
Tanggal 9 dan 10 Februari 2008 yang lalu, saya sempat meluangkan masa berkembara bersama dua orang teman ke selatan Tanah Semenanjung, Johor Bahru. Selain berjalan, melihat dan mentafsir keindahan alam dan panorama yang ada di sana, inilah peluang bagi saya untuk mengenali sahabat-sahabat dengan lebih rapat dan mengeratkan ukhuwwah Islamiyyah yang terjalin.
Perjalanan ke Johor Bahru kali ini saya bersama-sama saudara Rezwan Alias dan Helmi Rizal menaiki kereta proton milik saudara Helmi. Rupa-rupanya saudara Helmi juga sudah lama tidak pulang ke Johor Bahru atau lebih tepat lagi Pasir Gudang yang merupakan tempat 'kediaman rasmi' keluarga saudara Helmi. Kami bertolak pada jam 9.30 pagi dari Anjung Rahmat. Perjalanan kami singgah sebentar di RNR Seremban untuk bersarapan pagi dan meneruskan perjalanan terus ke JB pada jam 10.40 pagi.Sepanjang perjalanan 4 jam lebih tersebut, kami bertiga bertukar-tukar cerita dan idea, dari hal-hal peribadi sehinggalah kepada persoalan politik. Saya tertarik untuk menghuraikan satu pepatah cina yang dijelaskan oleh saudara Rezwan yang kira-kira bermaksud "Sekiranya ada masa dan juga emas, belum tentu segunung emas mampu membeli masa". Menarik bukan..? Kita sering mendengar ungkapan 'Masa itu Emas'. ‘Masa itu Emas’ pula boleh kita ertikan sebagai pengolahan SIKAP kita kepada masa yang harus di’REBUT’ nilainya seperti sikap manusia merebut akan harta (emas). Akan tetapi pepatah cina tadi ialah berkenaan pada nilai masa jika dibandingkan dengan emas.
Walauapapun jua tanggapan kita masing-masing terhadap nilai masa, pastinya semua bersetuju nilai masa tidak dapat ‘disamanilaikan’ dengan nilai material. Mari kita lihat konteks masa dari sudut seorang Muslim yang beriman dengan perkara ghaib iaitu konsep pahala dan dosa. Mungkin emas itu pasti tidak kelihatan menggunung tinggi di depan mata kini, tapi setiap nilai pahala yang diganjarkan kepada orang melakukan tijarah atau ‘jual beli’ amal soleh (ikhlas dan ihsan sebagai syarat) dengan Tuhannya pasti akan dapat melihat timbunan ganjarannya di akhirat kelak dan juga sebaliknya (dosa). Allah itu Maha Kaya dan Maha Pemurah. Seseorang yang bijak mempergunakan masa terutamanya ketika muda, yang masih mempunyai kelapangan masa dan kekuatan zahiriah, Allah akan memberikan manfaat atau ganjaran yang lebih besar dari segunung emas. Bayangkan sahaja seorang pemuda berusia 20 tahun sudah mula beramal soleh sehingga ajalnya berusia 65 tahun, berbanding seorang tua yang baru mendekati amal soleh ketika berusia 50 tahun, yang mana lebih beruntung? Disinilah letaknya nilai masa lebih dari emas tersebut. Lebih tepat lagi jika kita ambil iktibar dari maksud surah Al-Asr yang kita sudah maklum tentang kerugian manusia tidak menggunakan masa untuk berpesan-pesan kepada kebaikkan dan beramal soleh.
Kami sampai di Bandaraya Johor Bahru pada jam 1.55 tgh. Inilah kali pertama saya sampai di Johor Bahru. Kami terus ke Kompleks Mustika Embun, iaitu Sekretariat ABIM Negeri Johor. Saya diberitahu Kompleks Mustika Embun ini adalah bekas istana Sultan Johor suatu ketika dahulu dan kini telah diserahkan kepada ABIM Johor untuk dimanfaatkan. Senibinanya menarik untuk diperhatikan. Sebuah bangunan batu dua tingkat yang masih bersenibina lama. Saya teringat dengan senibina rumah lama di tempat kelahiran saya di Sarawak di mana terdapat rumah-rumah lama di sekitar Kampung No.2, Kuching, tapi sayang tidak berpenghuni dan dipelihara. Perkarangan letak keretanya pula luas dan sesuai untuk pelbagai aktiviti. Bersebelahannya pula ialah SERI ABIM. Sebenarnya keberadaan kami di Mustika Embun ialah untuk menghadiri majlis walimatul urus saudara Zainuddin, mantan SUA KPIJ (Saya pun mantan SUA gak, tapi bila lah nak kawen ek?.. huhu..) Nampak berseri dan berisi raja sehari di waktu itu. Saya doakan rumahtangga saudara Zainuddin dan isteri disinari sakinah, mawaddah warrahmah selama-lamanya. Di majlis ini saya sempat bertemu semula dan beramah dengan rakan-rakan UTM dan KPIJ Johor. Terasa dekat dan kasih pula sewaktu pertemuan singkat itu. Saudara Rezwan dan Helmi pun tidak lekang dengan gurau senda masing-masing. Saya juga sempat bertanya khabar dan bertukar cerita kepada saudari Kartini Sulaiman yang kini berada di tahun akhir di UTM. Perjumpaan yang singkat itu benar-benar menyegarkan sebuah jalinan persahabatan.
