Tanggal 7 hingga 12 April yang lalu saya bersama 2 lagi rakan Kelab Hamka Malaysia iaitu saudara Khairul Anwar Shazali dan Mohd Zaidi Dailami telah berpeluang ke Jakarta, Indonesia untuk menghadiri Seminar Internasional Peringatan 100 Tahun Buya Hamka yang diadakan pada 8 April 2008 di Hotel Atlet Century Park, Senayan Jakarta Selatan. Seminar ini membincangkan tema "Transmisi Keilmuan, Pemaknaan Agama dan Peran Keulamaan Buya Hamka" yang mana ucaptamanya telah disampaikan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI).
Seminar ini anjuran Universiti Muhammadiyah Prof. Dr. Hamka (UHAMKA). Seminar tersebut membincangkan tentang peranan dan budaya keilmuan yang dipelopori oleh Buya Hamka sepanjang perjuangannya yang mencakupi pelbagai aspek yang sehingga kini masih relevan untuk pengajian.
DSAI di dalam ucaptamanya menggambarkan karakter Buya Hamka seorang yang 'public intelectual' dan ini menyebabkan karya-karyanya 'seolah-olah hidup' sehingga ke hari ini. Ini kerana Buya Hamka berperanan sebagai seniman dan ulamak pada masa yang sama. Persoalan yang ditimbulkan dalam karya-karya Buya Hamka semuanya berkisahkan tentang 'life specific' atau 'specificity of life', yang menceritakan budaya, warna warni kehidupan sesuai dengan ungkapan Buya Hamka sendiri;
..Kehidupan adalah pergiliran antara senyum dan ratap...
Inilah yang menjadikan Buya Hamka sebagai cendiakawan yang bercakap dengan rakyat, menulis untuk rakyat serta wacananya berakar kapada persoalan rakyat. Berbeza dengan sesetengah cendiakawan yang khalayaknya adalah sesama cendiakawan bukannya rakyat, ini mewujudkan keterpisahan antara rakyat dan cendiakawan. Namun ini tidak berlaku kepada Buya Hamka.
Antara lain DSAI menyebutkan tentang transmisi keilmuan yang diwarisi oleh Buya Hamka melalui gerakan islah yang dipelopori oleh ayahnya. Apakah yang dimaksudkan dengan 'transmisi keilmuan' itu? Itu akan saya terangkan di dalam artikel saya yang seterusnya. Melalui transmisi keilmuan itu maka terbitlah hasil yang paling unggul atau magnum opus iaitu Tafsir Al-Azhar 30 Juzuk. Buya Hamka pastinya sentiasa berpegang teguh kepada pendirian bahawa amalan tafsir hanya boleh dilakukan oleh mereka yang tahu bahasa Arab dengan segala peralatannya, tahu penafsiran orang yang terdahulu, asbabun nuzul, tahu pula hal al-Nasakh wal Mansukh, ilmu Hadis dan ilmu Fiqh.
Karya Buya Hamka juga dilihatkan sebagai karya yang mengimbangi kepada ideologi yang wujud sperti Marxisme, sekularisme yang didatangkan daripada barat. Para pembaca karya Buya Hamka pasti akan dapat melihat keseimbangan pemikirannya yang menggalakkan kebebasan berfikir dan berijtihad tetapi mempunyai batas-batas agama yang wajib dipatuhi. Ini kerana salah satu unsur dari tajdid yang dipelopori oleh Buya Hamka adalah keterbukaan minda. Keterbukaan ini bukan bermaksud kita perlu ikut jejak kepada pemikiran barat atau aliran yang berlainan dengan kita tetapi keterbukaan dalam melihat kepelbagaian aliran untuk membuat perubahan untuk lokaliti masyarakat setempat atau serantau. Persoalan itu haruslah berakar kepada masyarakat, kebudayaan dan keperluan Asia Tenggara. Jika ini kita ambil sebagai contoh sememangnya pemikiran-pemikiran sekularisme tidak sesuai dengan acuan Melayu yang sudah terikat agama Islam dan pembudayaan adat resam yang menjaga sopan santun umatnya kerana pembaharuan itu harus kekal dengan lokaliti penduduk setempat.
Apa yang saya dapat simpulkan daripada dapatan saya sepanjang menghadiri Seminar dan Simposium 100 Tahun Buya Hamka akan saya rumuskan dalam artikel saya yang bertajuk "Milik Siapakah Buya Hamka?".
Keberadaan kami di Jakarta selama 5 hari itu kami pergunakan semaksima mungkin dengan membuat pertemuan dengan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII), Dewan Dakwah Indonesia, Pak Rusydi Hamka dan Pak Afif Hamka di kantor Masjid Al-Azhar, Ibu Dr. Alia Hamka di UHAMKA, pustakawan Perpustakaan Nasional RI dan berpeluang juga bertemu dengan Kaunselor Kedutaan Malaysia di Jakarta. Kami juga berkesempatan 'pusing-pusing' bersama teman-teman PII di sekitar bandaraya kosmopolitan Jakarta dan membeli-belah di Senin dan Tanah Abang.
Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Pak Yusuf diatas layanan yang sangat baik kepada kami sepanjang berada di Jakarta serta tidak lupa juga pada teman-teman di PII (Popi, Yudi, Jamal, Nas, Ikhwan dll) yang sanggup menemani kami dalam menyiapkan 'tugasan dalam lawatan' kami. Begitu juga dengan Pak Desyanto di UHAMKA atas kerjasama dan bantuan yang diberikan. Allah sahaja yang mampu membalas jasa baik kalian. Wallahua'alam.
:: Mohon Maaf diatas keterlewatan menulis artikel ini kerana kekangan masa ::
1 ulasan:
Ass...ya akhi afham...bagaiman kabarnya? bagus sekali tulisannya...kapan lagi ke Indonesia biar kita pusing-pusing bersama lagi..he..he..he... salaqm buat sahabat PKPIM semua dari PII...Popi Adiyes putra..www.adiyes.blogspot.com...
Catat Ulasan