24 Apr 2008

Majlis bersama Ulama' - Syeikh Dr. Rafi' Taha Al-Latif Al-Rifa'iy Al-'Aniy, Mufti Negara Iraq

Semalam (23 April 2008, Jam 8.00 malam), saya berkesempatan untuk menghadiri satu Majlis Ilmu Bersama Ulama' anjuran bersama Angkatan Belia Islam Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia yang telah menjemput seorang ulama' Timur Tengah dalam rangka lawatan beliau ke Malaysia. Ulama' yang dimaksudkan adalah Syeikh Dr. Rafi' Taha Al-Latif Al-Rifa'iy Al-'Aniy, Mufti Negara Iraq.


Sedikit pengenalan ringkas tentang Syeikh Dr. Rafi' Taha Al-Latif Al-Rifa'iy Al-'Aniy ialah beliau adalah Mufti Negara Iraq dan Setiausaha bagi Jawatankuasa Tertinggi Fatwa Iraq. Dilahirkan dalam tahun 1959 di Fallujah dalam sebuah keluarga yang terkenal dalam ilmu-ilmu Syari'ah dan Tasawwuf. Beliau mendapatkan pendidikan awal daripada ahli keluarganya kemudian melalui halaqah-halaqah ilmu para ulama' di Iraq termasuk al-Syeikh Khalil al-Kubaisi, al-Syeikh Abdul Karim al-Mudarris dan al-Syeikh Abdul Karim al-Dabban. Beliau turut mengikuti pengajian secara formal dalam bidang Syari'ah dan Usul Fiqh hingga ke peringkat Phd di Universiti Baghdad.

Saya sempat merakamkan sedikit dari keseluruhan apa yang disampaikan oleh beliau untuk perkongsian kita bersama. Antaranya beliau menggambarkan Negara Malaysia negara adalah contoh kepada negara Islam lain dan rakyat negara ini kuat bekerja. Ini adalah sikap yang perlu dikekalkan untuk pembangunan sebuah negara. Beliau juga berpesan agar kita menjagalah negeri ini baik-baik. Malaysia tidak ada budaya ketaksuban mazhab atau parti yang melampau jadi jangan sampai menjadikan negara ini seperti di Iraq, taksub kepada mana-mana kelompok yang akhirnya akan membawa kepada perpecahan umat. Cukuplah tragedi dan nasib rakyat Iraq sebagai contoh dan tauladan bagi umat Islam sedunia berpunca dari ketaksuban dan perpecahan.

Sheikh Dr. Rafi' juga berpesan kepada pemuda-pemuda Islam khususnya di Malaysia supaya sentiasa mempersiapkan diri dan juga bergiat aktif di dalam Gerakan Islam. Gerakan Islam hendaklah non-partisan iaitu tidak berpihak mahupun terikat kepada mana-mana ideologi atau parti politik. Keterikatan ini akan membuatkan kerja kita tersekat dan yang rugi adalah umat.

Sheikh Dr. Rafi' merujuk kepada perjuangan organisasi atau parti Islam (beliau tidak menyebut mana-mana parti yang sedia ada di mana-mana negara) yang dasarnya berjuang untuk Islam serta 'jihad' tetapi akhirnya telah tersasar dari perjuangan contohnya dahulu bercakap mengenai menegakkan 'Daulah Islamiah' tetapi kini sudah mula bercakap soal demokrasi seperti di Barat, sudah ada juga bercakap mengenai kesamaan hak dan pluralisme. Maka kita sebagai organisasi Islam yang non-partisan hendaklah menjauhi dari terikut-ikut kepada 'trend' ini. Jika kita tidak bersetuju pula dengan parti-parti politik itu, jangan pula kita memusuhi mereka dan lebih teruk lagi janganlah kita bersekongkol pula dengan musuh kita untuk menjatuhkannya. Pesanan Syeikh Dr. Rafi' ini sangat bertepatan pula dengan kondisi kita pada hari ini.

Selain itu, beliau juga telah menjawab persoalan tentang kemungkinan akan berlakukah perpaduan umat Islam pada masa akan datang memandangkan situasi pada hari ini tidak memihak kepada umat Islam supaya bersatu dengan ketaksuban mazhab, ideologi dan sebagainya? Beliau mengatakan perpaduan tidak mustahil akan berlaku asalkan hati umat Islam dan kelompok-kelompoknya itu bersedia untuk melihat perpaduan umat Islam. Apabila hati telah bersedia, segala ideologi dan pegangan yang bercabang akan diketepikan. Beliau merujuk kepada suatu masa dahulu bahawa di Eropah perpaduan adalah sangat mustahil untuk berlaku kerana selalu terjadinya perang. Tetapi kini kita telah melihat Eropah bersatu di dalam Kesatuan Eropah (EU). Kita perlu melihat ini sebagai cabaran untuk umat Islam supaya bersatu di masa hadapan.


Beliau juga menjawab persoalan, bagaimanakah keadaan masa depan negara Iraq serta nasib dan masa depan rakyatnya. Beliau menyatakan apa yang berlaku bukan satu perkara yang kecil dan gelombang yang sangat menggangu kehidupan. Walaubagaimanapun sebagai orang mukmin kita hendaklah sentiasa bersedia menghadapi ujian dan apa jua keadaan sekalipun pastikan agama yang kita anuti ini selamat. Beliau juga menegaskan untuk menjaga agama yang ada pada diri kita ini selamat, ambillah pelajaran agama itu dari mulut atau lidah(perkataan) para ulama' dan menghayatinya, barulah kita akan dapat merasai 'zouq' (kemanisan) beragama. Beliau mengumpamakan orang yang telah merasakan 'zouq' itu ibarat orang yang telah merasai manisnya madu, walaupun seluruh manusia itu menyatakan madu itu tidak manis, dia tetap akan mempertahankan madu itu manis. Oleh itu pesan beliau lagi hendaklah kita berjinak-jinak mendekatkan diri kepada ulama dan mengambil rujukan daripadanya.

Itulah serba sedikit pesanan dari Syeikh Dr. Rafi' Taha Al-Latif Al-Rifa'iy Al-'Aniy, Mufti Negara Iraq kepada kita di Malaysia ini. Wallahua'lam.

Tiada ulasan: