30 Apr 2008

Seminar Ta'dib Islami Siri 4 - Akal Dalam Pandangan Hidup Islam: Satu Tinjauan Ringkas

Ahad 27 April 2008 - Seperti biasa, sekali dalam sebulan saya pasti akan memberikan masa untuk diri saya hadir ke program Seminar Ta’dib Islami anjuran APPIM PKPIM dan ABIM, di Anjung Rahmat. Seminar kali ini merupakan siri keempat semenjak ia dimulakan pada bulan Januari yang lalu dan kekerapannya pula sekali sebulan. Tajuk yang dibicarakan juga semuanya berkisar kepada pemikiran, isu semasa dan sudah pasti berkait rapat dengan ‘pandangan alam’ Islami. Tidak dapat tidak apabila mengikuti perbincangan seperti ini memerlukan penilaian dan fokus yang padu supaya apa yang disampaikan dapat kita fahami dan hadami untuk kita ambil sebagai kesedaran mahupun penghayatan.

Sepanjang 4 kali seminar ini diadakan, 8 buah tajuk telah dibincangkan antaranya:

Januari 2008:

Pengenalan Pandangan Hidup Islam
(Prof Madya Dr. Muhammad Zainiy Uthman)

Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIAM

Masalah Dalaman Kaum Muslimin
(Dr. Wan Suhaimi Wan Abdullah)
Akademi Pengajian Islam, UM

Februari 2008:

Kefahaman Agama Dalam Masyarakat
(Prof. Madya Dr. Abdul Halim Muhammady)
Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Ummat

Penganut Kristian Guna Istilah ALLAH : Kajian Kes Salah Guna Bahasa
(Dr. Mohd Sani Badron)
Fellow Kanan/Pengarah Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Mac 2008:

Punca-punca Kekeliruan Dalam Ilmu dan Pengislahan
(Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Mohd Daud)
Professor dan Mantan Timbalan Pengarah di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC)

Pilihanraya Umum ke 12 : Ke Mana Malaysia
(Sdr. Marzuki Mohammad)

Ahli Jawatankuasa Pusat ABIM Pusat dan Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

April 2008 :

Akal dalam Pandangan Hidup Islam: Satu Tinjauan Ringkas
(Dr. Mohd Zaidi Ismail)

Pengarah Pusat Sains dan Teknologi di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Isu-isu Utama Dalam Dialog Antara Agama
(Prof Madya Dr. Kamar Oniah Kamaruzzaman)

Presiden Interactive Muslimah Network (IMAN) dan Prof. Madya di UIAM

Kali ini saya terpanggil untuk berkongsi kepada anda tentang apa yang saya dapat pada seminar kali ini. (Dulu saya tak bersedia nak tulis kat blog takut2 kalau ada yang disalah fahami apa yang didengar dan ditulis sendiri, tapi kini dah ada ‘voice recorder’ boleh la rujuk kalau tak pasti, hehehe.. so tak ragu dengan apa yang ditulis di sini kerana semuanya sahih dari lidah penceramah…)

Slot pertama Seminar Ta’dib Islami Siri 4 mengenengahkan topik Akal dalam Pandangan Hidup Islam: Satu Tinjauan Ringkas yang dibentangkan oleh Dr. Mohd Zaidi Ismail, Pengarah Pusat Sains dan Teknologi di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Dr. Mohd Zaidi membentangkan perbincangan beliau dengan merujuk kepada makallah tulisan Dr. Mohd Faid Mohd Shahran bertajuk Akal Dan Kedudukannya Dalam Islam dan dilengkapkan pula oleh makalah ringkas beliau, Faham Akal Dalam Islam dan Barat: Satu Tinjauan Ringkas.



Al-Quran meletakkan akal pada kedudukan yang amat tinggi. Akal dikaitkan di dalam Al-Quran dengan “Al-‘Ilm” iaitu ilmu. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa perupamaan akal dan ilmu itu seperti buah yang terbit dari satu pohon, seperti sinar yang muncul dari mentari dan seperti penglihatan yang terhasil dari mata. Dapat di fahami bahwa, Ilmu yang bermanfaat itu terbit daripada akal yang bersih dan baik.

Faham akal ialah perkara yang paling penting. Akal yang dijadikan Allah untuk manusia merupakan suatu alat yang secara fiitrahnya adalah sesuatu yang baik, malah menjadi sumber kepada kebaikan dan mempunyai fitrah mengagungkan kekuasaan Tuhan. Ianya bukan seperti dakwaan sesetengah pihak bahwa akal merupakan instrumen naïf yang cenderung kepada perkara-perkara yang menjauhi agama kerana timbulnya ideologi mahupun fahaman serong memisahkan urusan agama dengan urusan manusia. Allah s.w.t secara jelas telah menyebutkan di dalam Al-Quran tentang ulul albab atau ulul nuha yang mana golongan yang cenderung kepada cahaya ketuhanan yang maha tinggi dan jauh dari keburukan duniawi yang rendah. Allah juga menempelak orang yang tidak menggunakan akal untuk berfikir tantang kebesaran Tuhan (afala ta’qilun).