Tepat jam 4.00 kami beredar dari majlis itu untuk menziarahi tempat-tempat menarik di sekitar JB, antaranya Masjid Sultan Abu Bakar dan Danga Bay. Di Masjid Sultan Abu Bakar kami bersolat jamak qasar zohor dan asar. Selesai solat kami sempat pula bergambar kenang-kenangan di sekitar masjid. Masjid Sultan Abu Bakar yang terletak di atas bukit menghala Selat Tebrau ini sangat unik senibinanya. Pembinaan masjid ini dimulakan pada tahun 1892 dan dirasmikan pada tahun 1900. Dewan solat utama kelihatan seperti ‘ballroom tari menari’ kerana silingnya yang tinggi dan rata bercorak serta dikelilingi tiang roman yang besar. Senibina luarnya pula gabungan unsur seni bina Melayu dan Inggeris.
Ini mungkin kerana pengaruh Inggeris yang bertapak di bumi Melayu pada waktu itu. Bagi saya tidak kiralah bagaimanapun senibinanya, yang penting ialah tarikan isi kerohaniaan masjid tersebut berbanding tarikan fizikalnya. Tanpa aktiviti pengimarahan masjid, masjid hilang roh dan peranannya. Teringat saya pada tragedi tsunami di Aceh yang meranapkan semua bangunan dan rumah di Banda Aceh tapi tidak Masjid Baiturrahman. Masjid yang berusia 700 tahun itu tetap kukuh hingga ke hari ini. Masjid itu selamat dan kukuh kerana rohnya yang dilindungi oleh Allah. Lihat sahaja pada kejadian manusia, apabila roh sudah berpisah dari jasad, jasad seperti ahli gusti pun sudah tidak berguna lagi. Ini menunjukkan roh adalah kekuatan kepada fizikal. Seperti itu jugalah masjid.Jam 4.40 petang kami singgah pula ke Danga Bay. Sengaja untuk melihat apa yang ada di sana kerana sering mendengarnya di media. Tidak ubah seperti tempat-tempat rekreasi lain, orang ramai terutama muda mudi lalu lalang menikmati pemandangan dan berehat-rehat. Kami datang hanya untuk bergambar. Sewaktu disitu tiada apa-apa program yang berlangsung dan kami lihat nampak seperti baru selesai acara dan ada beberapa tempat sedang dalam pengubahsuaian.Kami terus ke rumah saudara Helmi di Pasir Gudang. Sepanjang perjalanan kami masih meneruskan perbincangan ringan. Kami sempat merancang ziarah kami seterusnya yang akan diteruskan keesokkan harinya. Sesampai sahaja di rumah saudara Helmi kami dijamukan limau mandarin, terasa seperti ziarah Tahun Baru Cina pula. Kami terasa amat letih walaupun jam baru menunjukkan jam 6.30 petang. Malam itu kami menumpang di rumah saudara Helmi dan sempat beramah mesra dengan keluarganya terutama ayah saudara Helmi, En Baharuddin. Waktu makan malam adalah masa yang sangat ditunggu-tunggu kerana telah penat seharian ‘ronda-ronda’ di sekitar JB, tibalah masa mengecas bahan bakar untuk tenaga semula. Bila merasa masakan ibu saudara Helmi teringat pula masakan ibu di rumah. Malam kami dihabiskan dengan berehat dan berbual-bual ringan hingga melelapkan mata.
Keesokkan harinya kami meninggalkan rumah saudara Helmi dan sudah pasti didoakan agar kelak akan berlaku lagi pertemuan dengan keluarganya. Jam 10.30 pagi kami menuju ke UTM Skudai untuk melihat apa yang ada di sana ketika itu. Saudara Rezwan yang merupakan bekas mahasiswa UTM dan juga bekas RA di situ membawa kami melawat ke tempat dia pernah bertugas sebagai RA dahulu iaitu di ‘Chemical Engineering Pilot Plant’. Loji ini merupakan pusat penyelidikan bagi kejuruteraan kimia yang membuat penyelidikan untuk menghasilkan produk yang berasakan rempah, hasil hutan, tanaman atau lebih tepat lagi yang berasaskan tumbuhan. Walaupun pada hari ahad terdapat juga petugas yang menjalankan tugas, bertemankan rakan saudara Rezwan iaitu saudari Madihah kami dibawa melihat makmal-makmal yang terdapat di situ dan diberi penerangan tentang kajian-kajian yang sedang dijalankan. Saya tertarik melihat peralatan-peralatan dan mesin yang digunakan dimakmal-makmal tersebut. Walaupun dapat melihat satu persatu alat yang ditunjukkan serta fungsinya, saya hanya mampu mengangguk kerana itulah adat orang yang baru kenal dan tidak tahu. Tidak tahu itu adalah suatu ilmu, kerana apabila seseorang menggunakan ‘ketidaktahuannya’ betul pada tempatnya, banyak perkara dapat dielakkan seperti menipu, memperbodohkan diri sendiri ataupun yang paling teruk menjerumuskan orang lain kelembah kehinaan atas sebab apa yang kita sampaikan adalah salah. Nabi Muhammad juga berpesan dalam hadisnya supaya kita berdiam diri jika bukan ahli dalam sesuatu bidang itu.
Jadi sememangnya lebih baik kita berdiam diri untuk mendengar dan menyoal kerana bidang penyelidikan sebegini ‘belum’ lagi menjadi bidang yang saya ceburi. Saudara Helmi dan Rezwan masing-masing rancak berbincang kerana masing-masing berlatarbelakang pendidikan kimia dan biologi manakala saya pula teknologi maklumat dan komputer. Banyak perkara yang saya pelajari antaranya penyelidikan untuk menghasilkan baja, minyak wangi yang dapat dijadikan aromatherapi antaranya wangian untuk ubat mengantuk, tidak dapat tidur dan sebagainya. Kami juga dapat mengetahui cara durian di sejuk keringkan untuk dimakan seperti keropok serta macam-macam lagi. Apa yang menariknya juga, produk-produk yang dikeluarkan ini adalah untuk pasaran dan UTM sememangnya mencari usahawan yang ada di luar untuk menjual produk hasil kajian mereka.Kami pulang dari loji tersebut dan menuju ke Pusat Sumber Maklumat untuk berjumpa Ustaz Razak yang kini sedang menjalani pengajian Master dalam bidang pengurusan sumber manusia. Perjumpaan dengan Ustaz Razak selama sejam membincangkan persoalan-persoalan haraki sememangnya penjana atau ‘booster’ kepada kami untuk terus memegang amanah dakwah dan keilmuan ini. Ustaz Razak merupakan exco ABIM Johor dan banyak perkara yang dapat diambil pengajaran daripadanya. Saya sendiri menjadi sedar bahawa tugas membina generasi rabbaniy ini merupakan tugas yang mulia dan mencabar. Setiap tindakan yang kita ambil hendaklah bersederhana, tidak menyakiti siapa-siapa serta tidak berkepentingan melainkan untuk ummat semata-mata.
Sebelum pulang ke Kuala Lumpur kami singgah bersolat di Masjid UTM dan sempat juga kami mengabadikan memori dalam gambar di dalam dan di luar masjid tersebut. Kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang selepas makan tengahari Taman Universiti yang ‘well-known’ dengan ‘harga yang berpatutan dengan rasanya’ (sedap lagi murah). Kami sampai di KL pada jam 11.00 malam kerana disebabkan kesesakkan jalan yang teruk apabila kami semakin menghampiri Seremban. Kami menggunakan jalan lama melalui daerah-daerah kecil Negeri Sembilan sehinggalah masuk semula di lebuhraya Sepang. Keletihan memandu diubati di Restoran Sate Kajang, Taman Melati dan selepas itu terus pulang ke rumah masing-masing. Kembara saya kali ini begitu banyak manfaatnya malah dapat merapatkan ukhuwwah kami bertiga dan tidak sabar untuk bertemu peluang sebegini lagi. Saya amat bersyukur pada Allah atas nikmat yang Dia berikan. Semoga kita semua mendapat manfaat hasil perkongsian ringkas saya ini. Maaf atas kekurangan mahupun ada yang tersinggung perasaan. Wallahua’alam.
1 ulasan:
Salam..
Bila kitak nyebut pasal roh, teringat balit kita berdebat pasal apa yang paling berharga bagi kepada manusia selain iman..Tapi kamek masih menang sebab kamek dah dapat jumpa kitab AR RUH karangan Ibnu Jauziy. Banyak perkara boleh dpelajari dari buku tok. Alhamdulillah..
"Manusia diciptakan mengandungi jasad dan roh. Jasad bermula daripada tanah, kemudian daripada setitis air mani. Kedua-duanya ini adalah suatu sifat yang rendah. Manakala roh dan jiwa, asalnya daripada ketinggian langit. Ia datang daripada sisi Allah. Lantaran itu, roh sering merindukan kemuliaan dan ketinggian seperti tempat asalnya. Jasad terlalu dimanjakan sehingga terlalu berat untuk berdiri menyahut permintaan rohnya yang rindukan Allah. Ketika diuji, mata boleh menangis tetapi jiwa masih percaya kepada rahmat Allah dan kelembutanNya.." :)
Catat Ulasan