat Allah yang kita nikmati. Ada pula orang yang bersyukur akan apa yang ada padanya tetapi tidak mensyukuri nikmat yang ada pada orang lain, malah merendahkan apa yang orang lain ada berbanding dirinya.

Harapnya apa yang saya bangkitkan ini kita sama-sama fikirkan dan bertindak memperbaikinya. Rakan-rakan sekalian, sebenarnya kita masih perlu belajar mensyukuri nikmat yang kita ada.. Wallahualam.

9 Jul 2008

Berdakwah Di Tengah Fitnah

Fitnah yang berlaku di negara kita kini semakin dahsyat dan mengaibkan. Mana-mana pihak yang terlibat tidak diketahui salah dan benarnya. Sudah pasti masing-masing akan membidas segala tuduhan dan tohmahan. Walaupun rakyat kebanyakkan dilihat tidak ada kena mengena langsung dengan isu yang dibangkitkan, tetapi di akhirnya kesan akan dirasai oleh rakyat, kerana ia berkaitan dengan pemimpin rakyat, urus tadbir ekonomi dan juga agama.

Setiap pemimpin sudah pasti ada penyokong masing-masing dan akan mempertahankan pemimpin mereka dari segala bahaya dan ancaman yang datang. Jadi, dalam keghairahan menyokong, mereka alpa dengan tanggungjawab menjaga adab, menghormati kawan mahupun lawan, menjaga hak ketenteraman orang lain dan lain-lain lagi.

Oleh itu, umat Islam jangan lupa berusaha untuk menghadapi keadaan ini iaitu melalui usaha dakwah, mengajak kembali sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung mahupun tidak untuk kembali kepada tuntutan agama dan setiap perkara yang dilakukan itu yang terbaik adalah bersederhana.

Umat Islam boleh melakukan beberapa perkara dalam situasi sebegini. Yang pertama sedarlah bahawa tugas kita adalah memartabatkan atau membantu agama kita ini. Bukan semata-mata memartabatkan pemimpin tertentu. Allah telah berfirman di dalam Surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela agama Allah nescaya Allah membela kamu (untuk kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. “

Selain itu, hadapilah fitnah ini dengan istiqamah (sabar dan berpendirian teguh di atas petunjuk Allah), berjihad(melawan dari menurut hawa nafsu) dan paling penting tetap berada di jalan Allah, tidak bercerai berai disebabkan fanatik kepada mana-mana pihak.

Manakala yang paling penting ialah fitnah perlu dilawan dengan doa. Inilah kekuatan yang tidak dapat dikalahkan oleh mana-mana musuh sekalipun. Berdoalah agar kita ditetapkan keimanan, diberikatan keberkatan ke atas diri kita dan keturunan kita, tenang menghadapi apa jua cabaran serta berhati-hati dan bijak dalam tindakan. Apa yang kita harapkan agar kita terus istiqamah menenangkan umat Islam di dalam apa jua keadaan. Wallahua’lam.

7 Jul 2008

Memimpin, Cara Dua ‘Umar’: Untuk Pemimpin-Pemimpin Kita (2)

Islam mempunyai banyak teladan kepimpinan antaranya daripada Khalifah Umar Al-Khattab dan cicitnya, Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Pemimpin-pemimpin yang beragama Islam di Malaysia khususnya perlu belajar daripada mereka berdua kerana majoriti mereka memimpin tampuk pemerintahan negara. Akan tetapi mengapa pula Ketua Menteri Pulau Pinang (bukan Islam) yang mengakui ingin mencontohi gerak kerja Khalifah Umar bin Abdul Aziz dikatakan tidak menghormati Islam dan menghina tokoh Islam? Apakah kita selaku orang Islam pula tidak malu pada diri sendiri iaitu enggan pula mencontohi tokoh Islam malah mengangkat tokoh-tokoh pemimpin bukan Islam seperti Abraham Lincoln, Winston Churchill, Nelson Mandela, John F. Kennedy dan lain-lain? Owh, mungkinkah mereka belum kenal siapa dua Umar ini? Apa istimewa mereka berdua ini?

Suatu ketika Utbah bin Farqad, gabenor Azerbaijan pada masa pemerintahan Umar Al-Khattab telah menjamu makanan yang ditawarkan oleh rakyatnya.

Gabenor pun bertanya”Apa nama makanan ini?”.

“Namanya hasish, ia dibuat daripada kuram dan minyak sapi”, jawab salah seorang wakil rakyatnya.

“Subhanallah, sangat sedap dan manis makanan ini. Kalau kita kirim makanan ini kepada Amirul Mukminin tentu dia gembira.”, kata gabenor.

Kemudian gabenor memerintahkan rakyatnya tadi membuat makanan yang serupa tetapi lebih enak. Setelah makanan tersedia, gabenor pun memerintahkan pula utusan supaya menghantar makanan itu kepada Khalifah Umar di Madinah. Setelah tiba di Madinah, utusan tadi terus berjumpa khalifah dan khalifah pun bertanya.

“Makanan apakah ini?”

“Makanan ini namanya hasish, Makanan paling lazat di Azerbaijan.”, jawab si utusan.

Umar bertanya lagi, “Apakah seluruh rakyat Azerbaijan dapat menikmati makanan ini?”

Si utusan pun mejawab, “Tidak, tidak semua boleh menikmatinya,”.

Umar pun segera berkata dengan tegas memerintahkan utusan itu kembali ke Azerbaijan dengan makanan itu sekali serta dengan sepucuk surat kepada gabenor. Antara isi pentingnya berbunyi;

“……makanan semanis dan selazat ini bukan dibuat daripada wang ayah dan ibumu. Kenyangkan perut rakyatmu dengan makanan ini sebelum engkau mengenyangkan perutmu.”

Dikesempatan lain, pernah pula Khalifah Umar Al-Khattab berkata.

“Aku orang pertama yang merasa lapar jika rakyatku kelaparan, dan akulah orang yang terakhir merasa kenyang kalau mereka kenyang”.

Pengajaran dari episod kedua ini ialah,

  1. Umar seorang pemimpin yang sangat peduli akan nasib dan mementingkan rakyatnya daripada kemahuan dirinya. Ini dibuktikan dengan kata-kata dan perbuatan Khalifah Umar Al-Khattab sendiri dalam pemerintahannya. Akan tetapi persoalannya disini ialah, apakah ada pemimpin kita hari ini mengikut jejak langkah beliau dalam menjaga kebajikan rakyatnya. Kalau adapun, dapat kita lihat dalam mereka memberikan kebajikan kepada rakyat, tetap juga mereka memperoleh kesenangan yang melimpah banyaknya berbanding dengan apa yang rakyat perolehi. Betapa ramai lagi rakyat Malaysia yang masih serba kekurangan tetapi pegawai tinggi kerajaan mahupun pegawai di GLC masih lagi mendapat tambahan elaun keraian dan hidup dalam kemewahan. Tindakan ini langsung tidak menjaga perasaan, hati dan perut rakyat, tambah-tambah lagi dengan menaikkan harga bahan api yang turut mengakibatkan kenaikan harga barang makanan dan keperluan asas yang lain. Secara ironisnya, sikap pemimpin ketika ini dilihat justeru sebaliknya. Mereka lebih banyak berfikir bagaimana menyenangkan ketuanya berbanding memikirkan orang bawahan. Ini disebabkan mereka mahukan kesenangan sendiri kelak hasil daripada ‘perkhidmatan’ untuk ketuanya tadi.

  1. Dapat dipetik lagi dari kisah tadi ialah, Umar melarang sikap mengampu orang atasan. Tentu tiada niat buruk gabenor Azerbaijan Utbah bin Farqad untuk mengampu ketuanya. Dia hanya ingin menyenangkan hati khalifah. Tapi, Umar Al-Khattab tidak menginginkan hal itu. Dia bukan tidak mahu dihargai tetapi dia lebih mementingkan rakyatnya. Tapi kini lain pula yang terjadi, pengampu orang atasan ada dimana-mana. Yang difikirkannya adalah bagaimana jawatan yang dia ada kekal padanya dan bagaimana untuk mendapat jawatan yang lebih tinggi daripada sekarang. Ini sekali lagi akan menjadi ketidakadilan dalam kepimpinan apabila ketuanya tadi terpaksa memberi balasan atas kesenangan yang dia dapat dari si pengampu. Hasilnya kekayaan yang ada berlegar di sekiling mereka sahaja.

Akhirnya, diperlukan pemimpin yang adil dan bebas untuk memimpin umat daripada ketinggalan. Kesejahteraan yang berlaku semasa perintahan dua Umar tersebut bukan hanya lantaran meningkatkan penghasilan rakyat, tetapi tersebarnya kekayaan secara adil dan saksama. Tanpa pemimpin adil dan bertimbang rasa, kita tidak dapat berharap rakyat akan hidup sejahtera.

p/s: Umat Melayu juga pernah dibuktikan kelahiran pemimpin yang adil kepada rakyat kerana mengikuti prinsip mengutamakan kepentingan rakyat, Sultan Alauddin Riayat Shah dan Tun Abdul Razak. Jadi tidak mustahil jika ada pemimpin negara kita kini dapat melakukan sedemikian juga.

Renungan: tapi kan.. pemimpin yang sebegini selalu wafat semasa memerintah, tempoh memerintah pendek pulak tu.. (Umar Al-Khattab – 2 tahun, Umar bin Abdul Aziz – tidak sampai 3 tahun, Sultan Alauddin Riayat Shah – 7-10 tahun, Tun Abdul Razak – 5 tahun) kenapa ek?? Mungkin tandanya Allah lebih sayang kepada mereka… Wallahualam..

Kisah akan bersambung lagi…

Memimpin, Cara Dua ‘Umar’: Untuk Pemimpin-Pemimpin Kita (1)

Disini saya ingin berkongsi cerita yang pernah saya ketahui. Kisah ini sudah lama tertimbus dan terbenam serta hampir dilupakan. Kisahnya ringkas tetapi punya pengajaran dan iktibar yang sangat mendalam untuk kita hayati dan praktik bersama, lebih-lebih lagi dengan situasi politik dan kepimpinan negara yang terkini sangat membimbangkan kita. Diharap anda membaca kisah ini hingga ke akhirnya.

Kisah bermula ketika era pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, seorang Khulafa’ Ar-Rasyidin yang sangat saya kagumi. Khalifah Umar dikagumi sebagai seorang khalifah yang berjiwa rakyat, sering berjaga malam, merayau-rayau di sekitar Madinah untuk melihat keadaan rakyatnya di waktu malam.

Pada suatu ketika menjelang subuh, setelah letih merayau-rayau meneliti keadaan rakyatnya, Amirul Mukminin ini duduk bersandar pada sebuah tembok rumah kecil di hujung kota Madinah. Dia berehat seketika sebelum meneruskan perjalanannya menuju ke Masjid Nabawi untuk solat subuh, terdengar suara sayup-sayup perbicaraan dua anak beranak, si ibu dan anak puterinya. Kedengaran seperti perbalahan kecil antara keduanya.

Si ibu berkata, “Campurkanlah susu itu dengan air!”.

“Amirul Mukminin melarang susu campuran. Apakah ibu tidak mendengar dia melarang perbuatan itu?” ujar puterinya.

“Umar tidak melihat kita. Dia tidak mungkin mengetahui perbuatan kita di penghujung terakhir malam ini.”, jawab si ibu.

Kemudian puterinya menjawab lagi, “Wahai ibu, seandainya Umar tidak melihat kita, tetapi Tuhan Umar melihat kita. Sungguh demi Allah, aku tidak akan melakukannya. Allah juga melarang perbuatan itu”

p/s : Susu tersebut kegunaanya ialah untuk urusan jual beli.

Pernyataan gadis itu menjadi penyejuk bagi hati Khalifah Umar. Kemudiannya dia meneruskan perjalanannya menuju ke Masjid Nabawi untuk bersolat subuh berjemaah. Selesai solat subuh, khalifah pun pulang ke rumah. Kata-kata gadis tadi masih terngiang-ngiang di terlinganya, “Seandainya Umar tidak melihat kita, tetapi Tuhan Umar melihat kita.”

Umar pun memanggil seorang anak puteranya yang ingin berkahwin, yang bernama ‘Ashim. Lalu Umar pun berkata dengan saranan mengunjungi rumah gadis itu, “Wahai anakku, pergilah dan nikahlahi dia. Aku tidak melihatnya, kecuali mendapatkan keberkatan. Semoga dia melahirkan zuriat yang akan memimpin Arab”.

‘Ashim pun menikahi gadis miskin yang wara’ itu. Gadis itu bernama Ummu Ammarah binti Sufyan bin Abdullah bin Rabiah ats-Tsaqafi. Hasilnya,pernikahan tersebut lahirlah seorang puteri yang mereka namakan Laila, atau dipanggil Ummu ‘Ashim. Ummu ‘Ashim kemudiannya berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan. Hasil pernikahan inilah lahirlah seorang khalifah yang zuhud, bertaqwa dan wara’ iaitu Umar bin Adul Aziz. Di dalam diri Umar bin Abdul Aziz mengalir darah Umar Al-Khattab.

Pengajaran dari episod pertama ini ialah,

  1. Khalifah Umar Al-Khattab merupakan susuk khalifah Islam yang tiada tolok bandingnya dalam menjaga kebajikan rakyat. Apabila ada pemimpin yang bertaqwa dan wara’, maka akan ada juga rakyat yang bertaqwa dan wara’ seperti Ummu Ammarah tadi.

  2. Berkat. Islam mempunyai isu berkat. Isu berkat tidak diajar dalam sains, dan juga tidak dapat dibuktikan melalui kajian dalam makmal-makmal sains. Contohnya, kata doktor kepada pesakit untuk mengambil pemakanan sihat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, tetapi ia cuma terhad kepada khasiatnya sahaja sekiranya ia datang dari usaha yang haram mahupun terlarang. Lain pula dengan saranan Islam supaya mengerjakan ibadah seperti berdoa, berpuasa, berusaha mendapatkannya dari jalan yang halal, bertawakkal, dan bersolat semata-mata untuk mendapatkan keberkatan dari Allah juga. Maka, hasil daripada inilah datangnya berkat. Berkat daripada Umar Al-Khattab yang melempar jauh-jauh syirik dan bulatkan hatinya hanya kepada Allah melahirkan keturunan yang cemerlang seperti cicitnya Umar bin Abdul Aziz. Oleh itu rakyat juga sangat berharap pemimpin kita pada hari ini memikirkan dahulu soal berkat ini dalam bertindak yang akhirnya akan menguntungkan rakyat serta mengundang rahmat Allah di akhirat kelak.

Kisah akan bersambung…

1 Jul 2008

Majnun, Jin, Rasukan apa kaitannya?? Apa pula penyembuhnya?

Terdetik rasanya untuk berbicara tentang rasukan, jin dan sebagainya, kerana teringat dengan nasib seorang sahabat karib di Kuching yang kini 'menderita' akibat daripada rasukan. Moga Allah melindunginya dan menyembuhkannya. Disini saya kongsikan sebuah emel yang saya dapat suatu ketika dahulu tentang tajuk di atas.

Didalam Al-Quran banyak terdapat kalimat 'majnun' (maksudnya gila atau rasuk) yang terbit dari perkataan janna. Janna pula bermaksud menutupi dan satu-satunya ayat mengandunginya berbunyi,

"Apabila malam menutupi di atasnya, dia (Ibrahim) melihat satu bintang dan berkata, 'Ini Pemeliharaku.' Tetapi apabila ia terbenam, dia berkata, 'Aku tidak menyukai yang terbenam.'" (6:76)

Satu lagi kata terbitan bagi janna ialah jann, bermaksud jin. Ia merupakan satu daripada tiga kalimat yang apabila diterjemah menjadi jin. Sila lihat Kalimat Jin di dalam al-Qur'an.

Justeru, dalam kerasukan terdapat unsur menutupi dan pengaruh jin. Lantas orang-orang yang dirasuk didapati tidak sedarkan diri sambil melakukan sesuatu di luar kemampuan.

Percaya kepada kerasukan boleh dikatakan dapat dikesan di seluruh pelusuk dunia. Di kalangan masyarakat paling maju atau moden pun kepercayaan tersebut difahamkan hadir di sesetengah golongannya pada hari ini.

Manusia sudah lama mempercayai kerasukan. Daripada ayat-ayat al-Qur'an diketahui bahawa ia dipercayai sejak zaman Nabi Nuh lagi apabila baginda telah dikatakan dirasuk. Nabi Musa dan Nabi Muhammad juga disifatkan sebagai orang-orang dirasuk. Malah, semua rasul telah agak dirasuk sesuatu oleh kaum mereka.

Orang-orang dikatakan dirasuk, seperti disebut di dalam al-Qur'an, adalah para rasul iaitu mereka yang menyampaikan ayat-ayat Allah. Itu pertuduhan kaum mereka yang tidak menerima utusan para rasul tersebut. Di samping itu mereka dikaitkan pula dengan ahli sihir atau tukang tilik.

Ia berbeza dengan kerasukan dalam masyarakat Melayu, di mana orang-orang dirasuk tidak menyampaikan ayat-ayat Allah, tetapi bercakap yang bukan-bukan, serta berada dalam keadaan sakit, termasuk sakit jiwa, dan sama dengan al-Qur'an pula, terdapat unsur ilmu hitam, umpamanya sihir dan menilik, dilakukan oleh bomoh yang merawat.

Selain dirasuk, para rasul turut dilihat sebagai orang-orang kena sihir. Empat contoh ayat mengenainya diturunkan di bawah:

"Kami sangat mengetahui bagaimana mereka mendengarkannya, apabila mereka mendengarkan kamu, dan apabila mereka berbicara rahsia, apabila orang-orang yang zalim berkata, 'Kamu hanyalah mengikuti seorang lelaki yang kena sihir.'" (17:47)

"dan Firaun berkata kepadanya, 'Wahai Musa, aku menyangka kamu orang yang kena sihir.'" (17:101)

"Mereka berkata, 'Kamu (Salleh) hanyalah antara orang-orang yang kena sihir,'" (26:153).

"Mereka berkata, 'Kamu (Shuaib) hanyalah antara orang-orang yang kena sihir,'" (26:185).

Begitu juga keadaan orang-orang dikatakan dirasuk dalam masyarakat Melayu, mereka kelihatan bagai kena sihir.

Rasuk atau sihir dikaitkan dengan makhluk ghaib, jin dan syaitan. Mengenai jin, ia didapati mempunyai kuasa luar biasa, sebagaimana disebut di dalam ayat berbunyi,

"Ifrit, daripada jin, berkata, 'Saya akan mendatangkannya kepada kamu sebelum kamu berdiri dari tempat kamu; saya mempunyai kekuatan untuknya, dan saya dipercayai.'" (27:39)

Ifrit mengatakan dia mampu mendatangkan singgahsana Ratu Sabak dari negerinya dan meletakkan ia di hadapan Nabi Sulaiman (di Babylon) sebelum baginda bangun dari tempat duduk.

Pengaruh jin pada orang-orang dirasuk dapat dilihat apabila mereka mampu melakukan sesuatu di luar kebolehan mereka, misalan menari, melompat, menjerit, mengilai, atau bercakap dalam bahasa asing.

Golongan jin juga difahamkan membuat bisikan jahat ke dalam dada manusia. Firman Allah,

"Daripada kejahatan pembisik yang menyelinap, Yang membisikkan di dalam dada manusia, Daripada jin dan manusia." (114:4-6)

Kadang kala, orang-orang dirasuk dikatakan kena buat oleh orang lain. Lalu terbit perbuatan menuduh tanpa sebarang bukti. Demikian satu contoh bisikan jahat daripada jin dalam kes kerasukan.

Sementara golongan syaitan pula, daripada al-Qur'an, mereka didapati mengajar manusia ilmu sihir, dan bagaimana mereka boleh memecahkan seorang lelaki dan isterinya. Al-Qur'an menjelaskan,

"Dan mereka mengikuti apa yang syaitan-syaitan membacakan semasa kerajaan Sulaiman. Sulaiman bukan tidak percaya (kafir) tetapi syaitan-syaitanlah yang tidak percaya, dengan mengajar manusia sihir, ..... mereka belajar bagaimana mereka boleh memecahkan seorang lelaki dan isterinya," (2:102)

Ilmu sihir memang wujud dalam kepercayaan kerasukan orang Melayu. Contoh, benda seperti jarum, dan sebagainya, yang dikeluarkan oleh bomoh daripada tubuh orang-orang dirasuk.

Atas perbuatan syaitan mengenai lelaki dan isterinya pula, contohnya ialah keretakan sebuah rumah tangga, setelah suami berbaik-baik dengan bomoh yang merawat isterinya yang sakit (penyakit isterinya mampu dirawat oleh doktor). Keretakan menjadi serius apabila suami berkahwin seorang perempuan lebih muda dan meninggalkan isteri pertama.

Melencong sekejap untuk menyentuh mengenai sihir. Al-Qur'an menjelaskan, sihir adalah perbuatan yang menyihir mata-mata manusia, dan ia boleh menimbulkan perasaan takut. Ayat-ayat berkaitan adalah:

"Dia (Musa) berkata, 'Lemparlah kamu.' Dan apabila mereka (ahli-ahli sihir) melempar, mereka menyihir mata-mata manusia, dan menjadikan takut pada mereka, dan mendatangkan sihir yang besar." (7:116)

"Berkata, 'Tidak, kamu lemparlah!' Dan tiba-tiba ia, seolah-olah nampak kepadanya, daripada sihir mereka, tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka merayap," (20:66).

Itu kisah Nabi Musa dengan ahli-ahli sihir Firaun, di mana tongkat-tongkat dan tali-tali, pada pandangan mata, menjadi ular-ular yang merayap.

Balik kepada bicara mengenai syaitan. Makhluk ini menakut-nakutkan manusia. Lantaran itu, Allah mengingatkan supaya jangan takut kepada mereka tetapi takut kepada-Nya dan menjadi orang-orang mukmin (yang mempercayai ayat-ayat-Nya). Firman Allah,

"Itu adalah syaitan yang menakut-nakutkan sahabat-sahabatnya, maka janganlah takut pada mereka, tetapi kamu takutilah Aku, jika kamu orang-orang mukmin." (3:175)

Syaitan menggoda manusia hingga menjadi bingung. Mereka diutus kepada orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah untuk menyucuk sesuatu yang tidak baik. Sila lihat dua ayat di bawah:

"Seperti orang yang digoda hingga kebingungan di bumi oleh syaitan-syaitan," (6:71)

"Tidakkah kamu melihat bagaimana Kami mengutus syaitan-syaitan terhadap orang-orang yang tidak percaya untuk menyucuk mereka, dengan cucukan?" (19:83)

Suami yang isterinya sakit tadi telah digoda dan dicucuk hingga berkahwin baru. Sementara isterinya, semasa sakit dalam tempoh agak panjang, timbul perasaan benci terhadap suami hingga enggan melihat mukanya. Keadaan dia seolah-olah dirasuk. Bomoh yang mereka percayai mengiakannya pula. Tapi sebab sebenar ialah si suami selalu balik lambat kerana melayan orang lain termasuk perempuan-perempuan.

Syaitan akan masuk ke dalam khayalan manusia, ketika manusia memikirkan sesuatu tidak berguna. Ayat yang menjelaskan berbunyi,

"apabila dia berkhayal, syaitan melemparkan ke dalam khayalannya;" (22:52)

Kedua-dua suami isteri tadi telah dimasuki syaitan dalam fikiran atau khayalan mereka yang berlainan.

Syaitan adalah daripada golongan jin dan manusia. Firman-Nya,

"syaitan-syaitan daripada manusia dan jin," (6:112)

Justeru, apa yang agak dilakukan oleh jin tadi adalah sebenarnya perbuatan syaitan. Dan bomoh yang melakukan sihir ialah satu contoh syaitan jenis manusia. Mereka tidak harus didampingi kerana mereka, pada hakikatnya, tidak beruntung. Firman bermaksud,

"ahli-ahli sihir tidak beruntung." (10:77)

Besar kemungkinan bomoh akan menggunakan makhluk jin dalam rawatannya. Dalam hal ini, teringat satu peringatan daripada Allah berbunyi,

"Tetapi ada lelaki-lelaki tertentu daripada manusia yang meminta perlindungan kepada lelaki-lelaki tertentu daripada jin, dan mereka menambahkan mereka dalam kekejian," (72:6)

Pertolongan atau perlindungan daripada jin hanya menambahkan dalam kekejian. Tidak pula disebut di situ sama ada ia jin islam atau kafir. Apapun, islam atau kafir, hanya Allah yang mengetahui. Peringatan Allah selanjutnya mengenai hubungan manusia dengan jin berbunyi,

"Dan orang-orang yang tidak percaya berkata, 'Wahai Tuhan kami, perlihatkanlah kepada kami mereka yang menyesatkan kami, kedua-dua jin dan manusia, dan kami akan meletakkan mereka di bawah kaki kami supaya mereka menjadi antara orang-orang yang lebih rendah.'" (41:29)

Mungkin ada orang menyebut mengenai Nabi Ayub yang disentuh syaitan. Jika begitu, kini diturunkan ayat-ayat bersabit:

"Dan ingatlah akan hamba Kami, Ayub; apabila dia memanggil Tuhannya, 'Sesungguhnya syaitan menyentuhku dengan keletihan dan azab.'
'Hentakkanlah kaki kamu! Ini adalah satu tempat mandi yang dingin, dan satu minuman.'
Dan Kami memberikan dia keluarganya, dan yang serupa dengan mereka bersama mereka sebagai satu pengasihan daripada Kami, dan peringatan, bagi orang-orang yang mempunyai minda.
Dan, Ambillah di tangan kamu seikat rumput, dan pukullah dengannya, dan janganlah melanggar sumpah kamu.' Sesungguhnya Kami mendapati dia seorang yang sabar. Seorang hamba yang sangat baik! Sesungguhnya dia orang yang kembali." (38:41-44)

Ayat-ayat tidak menunjukkan bahawa Nabi Ayub dirasuk. Cuma disentuh syaitan sahaja. Mungkin baginda telah membuat suatu kesilapan terhadap Allah, seperti tidak menepati sumpah, akibat sentuhan syaitan, serupa penggodaannya terhadap Adam dan isteri. Lalu, seperti Adam dan isteri, baginda dihukum, bukan dengan dibuang negeri tetapi dengan keletihan, kesakitan, dan kehilangan ahli keluarga.

Yang menarik perhatian ialah air dari bumi untuk baginda mandi dan minum supaya menyembuhkan sentuhan syaitan.

Terapi air bagi sesetengah jenis perubatan atau rawatan adalah satu cara dalam proses penyembuhan. Al-Qur'an ada menyebut lagi mengenai air, iaitu air dari langit, untuk menghilangkan kecemaran syaitan. Ayat berbunyi,

"Apabila menjadikan tidur nyenyak menutupi kamu sebagai keamanan daripada-Nya, dan menurunkan kepada kamu air dari langit untuk membersihkan kamu dengannya, dan untuk menghilangkan daripada kamu kecemaran syaitan, dan untuk menguatkan hati kamu, dan untuk memperteguhkan kaki kamu dengannya." (8:11)

Konteks ayat ialah semasa perang. Pun begitu, mungkin kandungannya mengenai air dan tidur nyenyak boleh dipakai untuk rawatan bagi menghilangkan kecemaran syaitan. Tentang air dari langit adalah dirasakan tidak begitu perlu menadah air hujan kerana air paip pun dari langit juga.

Golongan manusia yang kerap dilanda kerasukan adalah mereka yang mempercayainya lebih daripada mempercayai Allah dan kuasa-Nya. Mereka takut kepada syaitan lebih daripada menakuti Allah. Mulut mereka tidak sunyi menyebut mengenai rasuk, buatan orang, dan seumpamanya, terutama apabila sesuatu berlaku kepada ahli keluarga atau kenalan. Sebutan menjadi basahan lalu mudah bagi syaitan jenis jin dan manusia mengambil kesempatan.

Kerasukan berlaku hanya dengan izin Allah. Maka kepada-Nya dipohon perlindungan, iaitu perlindungan daripada syaitan. Lafaz yang diajar-Nya ialah:

"Wahai Pemeliharaku, aku berlindung pada Engkau daripada cadangan-cadangan jahat syaitan-syaitan,
Dan aku berlindung pada Engkau, wahai Pemeliharaku, daripada mereka hadir padaku.'" (23:97-98)

Perlindungan yang dipohon adalah daripada cadangan-cadangan jahat syaitan-syaitan, dan daripada mereka hadir pada diri si pemohon.

Dua surah al-Qur'an terakhir turut mengandungi permohonan perlindungan daripada Allah. Tentang perlindungan yang dipohon adalah jelas disebut di dalamnya. Mereka berbunyi,

"Aku berlindung pada Pemelihara yang membelahkan (pada waktu dinihari),
Daripada kejahatan apa yang Dia cipta,
Daripada kejahatan kegelapan apabila ia gelap,
Daripada kejahatan orang (perempuan) yang meniup pada ikatan,
Daripada kejahatan pendengki apabila dia dengki." (113:1-5)

"Aku berlindung pada Pemelihara manusia,
Raja manusia,
Tuhan manusia,
Daripada kejahatan pembisik yang menyelinap,
Yang membisikkan di dalam dada manusia,
Daripada jin dan manusia." (114:1-6)

Namun begitu, perlindungan yang paling baik ialah percaya kepada ayat-ayat Allah yang terkandung di dalam al-Qur'an, serta mengamalkannya, supaya Dia tidak mengutus syaitan-syaitan kepada kita.

Dengan peringatan itu bicara mengenai rasuk dan penyembuhnya berakhir, dan penulis sedia dibetulkan.

Terima kasih. Wallahua'lam.

22 Mei 2008

Faham Kehidupan Dan Bahasa

Kesempatan saya ke Jakarta pada bulan lalu banyak membuka mata hati saya untuk lebih memahami erti kehidupan. Kehidupan di kota Jakarta sama sekali tidak sama dengan ibu negara lain seperti Kuala Lumpur. Dengan kepadatan penduduk Jakarta yang sama banyak atau lebih dari penduduk di Malaysia itu menagih supaya setiap warganya berusaha setiap hari untuk mendapatkan rezeki tapi bukan dengan cara meminta sedekah, menadah tangan atau tin kosong!

















Mengambil upah memayung ketika hujan (melintas jalan), menjual majalah (dalam bas) dan menjual keropok...


Rata-ratanya mereka berusaha bermain muzik, menjual majalah atau keropok dari kereta ke kereta, menghibur penumpang di dalam bas, mengambil upah dan sebagainya. Itulah makna mencari erti hidup, yakni berusahalah dengan usaha sendiri. Hasil dan pulangan (rezeki) terpulanglah pada Tuhan untuk memberikannya kepada kita. Jangan kita lupa pula untuk bersyukur kepada-Nya.



Saya tertarik pada satu ‘papan iklan’ di tepi jalan sewaktu dalam perjalanan ke Hotel Atlet Century, Senayan, tertulis “Berbanggalah Menggunakan Bahasa Indonesia”. Mulanya saya hanya terdetik ‘hmm.. bagus..’ hinggalah saya sendiri merasakan impaknya bila bergaul, melihat, mendengar, membaca dan merasa kesannya kepada kehidupan rakyat Indonesia sendiri termasuk orang bangsa asing yang ada di situ. Martabat bahasa mereka terletak jauh lebih baik dari bahasa kebangsaan kita. Buku-buku yang banyak terdapat di gedung-gedung buku pula adalah buku terjemahan ke Bahasa Indonesia dari pelbagai judul asal berbahasa Inggeris. Penggunaan bahasa kebangsaan mereka jauh lebih meluas berbanding kita. Itu realiti.

Oleh itu, saranan berbagai pihak di dalam negara kita ini harus di ambil perhatian oleh Kerajaan Malaysia untuk memartabatkan bahasa kebangsaan kita (Bahasa Melayu). Jangan sampai generasi mendatang terhakis akan identiti bangsanya melalui bahasa. Bahasa itu dipraktik dalam percakapan, pembacaan dan penulisan. Semakin luas penggunaannya semakin tinggilah darjatnya. Saya sarankan ‘Berbanggalah kita dengan Berbahasa Malaysia’. Terjemahkan dan luaskan melalui penulisan dan pembacaan. Manakala percakapan itu sudah pasti.

16 Mei 2008

PTD Assessment Center (PAC)

Entri ini sengaja saya lambatkan kerana ingin menjaga etika rahsia sebagai seorang yang telah menjalani PTD Assessment Center (PAC) pada minggu lepas kerana hari ini (16 Mei 2008) akan ada lagi kumpulan terakhir akan ber’PAC’ di seluruh Malaysia. Saya tidak akan menceritakan strategi aktiviti yang kami lakukan tetapi sekadar berkongsi emosi dan rasa ketika berada di PAC tersebut. di Kolej Multimedia Telekom Kuching pada 9-11 Mei 2008 yang lalu.

Saya pulang ke Kuching pada 8 Mei 2008 untuk menghadiri PAC bagi penapisan pengambilan untuk lantikan ke jawatan Pegawai Tadbir Dan Diplomatik (PTD) 2008. Ini merupakan kepulangan saya yang ketiga tahun ini. Seronok rasanya dapat pulang ke Sarawak. Saya berada di Sarawak selama 6 hari; 3 hari khusus untuk PAC manakala 3 hari lagi khusus untuk bersama keluarga dan sahabat handai yang sempat saya ziarahi.

Segala puji bagi Allah kerana saya telah lulus Ujian PTD M41 yang lalu yang mana entrinya ada saya nukilkan di blog ini (disini). Jika hendak dikatakan saya lulus untuk terpilih ke PAC ini adalah kerana apa yang telah saya lakukan di Ujian PTD M41 yang lalu, mungkin ada kebenarannya, kalau tidak masakan boleh terpilih ke PAC?

Saya tiba di Kuching pada pagi 8 Mei 2008, sempat lagi untuk membuat persiapan terakhir sebelum ke PAC. Mana tidaknya, surat panggilan ke PAC itupun saya belum pernah lihat lagi. Saya hanya diberitahu oleh ayah saya mendapat panggilan ke PAC di Sarawak pada 9-11 Mei 2008 dan tiket penerbangan segera saya tempah selepas itu.

Rupa-rupanya, surat itu mengatakan bahawa sesiapa yang hendak hadir ke PAC hendaklah menelefon urusetia PAC untuk ‘confirmation’ selewat-lewatnya 8 Mei 2008 iaitu hari ini! Waduh! Nasib baik sempat lagi… dan selepas itulah baru saya tahu tempat PAC Sarawak telah ditukar ke Kolej Multimedia Telekom, Jalan Sultan Tengah, tidak seperti di dalam surat supaya mendaftar di INTAN Sarawak, Jalan Badruddin.

Petangnya saya sempat lagi membeli pakaian sukan kerana saya pulang tidak membawa baju sukan lebih-lebih lagi yang berkolar dan berwarna putih. Langsung tiada. Pada malamnya, keletihan selepas perjalanan pulang masih terasa, malam itu tidak sempat berbuat apa-apa, terus lena diulit mimpi selepas solat isya’.

Saya ke PAC dengan tergesa-gesa kerana pendaftaran berakhir pada jam 11 pagi. Saya keluar dari rumah pada pukul 10.30 kerana pagi itu saya sibuk menggosok setiap pakaian yang hendak dibawa, almaklumlah PAC nakkan semua calon menggunakan pakaian pejabat yang kemas, tiada pakaian lain, aktiviti malam pun kena pakai tali leher! Perjalanan ke kolej tersebut dari rumah saya hanya 15 minit.

Saya tiba di Kolej Multimedia Telekom pada jam 10.50 pagi. Lega kerana masih sempat. Tiba sahaja terus mendaftar bilik asrama dan ukur berat serta tinggi. Nampaknya ada seorang yang lagi datang ‘tepat’ pada masa ‘puncaknya’, kami jadi rakan sebilik. Kami sama-sama mendaftar dan alangkah bertuahnya, rakan saya tadi adalah calon yang ke 99 yang mendaftar manakala saya lagilah bertuah kerana saya adalah calon yang ke 100 mendaftar pada pagi itu. Jadi, sepanjang PAC itu saya memakai tag nombor 100 sebagai tanda nama. Selepas pendaftaran kami diberitahu jumlah calon yang mendaftar ialah genap seratus orang dan sayalah orang yang keseratus itu… =P Saya rasa sayalah yang paling unik kerana satu-satunya calon yang memakai nombor 3 digit.

Rakan satu sekolah


Apa yang boleh saya perkatakan tentang PAC ialah satu peringkat penilaian para calon PTD untuk kebolehan mengeluarkan pendapat yang bernas serta berisi, lancar dalam pengucapan awam (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris), spontan dalam mengeluarkan hujah dan fakta, bijak bertindak dan bekerjasama dalam membuat keputusan secara berkumpulan, YAKIN pada diri sendiri (keyakinan ini boleh saya katakan sebagai keyakinan bersuara, tidak tergagap-gagap, jelas kata dan ayat), cergas tubuh badan, peka kepada isu semasa, penguasaan Bahasa Melayu dan Inggeris yang baik, penilaian emosi dan mental dalam mengeluarkan hujah dan idea dan tegas dalam pendirian.

Seseorang calon tidak perlu untuk bersikap terlalu dominan dalam setiap tindakannya dalam berkata-kata sehingga menenggelamkan orang lain. Seseorang yang pendiam pula tidak semestinya akan menjadi calon yang pasif dan gagal dalam PAC jika pendapatnya bernas lagi berisi bila bersuara walaupun hanya sekali, kerana orang sebegini adalah orang yang tahu menggunakan kata-kata untuk mempengaruhi ahli mesyuarat betul pada masanya. Bagi saya untuk menjadi calon yang sebegini pola pemikirannya hendaklah analitik dan menyeluruh dalam menilai masalah dan penyelesaian.

Tengok nombor-nombor mereka, kebetulan duduk bersama sewaktu minum malam

Ada rakan-rakan yang berpendapat bahawa mereka susah untuk berbahasa Melayu baku berbanding bertutur di dalam bahasa Inggeris. Mengapa ini terjadi? Saya rasa ini disebabkan kurangnya praktik bertutur mahupun penulisan dalam bahasa kebangsaan serta kurangnya membaca bahan bacaan ilmiah berbahasa Melayu di dalam masyarakat kita. Nah, di sini timbul lagi persoalan di manakah kita meletakkan martabat bahasa kebangsaan kita dalam diri kita? Peranan kerajaan dalam memartabatkan bahasa kebangsaan pula bagaimana? Terpulang pada anda untuk berfikir akan kesannya pada masyarakat kini.

Semua aktiviti yang dijalankan memerlukan penguasaan bahasa Melayu yang baik, tidak dinafikan juga keperluan berbahasa Inggeris. Kami dinilai dalam aktiviti wacana intelektual, pengucapan awam, public speaking, simulasi mesyuarat dan akhir sekali debat ala parlimen.

Apa yang saya harapkan dan doakan ialah hanya calon-calon yang layak dan berkreadibiliti sahajalah yang terpilih. Begitu juga saya mengharapkan calon-calon yang terpilih untuk ke peringkat seterusnya selepas ini dapat memberikan yang terbaik dan bijak dalam memilih arah tuju hidup apabila bergelar PTD. Saya berpendapat bekerjaya sebagai PTD sememangnya lumayan dan mempunyai kelas tertentu, tetapi cabarannya juga banyak dan berliku. Menjadi orang penting kementerian dan jabatan kerajaan termasuk agensi-agensi di bawahnya bukan kerja mudah. PTDlah yang menentukan dasar pentadbiran negara, mengawal dan memimpin 'anak buah' atau kakitangan di bawahnya. Masa yang dikorbankan juga sudah pasti akan mengambil masa berkualiti untuk keluarga, anak-anak, jemaah, masyarakat dan sebagainya. Almaklumlah selepas bergelar PTD akan ada bermacam-macam skim yang perlu diikuti, DPA selama 6 bulan, latihan itu ini, dan tidak ketinggalan jika terpilih untuk manjadi pegawai di kedutaan Malaysia di luar negara. Jika mahukan barang yang lumayan nampaknya perlu membayar dengan harga yang lumayan juga. Jadi, fikir-fikirkanlah antara kerjaya, wang, masa bersama keluarga, jemaah dan masyarakat. Begitulah hakikatnya. Saya teringat, awal-awal lagi saya sudah dipesan oleh seorang rakan sebelum saya ke PAC, pesanan yang nyata dan terang. 'Kalau ngko jadi PTD kelak, janganlah ngko jadi korup macam ada yang lain, aku harap macam tu lah, tapi aku percaya kat ngko, jadilah public servant yang amanah'. Bagi saya tidak kira kita bekerja sebagai apa sekalipun, jadilah 'public servant' dan paling utama 'Allah servant' yang amanah. Begitulah serba sedikit tentang PAC.

Ayah dan adik sewaktu mendaftar di IKMAS

Kepulangan saya ke Kuching kali ini tidak banyak memberikan kesempatan kepada saya bertemu rakan-rakan PERKEPIS dan ABIM Sarawak, cuma seorang dua sahaja. Tapi 'quality times' tersebut banyak saya habiskan bersama keluarga, antaranya menghantar adik saya yang lepasan SPM mendaftar di Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak, IKMAS. Dia mengambil Diploma Pengajian Islam dan Dakwah selama 3 tahun. Apa yang saya harapkan adik saya akan menjadi permata keluarga dan masyarakat dalam mengukuhkan Islam dan dakwah di bumi Sarawak kelak. Wallahua’lam.

12 Mei 2008

Si Empat Khalifah, Terima Kasih!


Apabila saya membuka laman fotopages saudara Anwar Shazali, saya terlihat gambar ini dan terus tersentuh lalu tergelak kecil [ sori rol, aku copet gambar tok dari kau.. tapi syukran coz ngambik gambar ya, aku rasa rugi jak sekda sama ngan kitak urang malam ya.. isk, isk.. ='( ]

Mereka ialah guru saya, yang bertanggungjawab menarik saya mengerti serta terlibat dalam jalan jemaah dan dakwah.. Banyak kenangan indah suka duka bersama mereka dahulu, mewujudkan dan menggerakkan Akademi Bestari Muda. Nama ABM, sesiapa yang pernah mengenalinya dan mengetahuinya pasti terimbau dengan segala aktiviti dan ragam orang di dalamnya. Ditambah dengan ragam ahli apatah lagi mereka yang 4 ini.. =D

Kini ABM masih lagi aktif, terima kasih adik-adikku.. Teruskan Perjuangan!!

[Empat khalifah itu ialah (dari kiri), Ustaz Suhardi Hj. Edward (nya tok peramah dan pemurah, lemah lembut juak macam Saidina Abu Bakar), Ustaz Hj. Husaini Hamdan (nya tok pemurah dan tegas juak kata-kata dan tindakannya macam Saidina Umar), Ustaz Hj. Khalidi Ibrahim (nya tok nang bijak, pintar, cerdit sik salah ada embah2 karakter Saidina Ali) dan last sekali Ustaz Suharman Hj. Edward (nya tok sentimental dan lembut tapi malu macam Saidina Uthman) hehe.. Terima Kasih Ustaz!!] Allahu Akbar!! 3x... WaliLlahilhamd..

30 Apr 2008

Seminar Ta'dib Islami Siri 4 - Akal Dalam Pandangan Hidup Islam: Satu Tinjauan Ringkas

Ahad 27 April 2008 - Seperti biasa, sekali dalam sebulan saya pasti akan memberikan masa untuk diri saya hadir ke program Seminar Ta’dib Islami anjuran APPIM PKPIM dan ABIM, di Anjung Rahmat. Seminar kali ini merupakan siri keempat semenjak ia dimulakan pada bulan Januari yang lalu dan kekerapannya pula sekali sebulan. Tajuk yang dibicarakan juga semuanya berkisar kepada pemikiran, isu semasa dan sudah pasti berkait rapat dengan ‘pandangan alam’ Islami. Tidak dapat tidak apabila mengikuti perbincangan seperti ini memerlukan penilaian dan fokus yang padu supaya apa yang disampaikan dapat kita fahami dan hadami untuk kita ambil sebagai kesedaran mahupun penghayatan.

Sepanjang 4 kali seminar ini diadakan, 8 buah tajuk telah dibincangkan antaranya:

Januari 2008:

Pengenalan Pandangan Hidup Islam
(Prof Madya Dr. Muhammad Zainiy Uthman)

Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIAM

Masalah Dalaman Kaum Muslimin
(Dr. Wan Suhaimi Wan Abdullah)
Akademi Pengajian Islam, UM

Februari 2008:

Kefahaman Agama Dalam Masyarakat
(Prof. Madya Dr. Abdul Halim Muhammady)
Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Ummat

Penganut Kristian Guna Istilah ALLAH : Kajian Kes Salah Guna Bahasa
(Dr. Mohd Sani Badron)
Fellow Kanan/Pengarah Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Mac 2008:

Punca-punca Kekeliruan Dalam Ilmu dan Pengislahan
(Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Mohd Daud)
Professor dan Mantan Timbalan Pengarah di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC)

Pilihanraya Umum ke 12 : Ke Mana Malaysia
(Sdr. Marzuki Mohammad)

Ahli Jawatankuasa Pusat ABIM Pusat dan Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

April 2008 :

Akal dalam Pandangan Hidup Islam: Satu Tinjauan Ringkas
(Dr. Mohd Zaidi Ismail)

Pengarah Pusat Sains dan Teknologi di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Isu-isu Utama Dalam Dialog Antara Agama
(Prof Madya Dr. Kamar Oniah Kamaruzzaman)

Presiden Interactive Muslimah Network (IMAN) dan Prof. Madya di UIAM

Kali ini saya terpanggil untuk berkongsi kepada anda tentang apa yang saya dapat pada seminar kali ini. (Dulu saya tak bersedia nak tulis kat blog takut2 kalau ada yang disalah fahami apa yang didengar dan ditulis sendiri, tapi kini dah ada ‘voice recorder’ boleh la rujuk kalau tak pasti, hehehe.. so tak ragu dengan apa yang ditulis di sini kerana semuanya sahih dari lidah penceramah…)

Slot pertama Seminar Ta’dib Islami Siri 4 mengenengahkan topik Akal dalam Pandangan Hidup Islam: Satu Tinjauan Ringkas yang dibentangkan oleh Dr. Mohd Zaidi Ismail, Pengarah Pusat Sains dan Teknologi di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Dr. Mohd Zaidi membentangkan perbincangan beliau dengan merujuk kepada makallah tulisan Dr. Mohd Faid Mohd Shahran bertajuk Akal Dan Kedudukannya Dalam Islam dan dilengkapkan pula oleh makalah ringkas beliau, Faham Akal Dalam Islam dan Barat: Satu Tinjauan Ringkas.



Al-Quran meletakkan akal pada kedudukan yang amat tinggi. Akal dikaitkan di dalam Al-Quran dengan “Al-‘Ilm” iaitu ilmu. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa perupamaan akal dan ilmu itu seperti buah yang terbit dari satu pohon, seperti sinar yang muncul dari mentari dan seperti penglihatan yang terhasil dari mata. Dapat di fahami bahwa, Ilmu yang bermanfaat itu terbit daripada akal yang bersih dan baik.

Faham akal ialah perkara yang paling penting. Akal yang dijadikan Allah untuk manusia merupakan suatu alat yang secara fiitrahnya adalah sesuatu yang baik, malah menjadi sumber kepada kebaikan dan mempunyai fitrah mengagungkan kekuasaan Tuhan. Ianya bukan seperti dakwaan sesetengah pihak bahwa akal merupakan instrumen naïf yang cenderung kepada perkara-perkara yang menjauhi agama kerana timbulnya ideologi mahupun fahaman serong memisahkan urusan agama dengan urusan manusia. Allah s.w.t secara jelas telah menyebutkan di dalam Al-Quran tentang ulul albab atau ulul nuha yang mana golongan yang cenderung kepada cahaya ketuhanan yang maha tinggi dan jauh dari keburukan duniawi yang rendah. Allah juga menempelak orang yang tidak menggunakan akal untuk berfikir tantang kebesaran Tuhan (afala ta’qilun).

Imam Al-Ghazali juga memberikan makna akal itu antaranya (makna yang paling dasar) sebagai satu sifat atau pembawaan tabii yang membezakan antara manusia dengan makhluk ciptaan Allah yang lain dan membolehkan manusia menerima ilmu-ilmu yang berbentuk pemikiran dan spekulatif serta menanggap perkara yang abstrak.

Makna akal yang asasi ini akan berkembang pula dengan ilmu-ilmu yang datang dari pengalaman dan ilmu-ilmu rasional yang ia pelajari. Oleh itu jika digunakan dan dipelihara dengan baik, akhirnya akan membawa implikasi akhlak yang penting. Sifat kebijaksanaan terbit daripada dari penjagaan akal yang sempurna. Sarjana Islam telah meletakkan sifat ini sebagai sifat pertengahan yang timbul sekiranya akal digunakan dengan betul, tidak berlebihan dan tidak pula berkurangan dan jika akal digunakan tanpa ikatan kepada panduan maka terbit pula sifat-sifat buruk yang seperti berbuat jahat, menipu dan membuat helah. Jika kurang digunakan, terhasil pula sifat degil, bodoh dan lain-lain.

Sewaktu Dr. Mohd Zaidi Ismail membicarakan tajuk ini saya tertarik dengan perkataan beliau mengenai perkaitan akal sebagai suatu entiti rohani yang berfungsi untuk mengikat makna-makna yang digabungjalinkan dengan faham-faham yang tertentu dan hakikat sesuatu kebenaran. Seperti contoh yang diberikan ialah, pancaindera kita. Hidung untuk mencium bau, lidah untuk merasa, telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan kulit untuk merasa sentuhan. Setiap pancaindera pula menanggap sesuatu perkara itu secara berbeza-beza. Mata semata-mata boleh melihat tidak boleh mendengar, telinga semata-mata untuk mendengar tidak pula boleh mencium bau. Masing-masing pancaindera mempunyai fungsi yang terpisah. Akan tetapi kita menanggapi sesuatu perkara itu seolah-olah menyatu dan pengalaman itu terangkum sekali untuk dirasai oleh pancaindera kita dan terbentuk pula sebagai satu pengalaman yang satu, tidak terpisah-pisah. Ibarat kita mendengar ceramah oleh penceramah dalam sebuah bilik. Mata, telinga, kulit menanggapi sesuatu secara berbeza dan akal pula berperanan merangkum bagi menyatukannya menjadi satu pengalaman dan memberikan kita makna. Kesimpulannya, akal berkebolehan sebagai pengikat kepada yang tanggapan yang terpisah itu menjadi satu dan memberikan makna kepada kita.

Satu lagi perkara yang penting adalah peranan bahasa sebagai pengikat kepada maklumat-maklumat yang ditanggapi oleh akal. Sebagai contoh, sesuatu perkara itu memberikan makna kepada kita dan bahasa pula berperanan untuk mengikat makna itu dengan objek yang di luar itu.

Selain itu, Dr. Mohd Zaidi menerangkan tentang perhubungan akal dengan syarak yang dipetiknya dari Imam Al-Ghazali. Akal itu asas dan syarak itu binaan. Tanpa akal manusia tidak akan mungkin wahyu itu boleh dihuraikan dan menghasilkan berjilid-jilid banyaknya karya kitab fiqh. Ini kerana akal memahami dan menafsir wahyu tersebut dan menghasilkan panduan-panduan fiqh kepada kita. Ini mengukuhkan perhubungan wahyu dan akal itu sangat rapat.

Akal juga penglihatan dan syarak itu pancaran cahaya. Penglihatan tanpa cahaya tidak berguna. Akal itu juga syarak dari dalam, dan syarak pula akal di luar. Begitu menarik perkaitan antara akal dan syarak kepada manusia.

Sepanjang perbicaraan tentang akal ini, Dr. Mohd Zaidi juga membincangkan persoalan tentang akal sebagai sebatian dan zatnya terpisah dari materi atau benda tetapi tindakan akal pula bersama dengan materi yang boleh kita rujuk kepada setiap insan denagn kata ‘AKU’. (Ada dihuraikan secara mendalam dalam makallah beliau: Faham Akal Dalam Islam dan Barat: Satu Tinjauan Ringkas).

Inilah sebahagian pemahaman saya secara ringkas mengenai slot pertama oleh Dr. Mohd Zaidi Ismail mengenai tajuk; Akal dalam Pandangan Hidup Islam: Satu Tinjauan Ringkas. Semoga kita berolah sesuatu dari perkongsian saya pada kali ini. Mohon maaf atas kekurangan dan kekhilafan. Wallahua’alam.

29 Apr 2008

Zaid: ISA unacceptable


Picked from "The Sun" (www.sun2surf.com)
by Kong See Poh


PETALING JAYA (April 28, 2008):
Minister in the Prime Minister's Department Datuk Zaid Ibrahim says he finds the Internal Security Act (ISA), which has been regarded as draconian by the Opposition and the legal fraternity, unacceptable.

"I am against any unjust and harsh law, and ISA and OSA (Official Secrets Act) are unacceptable to me," the de facto law minister said of his stand on the two Acts during an interview with Nanyang Siang Pau.

"In fact, I have stated my stand (on these laws) in my books," he said.

ISA, a preventive detention law, was enacted on Aug 1, 1960, to replace the Emergency Regulations Ordinance 1948 that was meant to curb communist activities. It was amended in 1972.

Any person may be detained by the police under ISA for up to 60 days without trial for an act which allegedly prejudices the security of the country or any part thereof.

After 60 days, one may be further detained for a period of two years each, to be approved by the Home Minister, thus providing indefinite detention without trial.

Last Saturday (April 26), Home Minister Datuk Seri Syed Hamid Albar said preventive laws, such as the ISA, will not be abolished as they were needed for the purpose of maintaining public order.

He said countries such as the United States and the United Kingdom too have introduced such preventive laws.

"It (ISA) is not for the purpose of carrying out injustice but to protect the public's right to live in comfort without fearing for their lives," Syed Hamid said in response to a claim by PKR de facto leader Datuk Seri Anwar Ibrahim that Pakatan Rakyat (PR) would abolish preventive laws should they rule the country.

On Islamic laws, Zaid stressed all laws should be able to address the dissatisfaction and problems of various races in the country.

He pointed out that in a multiracial country, the government should seek the views of the people, instead of acting unilaterally.

"For example, in formulating the Federal Territories Islamic Family Law, the government must make sure that it also takes care of the interest of the non-Muslim community.

"Any party which proposes to charge a non-Muslim with zinah for committing adultery with a Muslim should state clearly under which law and section can this be done.

"No one should be allowed to express their views without basis," he said.

He, however, said Minister in the Prime Minister's Department Datuk Ahmad Zahid Hamidi, as the minister in charge of Islamic affairs, "is the right man to answer any question regarding Islamic laws".

Zaid, who owned the country's largest law firm, Zaid Ibrahim & Co, before he gave up his practice upon being appointed a cabinet minister, agreed to the view that had the Barisan Nasional (BN) not suffered a big setback in the March 8 general election, the government may not have agreed to institute judiciary reforms.

Since his appointment to take charge of law, he has, apart from pushing for the judiciary reforms, proposed that the federal government apologise to victims of the 1988 judicial crisis.

Although the government has stopped short of apologising to the former judges, it has agreed to compensate them.

Zaid said he accepted the government's decision, saying an apology can take many forms.


24 Apr 2008

Majlis bersama Ulama' - Syeikh Dr. Rafi' Taha Al-Latif Al-Rifa'iy Al-'Aniy, Mufti Negara Iraq

Semalam (23 April 2008, Jam 8.00 malam), saya berkesempatan untuk menghadiri satu Majlis Ilmu Bersama Ulama' anjuran bersama Angkatan Belia Islam Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia yang telah menjemput seorang ulama' Timur Tengah dalam rangka lawatan beliau ke Malaysia. Ulama' yang dimaksudkan adalah Syeikh Dr. Rafi' Taha Al-Latif Al-Rifa'iy Al-'Aniy, Mufti Negara Iraq.


Sedikit pengenalan ringkas tentang Syeikh Dr. Rafi' Taha Al-Latif Al-Rifa'iy Al-'Aniy ialah beliau adalah Mufti Negara Iraq dan Setiausaha bagi Jawatankuasa Tertinggi Fatwa Iraq. Dilahirkan dalam tahun 1959 di Fallujah dalam sebuah keluarga yang terkenal dalam ilmu-ilmu Syari'ah dan Tasawwuf. Beliau mendapatkan pendidikan awal daripada ahli keluarganya kemudian melalui halaqah-halaqah ilmu para ulama' di Iraq termasuk al-Syeikh Khalil al-Kubaisi, al-Syeikh Abdul Karim al-Mudarris dan al-Syeikh Abdul Karim al-Dabban. Beliau turut mengikuti pengajian secara formal dalam bidang Syari'ah dan Usul Fiqh hingga ke peringkat Phd di Universiti Baghdad.

Saya sempat merakamkan sedikit dari keseluruhan apa yang disampaikan oleh beliau untuk perkongsian kita bersama. Antaranya beliau menggambarkan Negara Malaysia negara adalah contoh kepada negara Islam lain dan rakyat negara ini kuat bekerja. Ini adalah sikap yang perlu dikekalkan untuk pembangunan sebuah negara. Beliau juga berpesan agar kita menjagalah negeri ini baik-baik. Malaysia tidak ada budaya ketaksuban mazhab atau parti yang melampau jadi jangan sampai menjadikan negara ini seperti di Iraq, taksub kepada mana-mana kelompok yang akhirnya akan membawa kepada perpecahan umat. Cukuplah tragedi dan nasib rakyat Iraq sebagai contoh dan tauladan bagi umat Islam sedunia berpunca dari ketaksuban dan perpecahan.

Sheikh Dr. Rafi' juga berpesan kepada pemuda-pemuda Islam khususnya di Malaysia supaya sentiasa mempersiapkan diri dan juga bergiat aktif di dalam Gerakan Islam. Gerakan Islam hendaklah non-partisan iaitu tidak berpihak mahupun terikat kepada mana-mana ideologi atau parti politik. Keterikatan ini akan membuatkan kerja kita tersekat dan yang rugi adalah umat.

Sheikh Dr. Rafi' merujuk kepada perjuangan organisasi atau parti Islam (beliau tidak menyebut mana-mana parti yang sedia ada di mana-mana negara) yang dasarnya berjuang untuk Islam serta 'jihad' tetapi akhirnya telah tersasar dari perjuangan contohnya dahulu bercakap mengenai menegakkan 'Daulah Islamiah' tetapi kini sudah mula bercakap soal demokrasi seperti di Barat, sudah ada juga bercakap mengenai kesamaan hak dan pluralisme. Maka kita sebagai organisasi Islam yang non-partisan hendaklah menjauhi dari terikut-ikut kepada 'trend' ini. Jika kita tidak bersetuju pula dengan parti-parti politik itu, jangan pula kita memusuhi mereka dan lebih teruk lagi janganlah kita bersekongkol pula dengan musuh kita untuk menjatuhkannya. Pesanan Syeikh Dr. Rafi' ini sangat bertepatan pula dengan kondisi kita pada hari ini.

Selain itu, beliau juga telah menjawab persoalan tentang kemungkinan akan berlakukah perpaduan umat Islam pada masa akan datang memandangkan situasi pada hari ini tidak memihak kepada umat Islam supaya bersatu dengan ketaksuban mazhab, ideologi dan sebagainya? Beliau mengatakan perpaduan tidak mustahil akan berlaku asalkan hati umat Islam dan kelompok-kelompoknya itu bersedia untuk melihat perpaduan umat Islam. Apabila hati telah bersedia, segala ideologi dan pegangan yang bercabang akan diketepikan. Beliau merujuk kepada suatu masa dahulu bahawa di Eropah perpaduan adalah sangat mustahil untuk berlaku kerana selalu terjadinya perang. Tetapi kini kita telah melihat Eropah bersatu di dalam Kesatuan Eropah (EU). Kita perlu melihat ini sebagai cabaran untuk umat Islam supaya bersatu di masa hadapan.


Beliau juga menjawab persoalan, bagaimanakah keadaan masa depan negara Iraq serta nasib dan masa depan rakyatnya. Beliau menyatakan apa yang berlaku bukan satu perkara yang kecil dan gelombang yang sangat menggangu kehidupan. Walaubagaimanapun sebagai orang mukmin kita hendaklah sentiasa bersedia menghadapi ujian dan apa jua keadaan sekalipun pastikan agama yang kita anuti ini selamat. Beliau juga menegaskan untuk menjaga agama yang ada pada diri kita ini selamat, ambillah pelajaran agama itu dari mulut atau lidah(perkataan) para ulama' dan menghayatinya, barulah kita akan dapat merasai 'zouq' (kemanisan) beragama. Beliau mengumpamakan orang yang telah merasakan 'zouq' itu ibarat orang yang telah merasai manisnya madu, walaupun seluruh manusia itu menyatakan madu itu tidak manis, dia tetap akan mempertahankan madu itu manis. Oleh itu pesan beliau lagi hendaklah kita berjinak-jinak mendekatkan diri kepada ulama dan mengambil rujukan daripadanya.

Itulah serba sedikit pesanan dari Syeikh Dr. Rafi' Taha Al-Latif Al-Rifa'iy Al-'Aniy, Mufti Negara Iraq kepada kita di Malaysia ini. Wallahua'lam.

23 Apr 2008

Ihsan?

Place your mouse on the X below...
Click and Drag your mouse from the X to the O. See what happens...

X EVEN WHEN YOU CAN'T SEE HIM...ALLAH IS THERE! O


22 Apr 2008

Gambar Sewaktu Di Jakarta...

Kenang-kenangan ketika berada di Jakarta sempena Menghadiri Seminar 100 Tahun Buya Hamka pada 7-12 April 2008. Cerita di sebalik gambar di:

http://s305.photobucket.com/albums/nn218/afhamj


20 Apr 2008

Seminar dan Simposium Peringatan 100 Tahun Buya Hamka, Jakarta


Tanggal 7 hingga 12 April yang lalu saya bersama 2 lagi rakan Kelab Hamka Malaysia iaitu saudara Khairul Anwar Shazali dan Mohd Zaidi Dailami telah berpeluang ke Jakarta, Indonesia untuk menghadiri Seminar Internasional Peringatan 100 Tahun Buya Hamka yang diadakan pada 8 April 2008 di Hotel Atlet Century Park, Senayan Jakarta Selatan. Seminar ini membincangkan tema "Transmisi Keilmuan, Pemaknaan Agama dan Peran Keulamaan Buya Hamka" yang mana ucaptamanya telah disampaikan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI).

Seminar ini anjuran Universiti Muhammadiyah Prof. Dr. Hamka (UHAMKA). Seminar tersebut membincangkan tentang peranan dan budaya keilmuan yang dipelopori oleh Buya Hamka sepanjang perjuangannya yang mencakupi pelbagai aspek yang sehingga kini masih relevan untuk pengajian.


DSAI di dalam ucaptamanya menggambarkan karakter Buya Hamka seorang yang 'public intelectual' dan ini menyebabkan karya-karyanya 'seolah-olah hidup' sehingga ke hari ini. Ini kerana Buya Hamka berperanan sebagai seniman dan ulamak pada masa yang sama. Persoalan yang ditimbulkan dalam karya-karya Buya Hamka semuanya berkisahkan tentang 'life specific' atau 'specificity of life', yang menceritakan budaya, warna warni kehidupan sesuai dengan ungkapan Buya Hamka sendiri;

..Kehidupan adalah pergiliran antara senyum dan ratap...

Inilah yang menjadikan Buya Hamka sebagai cendiakawan yang bercakap dengan rakyat, menulis untuk rakyat serta wacananya berakar kapada persoalan rakyat. Berbeza dengan sesetengah cendiakawan yang khalayaknya adalah sesama cendiakawan bukannya rakyat, ini mewujudkan keterpisahan antara rakyat dan cendiakawan. Namun ini tidak berlaku kepada Buya Hamka.

Antara lain DSAI menyebutkan tentang transmisi keilmuan yang diwarisi oleh Buya Hamka melalui gerakan islah yang dipelopori oleh ayahnya. Apakah yang dimaksudkan dengan 'transmisi keilmuan' itu? Itu akan saya terangkan di dalam artikel saya yang seterusnya. Melalui transmisi keilmuan itu maka terbitlah hasil yang paling unggul atau magnum opus iaitu Tafsir Al-Azhar 30 Juzuk. Buya Hamka pastinya sentiasa berpegang teguh kepada pendirian bahawa amalan tafsir hanya boleh dilakukan oleh mereka yang tahu bahasa Arab dengan segala peralatannya, tahu penafsiran orang yang terdahulu, asbabun nuzul, tahu pula hal al-Nasakh wal Mansukh, ilmu Hadis dan ilmu Fiqh.

Karya Buya Hamka juga dilihatkan sebagai karya yang mengimbangi kepada ideologi yang wujud sperti Marxisme, sekularisme yang didatangkan daripada barat. Para pembaca karya Buya Hamka pasti akan dapat melihat keseimbangan pemikirannya yang menggalakkan kebebasan berfikir dan berijtihad tetapi mempunyai batas-batas agama yang wajib dipatuhi. Ini kerana salah satu unsur dari tajdid yang dipelopori oleh Buya Hamka adalah keterbukaan minda. Keterbukaan ini bukan bermaksud kita perlu ikut jejak kepada pemikiran barat atau aliran yang berlainan dengan kita tetapi keterbukaan dalam melihat kepelbagaian aliran untuk membuat perubahan untuk lokaliti masyarakat setempat atau serantau. Persoalan itu haruslah berakar kepada masyarakat, kebudayaan dan keperluan Asia Tenggara. Jika ini kita ambil sebagai contoh sememangnya pemikiran-pemikiran sekularisme tidak sesuai dengan acuan Melayu yang sudah terikat agama Islam dan pembudayaan adat resam yang menjaga sopan santun umatnya kerana pembaharuan itu harus kekal dengan lokaliti penduduk setempat.

Apa yang saya dapat simpulkan daripada dapatan saya sepanjang menghadiri Seminar dan Simposium 100 Tahun Buya Hamka akan saya rumuskan dalam artikel saya yang bertajuk "Milik Siapakah Buya Hamka?".

Keberadaan kami di Jakarta selama 5 hari itu kami pergunakan semaksima mungkin dengan membuat pertemuan dengan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII), Dewan Dakwah Indonesia, Pak Rusydi Hamka dan Pak Afif Hamka di kantor Masjid Al-Azhar, Ibu Dr. Alia Hamka di UHAMKA, pustakawan Perpustakaan Nasional RI dan berpeluang juga bertemu dengan Kaunselor Kedutaan Malaysia di Jakarta. Kami juga berkesempatan 'pusing-pusing' bersama teman-teman PII di sekitar bandaraya kosmopolitan Jakarta dan membeli-belah di Senin dan Tanah Abang.


Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Pak Yusuf diatas layanan yang sangat baik kepada kami sepanjang berada di Jakarta serta tidak lupa juga pada teman-teman di PII (Popi, Yudi, Jamal, Nas, Ikhwan dll) yang sanggup menemani kami dalam menyiapkan 'tugasan dalam lawatan' kami. Begitu juga dengan Pak Desyanto di UHAMKA atas kerjasama dan bantuan yang diberikan. Allah sahaja yang mampu membalas jasa baik kalian. Wallahua'alam.

:: Mohon Maaf diatas keterlewatan menulis artikel ini kerana kekangan masa ::


30 Mac 2008

Masa dan leka..

Masa...
Pantas meninggalkan
Tiada perhentian mahupun singgah
Terus berlalu
Mengejar 'Hari Yang Terakhir'
Aku tertinggal
Dalam perjalananku
Namun aku sentiasa bangkit
Merebut kesempatan
Kedapatan yang ketinggalan

:: Lama dah tak update blog. Maafkanku, wahai teman..kerana berteman leka ::

29 Feb 2008

22 Feb 2008

Blog Kelab Pemikiran Hamka


Kepada semua penggemar karya, falsafah, perjuangan dan peribadi Prof. Dr. Hamka, anda boleh melayari blog rasmi Kelab Pemikiran Hamka di:-

http://www.kelabhamka.blogspot.com

Kelab Pemikiran Hamka pula boleh dihubungi di alamat e-mel:

kelabhamka@gmail.com

Segala perkembangan dan perngumuman berkenaan aktiviti kelab akan disiarkan di blog tersebut. Sila lawati blog Kelab Pemikiran Hamka sekarang untuk perkembangan lanjut. Terima kasih. Wallahua'lam.

21 Feb 2008

PRU Ke 12 : 13 Tuntutan Pelajar

PILIHANRAYA UMUM KE 12: 13 TUNTUTAN PELAJAR

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sebagai sebuah komponen dalam masyarakat, kami dengan penuh insaf ingin menyatakan tuntutan dan hasrat kami.

Kami yakin, dalam pembinaan sebuah negara yang demokratik dan berjaya, peranan dan potensi generasi muda tidak harus diabaikan.

Kami juga sedar bahawa masa depan negara terletak di bahu generasi muda hari ini.

Maka, kami menyatakan 13 tuntutan yang harus dipertimbangkan oleh bakal- bakal calon dan kerajaan yang akan datang, bagi memastikan agenda mengangkat martabat generasi muda dapat dilaksanakan:

1. Menukar Sains dan Matematik Kepada Bahasa Melayu

Proses pengajaran dan pembelajaran subjek berteraskan Sains dan Matematik dikembalikan kepada bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu agar tidak berlaku kemerosotan pelajar luar bandar. Malah agar minat dan kefahaman pelajar dapat dipertingkatkan jika diajar dalam bahasa
Melayu

2. Membanteras Program Hiburan Melampau dan Gejala Hedonisme

Generasi muda harus tidak diekploitasi sebagai konsumer hiburan yang melampau. Potensi mereka harus dibangunkan mengikut modul modal insan yang seimbang. Kerajaan harus mengawal program hiburan.

3. Menolak Universiti Berteraskan Parti politik

Kewujudan universiti berteraskan parti politik tidak membina bangsa yang berkongsi semangat kebangsaan, dari segi bahasa dan `worldview', akhirnya memecahkan lagi pola ketidakseimbangan perpaduan kaum

4. Menuntut Autonomi Universiti

Bukan sekadar autonomi pentadbiran, tetapi autonomi ilmu dan idea. Universiti harus mengekalkan prestij keilmuan dengan tidak membenarkan ahli politik memegang tampuk Canselor dan Naib Canselor, akan tetapikepada ahli akademik yang ada kredibiliti.

5. Mewajibkan Subjek Falsafah di Semua Universiti dan Pilihan Terbuka Subjek Minor

Ini bertujuan menyeimbangkan mahasiswa dengan elemen berfikir dan kemanusiaan. Malah, subjek minor secara terbuka dapat mengembangkan potensi mahasiswa kelak.

6. Menyediakan Biasiswa dan Bantuan Kewangan

Menuntut pihak kerajaan menyediakan biasiswa pengajian penuh kepada pelajar bumiputera dan bantuan kewangan yang mencukupi kepada pelajar bukan bumiputera, seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Alternatifnya ialah menghapuskan caj 3% yang dikenakan PTPTN serta merta.

7. Menjadikan IPT Sebagai Zon Internet Percuma

Menyediakan kemudahan capaian internet wireless secara percuma dan menyeluruh di seluruh institusi pengajian tinggi, bagi memudahkan proses pembelajaran dan penyelidikan

8. Meminda AUKU

AUKU harus dipinda dan memberi kebebasan mahasiswa untuk berpersatuan dan berpolitik. Legasi AUKU menyebabkan telah lahir generasi yang berjiwa kecil dan pasif.

9. Menolak Pelabelan `Pro Kerajaan' dan `Pro Pembangkang' .

Pelabelan ini sebenarnya permainan politik sempit politik kepartian, yang ingin menguasai legitimasi parti di universiti. Label yang tidak sihat ini menyebabkan jurang di kalangan mahasiswa melebar.

10. Menolak Sikap Prejudis Terhadap Program Da'wah di Universiti

Sesetengah universiti menyekat program da'wah seperti gerakan tabligh, usrah dan membincangkan tokoh pemikir Islam. Sikap universiti ini menghalang daripada pembinaan mahasiswa yang kritis dan berperibadi mulia.

11. Mengangkat Tema Islamisasi Sebagai Teras Universiti.

Universiti harus menjadikan universiti sebagai pusat Islamisasi ilmu, dengan memperkenalkan subjek pengajian Islam dengan lebih meluas, dan mendidik mahasiswa supaya jurang `compartmentalizati on' tidak melebar.

12. Mendaulatkan Bahasa Melayu di Tempatnya.

Bahasa Melayu harus diletakkan sebagai 'the utmost priority' bagi bakal kerajaan. Sikap pemimpin yang meremehkan bahasa Melayu merupakan sikap yang perlu ditolak oleh semua rakyat Malaysia.

13. Melantik Wakil Senator di Kalangan Pelajar

Wakil pelajar ini dapat menyuarakan suara secara langsung dalam Parlimen, secara tidak lansung mengiktiraf pelajar dalam proses pembinaan negara.

20 Feb 2008

9 & 10 Februari 2008 – Catatan Ziarah Ke Selatan

Tanggal 9 dan 10 Februari 2008 yang lalu, saya sempat meluangkan masa berkembara bersama dua orang teman ke selatan Tanah Semenanjung, Johor Bahru. Selain berjalan, melihat dan mentafsir keindahan alam dan panorama yang ada di sana, inilah peluang bagi saya untuk mengenali sahabat-sahabat dengan lebih rapat dan mengeratkan ukhuwwah Islamiyyah yang terjalin. Perjalanan ke Johor Bahru kali ini saya bersama-sama saudara Rezwan Alias dan Helmi Rizal menaiki kereta proton milik saudara Helmi. Rupa-rupanya saudara Helmi juga sudah lama tidak pulang ke Johor Bahru atau lebih tepat lagi Pasir Gudang yang merupakan tempat 'kediaman rasmi' keluarga saudara Helmi. Kami bertolak pada jam 9.30 pagi dari Anjung Rahmat. Perjalanan kami singgah sebentar di RNR Seremban untuk bersarapan pagi dan meneruskan perjalanan terus ke JB pada jam 10.40 pagi.

Sepanjang perjalanan 4 jam lebih tersebut, kami bertiga bertukar-tukar cerita dan idea, dari hal-hal peribadi sehinggalah kepada persoalan politik. Saya tertarik untuk menghuraikan satu pepatah cina yang dijelaskan oleh saudara Rezwan yang kira-kira bermaksud "Sekiranya ada masa dan juga emas, belum tentu segunung emas mampu membeli masa". Menarik bukan..? Kita sering mendengar ungkapan 'Masa itu Emas'. ‘Masa itu Emas’ pula boleh kita ertikan sebagai pengolahan SIKAP kita kepada masa yang harus di’REBUT’ nilainya seperti sikap manusia merebut akan harta (emas). Akan tetapi pepatah cina tadi ialah berkenaan pada nilai masa jika dibandingkan dengan emas.

Walauapapun jua tanggapan kita masing-masing terhadap nilai masa, pastinya semua bersetuju nilai masa tidak dapat ‘disamanilaikan’ dengan nilai material. Mari kita lihat konteks masa dari sudut seorang Muslim yang beriman dengan perkara ghaib iaitu konsep pahala dan dosa. Mungkin emas itu pasti tidak kelihatan menggunung tinggi di depan mata kini, tapi setiap nilai pahala yang diganjarkan kepada orang melakukan tijarah atau ‘jual beli’ amal soleh (ikhlas dan ihsan sebagai syarat) dengan Tuhannya pasti akan dapat melihat timbunan ganjarannya di akhirat kelak dan juga sebaliknya (dosa). Allah itu Maha Kaya dan Maha Pemurah. Seseorang yang bijak mempergunakan masa terutamanya ketika muda, yang masih mempunyai kelapangan masa dan kekuatan zahiriah, Allah akan memberikan manfaat atau ganjaran yang lebih besar dari segunung emas. Bayangkan sahaja seorang pemuda berusia 20 tahun sudah mula beramal soleh sehingga ajalnya berusia 65 tahun, berbanding seorang tua yang baru mendekati amal soleh ketika berusia 50 tahun, yang mana lebih beruntung? Disinilah letaknya nilai masa lebih dari emas tersebut. Lebih tepat lagi jika kita ambil iktibar dari maksud surah Al-Asr yang kita sudah maklum tentang kerugian manusia tidak menggunakan masa untuk berpesan-pesan kepada kebaikkan dan beramal soleh.

Kami sampai di Bandaraya Johor Bahru pada jam 1.55 tgh. Inilah kali pertama saya sampai di Johor Bahru. Kami terus ke Kompleks Mustika Embun, iaitu Sekretariat ABIM Negeri Johor. Saya diberitahu Kompleks Mustika Embun ini adalah bekas istana Sultan Johor suatu ketika dahulu dan kini telah diserahkan kepada ABIM Johor untuk dimanfaatkan. Senibinanya menarik untuk diperhatikan. Sebuah bangunan batu dua tingkat yang masih bersenibina lama. Saya teringat dengan senibina rumah lama di tempat kelahiran saya di Sarawak di mana terdapat rumah-rumah lama di sekitar Kampung No.2, Kuching, tapi sayang tidak berpenghuni dan dipelihara. Perkarangan letak keretanya pula luas dan sesuai untuk pelbagai aktiviti. Bersebelahannya pula ialah SERI ABIM. Sebenarnya keberadaan kami di Mustika Embun ialah untuk menghadiri majlis walimatul urus saudara Zainuddin, mantan SUA KPIJ (Saya pun mantan SUA gak, tapi bila lah nak kawen ek?.. huhu..) Nampak berseri dan berisi raja sehari di waktu itu. Saya doakan rumahtangga saudara Zainuddin dan isteri disinari sakinah, mawaddah warrahmah selama-lamanya. Di majlis ini saya sempat bertemu semula dan beramah dengan rakan-rakan UTM dan KPIJ Johor. Terasa dekat dan kasih pula sewaktu pertemuan singkat itu. Saudara Rezwan dan Helmi pun tidak lekang dengan gurau senda masing-masing. Saya juga sempat bertanya khabar dan bertukar cerita kepada saudari Kartini Sulaiman yang kini berada di tahun akhir di UTM. Perjumpaan yang singkat itu benar-benar menyegarkan sebuah jalinan persahabatan.

Tepat jam 4.00 kami beredar dari majlis itu untuk menziarahi tempat-tempat menarik di sekitar JB, antaranya Masjid Sultan Abu Bakar dan Danga Bay. Di Masjid Sultan Abu Bakar kami bersolat jamak qasar zohor dan asar. Selesai solat kami sempat pula bergambar kenang-kenangan di sekitar masjid. Masjid Sultan Abu Bakar yang terletak di atas bukit menghala Selat Tebrau ini sangat unik senibinanya. Pembinaan masjid ini dimulakan pada tahun 1892 dan dirasmikan pada tahun 1900. Dewan solat utama kelihatan seperti ‘ballroom tari menari’ kerana silingnya yang tinggi dan rata bercorak serta dikelilingi tiang roman yang besar. Senibina luarnya pula gabungan unsur seni bina Melayu dan Inggeris. Ini mungkin kerana pengaruh Inggeris yang bertapak di bumi Melayu pada waktu itu. Bagi saya tidak kiralah bagaimanapun senibinanya, yang penting ialah tarikan isi kerohaniaan masjid tersebut berbanding tarikan fizikalnya. Tanpa aktiviti pengimarahan masjid, masjid hilang roh dan peranannya. Teringat saya pada tragedi tsunami di Aceh yang meranapkan semua bangunan dan rumah di Banda Aceh tapi tidak Masjid Baiturrahman. Masjid yang berusia 700 tahun itu tetap kukuh hingga ke hari ini. Masjid itu selamat dan kukuh kerana rohnya yang dilindungi oleh Allah. Lihat sahaja pada kejadian manusia, apabila roh sudah berpisah dari jasad, jasad seperti ahli gusti pun sudah tidak berguna lagi. Ini menunjukkan roh adalah kekuatan kepada fizikal. Seperti itu jugalah masjid.

Jam 4.40 petang kami singgah pula ke Danga Bay. Sengaja untuk melihat apa yang ada di sana kerana sering mendengarnya di media. Tidak ubah seperti tempat-tempat rekreasi lain, orang ramai terutama muda mudi lalu lalang menikmati pemandangan dan berehat-rehat. Kami datang hanya untuk bergambar. Sewaktu disitu tiada apa-apa program yang berlangsung dan kami lihat nampak seperti baru selesai acara dan ada beberapa tempat sedang dalam pengubahsuaian.

Kami terus ke rumah saudara Helmi di Pasir Gudang. Sepanjang perjalanan kami masih meneruskan perbincangan ringan. Kami sempat merancang ziarah kami seterusnya yang akan diteruskan keesokkan harinya. Sesampai sahaja di rumah saudara Helmi kami dijamukan limau mandarin, terasa seperti ziarah Tahun Baru Cina pula. Kami terasa amat letih walaupun jam baru menunjukkan jam 6.30 petang. Malam itu kami menumpang di rumah saudara Helmi dan sempat beramah mesra dengan keluarganya terutama ayah saudara Helmi, En Baharuddin. Waktu makan malam adalah masa yang sangat ditunggu-tunggu kerana telah penat seharian ‘ronda-ronda’ di sekitar JB, tibalah masa mengecas bahan bakar untuk tenaga semula. Bila merasa masakan ibu saudara Helmi teringat pula masakan ibu di rumah. Malam kami dihabiskan dengan berehat dan berbual-bual ringan hingga melelapkan mata.

Keesokkan harinya kami meninggalkan rumah saudara Helmi dan sudah pasti didoakan agar kelak akan berlaku lagi pertemuan dengan keluarganya. Jam 10.30 pagi kami menuju ke UTM Skudai untuk melihat apa yang ada di sana ketika itu. Saudara Rezwan yang merupakan bekas mahasiswa UTM dan juga bekas RA di situ membawa kami melawat ke tempat dia pernah bertugas sebagai RA dahulu iaitu di ‘Chemical Engineering Pilot Plant’. Loji ini merupakan pusat penyelidikan bagi kejuruteraan kimia yang membuat penyelidikan untuk menghasilkan produk yang berasakan rempah, hasil hutan, tanaman atau lebih tepat lagi yang berasaskan tumbuhan. Walaupun pada hari ahad terdapat juga petugas yang menjalankan tugas, bertemankan rakan saudara Rezwan iaitu saudari Madihah kami dibawa melihat makmal-makmal yang terdapat di situ dan diberi penerangan tentang kajian-kajian yang sedang dijalankan. Saya tertarik melihat peralatan-peralatan dan mesin yang digunakan dimakmal-makmal tersebut. Walaupun dapat melihat satu persatu alat yang ditunjukkan serta fungsinya, saya hanya mampu mengangguk kerana itulah adat orang yang baru kenal dan tidak tahu. Tidak tahu itu adalah suatu ilmu, kerana apabila seseorang menggunakan ‘ketidaktahuannya’ betul pada tempatnya, banyak perkara dapat dielakkan seperti menipu, memperbodohkan diri sendiri ataupun yang paling teruk menjerumuskan orang lain kelembah kehinaan atas sebab apa yang kita sampaikan adalah salah. Nabi Muhammad juga berpesan dalam hadisnya supaya kita berdiam diri jika bukan ahli dalam sesuatu bidang itu. Jadi sememangnya lebih baik kita berdiam diri untuk mendengar dan menyoal kerana bidang penyelidikan sebegini ‘belum’ lagi menjadi bidang yang saya ceburi. Saudara Helmi dan Rezwan masing-masing rancak berbincang kerana masing-masing berlatarbelakang pendidikan kimia dan biologi manakala saya pula teknologi maklumat dan komputer. Banyak perkara yang saya pelajari antaranya penyelidikan untuk menghasilkan baja, minyak wangi yang dapat dijadikan aromatherapi antaranya wangian untuk ubat mengantuk, tidak dapat tidur dan sebagainya. Kami juga dapat mengetahui cara durian di sejuk keringkan untuk dimakan seperti keropok serta macam-macam lagi. Apa yang menariknya juga, produk-produk yang dikeluarkan ini adalah untuk pasaran dan UTM sememangnya mencari usahawan yang ada di luar untuk menjual produk hasil kajian mereka.

Kami pulang dari loji tersebut dan menuju ke Pusat Sumber Maklumat untuk berjumpa Ustaz Razak yang kini sedang menjalani pengajian Master dalam bidang pengurusan sumber manusia. Perjumpaan dengan Ustaz Razak selama sejam membincangkan persoalan-persoalan haraki sememangnya penjana atau ‘booster’ kepada kami untuk terus memegang amanah dakwah dan keilmuan ini. Ustaz Razak merupakan exco ABIM Johor dan banyak perkara yang dapat diambil pengajaran daripadanya. Saya sendiri menjadi sedar bahawa tugas membina generasi rabbaniy ini merupakan tugas yang mulia dan mencabar. Setiap tindakan yang kita ambil hendaklah bersederhana, tidak menyakiti siapa-siapa serta tidak berkepentingan melainkan untuk ummat semata-mata.

Sebelum pulang ke Kuala Lumpur kami singgah bersolat di Masjid UTM dan sempat juga kami mengabadikan memori dalam gambar di dalam dan di luar masjid tersebut. Kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang selepas makan tengahari Taman Universiti yang ‘well-known’ dengan ‘harga yang berpatutan dengan rasanya’ (sedap lagi murah). Kami sampai di KL pada jam 11.00 malam kerana disebabkan kesesakkan jalan yang teruk apabila kami semakin menghampiri Seremban. Kami menggunakan jalan lama melalui daerah-daerah kecil Negeri Sembilan sehinggalah masuk semula di lebuhraya Sepang. Keletihan memandu diubati di Restoran Sate Kajang, Taman Melati dan selepas itu terus pulang ke rumah masing-masing. Kembara saya kali ini begitu banyak manfaatnya malah dapat merapatkan ukhuwwah kami bertiga dan tidak sabar untuk bertemu peluang sebegini lagi. Saya amat bersyukur pada Allah atas nikmat yang Dia berikan. Semoga kita semua mendapat manfaat hasil perkongsian ringkas saya ini. Maaf atas kekurangan mahupun ada yang tersinggung perasaan. Wallahua’alam.