Imam Al-Ghazali juga memberikan makna akal itu antaranya (makna yang paling dasar) sebagai satu sifat atau pembawaan tabii yang membezakan antara manusia dengan makhluk ciptaan Allah yang lain dan membolehkan manusia menerima ilmu-ilmu yang berbentuk pemikiran dan spekulatif serta menanggap perkara yang abstrak.

Makna akal yang asasi ini akan berkembang pula dengan ilmu-ilmu yang datang dari pengalaman dan ilmu-ilmu rasional yang ia pelajari. Oleh itu jika digunakan dan dipelihara dengan baik, akhirnya akan membawa implikasi akhlak yang penting. Sifat kebijaksanaan terbit daripada dari penjagaan akal yang sempurna. Sarjana Islam telah meletakkan sifat ini sebagai sifat pertengahan yang timbul sekiranya akal digunakan dengan betul, tidak berlebihan dan tidak pula berkurangan dan jika akal digunakan tanpa ikatan kepada panduan maka terbit pula sifat-sifat buruk yang seperti berbuat jahat, menipu dan membuat helah. Jika kurang digunakan, terhasil pula sifat degil, bodoh dan lain-lain.

Sewaktu Dr. Mohd Zaidi Ismail membicarakan tajuk ini saya tertarik dengan perkataan beliau mengenai perkaitan akal sebagai suatu entiti rohani yang berfungsi untuk mengikat makna-makna yang digabungjalinkan dengan faham-faham yang tertentu dan hakikat sesuatu kebenaran. Seperti contoh yang diberikan ialah, pancaindera kita. Hidung untuk mencium bau, lidah untuk merasa, telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan kulit untuk merasa sentuhan. Setiap pancaindera pula menanggap sesuatu perkara itu secara berbeza-beza. Mata semata-mata boleh melihat tidak boleh mendengar, telinga semata-mata untuk mendengar tidak pula boleh mencium bau. Masing-masing pancaindera mempunyai fungsi yang terpisah. Akan tetapi kita menanggapi sesuatu perkara itu seolah-olah menyatu dan pengalaman itu terangkum sekali untuk dirasai oleh pancaindera kita dan terbentuk pula sebagai satu pengalaman yang satu, tidak terpisah-pisah. Ibarat kita mendengar ceramah oleh penceramah dalam sebuah bilik. Mata, telinga, kulit menanggapi sesuatu secara berbeza dan akal pula berperanan merangkum bagi menyatukannya menjadi satu pengalaman dan memberikan kita makna. Kesimpulannya, akal berkebolehan sebagai pengikat kepada yang tanggapan yang terpisah itu menjadi satu dan memberikan makna kepada kita.

Satu lagi perkara yang penting adalah peranan bahasa sebagai pengikat kepada maklumat-maklumat yang ditanggapi oleh akal. Sebagai contoh, sesuatu perkara itu memberikan makna kepada kita dan bahasa pula berperanan untuk mengikat makna itu dengan objek yang di luar itu.

Selain itu, Dr. Mohd Zaidi menerangkan tentang perhubungan akal dengan syarak yang dipetiknya dari Imam Al-Ghazali. Akal itu asas dan syarak itu binaan. Tanpa akal manusia tidak akan mungkin wahyu itu boleh dihuraikan dan menghasilkan berjilid-jilid banyaknya karya kitab fiqh. Ini kerana akal memahami dan menafsir wahyu tersebut dan menghasilkan panduan-panduan fiqh kepada kita. Ini mengukuhkan perhubungan wahyu dan akal itu sangat rapat.

Akal juga penglihatan dan syarak itu pancaran cahaya. Penglihatan tanpa cahaya tidak berguna. Akal itu juga syarak dari dalam, dan syarak pula akal di luar. Begitu menarik perkaitan antara akal dan syarak kepada manusia.

Sepanjang perbicaraan tentang akal ini, Dr. Mohd Zaidi juga membincangkan persoalan tentang akal sebagai sebatian dan zatnya terpisah dari materi atau benda tetapi tindakan akal pula bersama dengan materi yang boleh kita rujuk kepada setiap insan denagn kata ‘AKU’. (Ada dihuraikan secara mendalam dalam makallah beliau: Faham Akal Dalam Islam dan Barat: Satu Tinjauan Ringkas).

Inilah sebahagian pemahaman saya secara ringkas mengenai slot pertama oleh Dr. Mohd Zaidi Ismail mengenai tajuk; Akal dalam Pandangan Hidup Islam: Satu Tinjauan Ringkas. Semoga kita berolah sesuatu dari perkongsian saya pada kali ini. Mohon maaf atas kekurangan dan kekhilafan. Wallahua’alam.

Tiada ulasan: