1 Jul 2008

Majnun, Jin, Rasukan apa kaitannya?? Apa pula penyembuhnya?

Terdetik rasanya untuk berbicara tentang rasukan, jin dan sebagainya, kerana teringat dengan nasib seorang sahabat karib di Kuching yang kini 'menderita' akibat daripada rasukan. Moga Allah melindunginya dan menyembuhkannya. Disini saya kongsikan sebuah emel yang saya dapat suatu ketika dahulu tentang tajuk di atas.

Didalam Al-Quran banyak terdapat kalimat 'majnun' (maksudnya gila atau rasuk) yang terbit dari perkataan janna. Janna pula bermaksud menutupi dan satu-satunya ayat mengandunginya berbunyi,

"Apabila malam menutupi di atasnya, dia (Ibrahim) melihat satu bintang dan berkata, 'Ini Pemeliharaku.' Tetapi apabila ia terbenam, dia berkata, 'Aku tidak menyukai yang terbenam.'" (6:76)

Satu lagi kata terbitan bagi janna ialah jann, bermaksud jin. Ia merupakan satu daripada tiga kalimat yang apabila diterjemah menjadi jin. Sila lihat Kalimat Jin di dalam al-Qur'an.

Justeru, dalam kerasukan terdapat unsur menutupi dan pengaruh jin. Lantas orang-orang yang dirasuk didapati tidak sedarkan diri sambil melakukan sesuatu di luar kemampuan.

Percaya kepada kerasukan boleh dikatakan dapat dikesan di seluruh pelusuk dunia. Di kalangan masyarakat paling maju atau moden pun kepercayaan tersebut difahamkan hadir di sesetengah golongannya pada hari ini.

Manusia sudah lama mempercayai kerasukan. Daripada ayat-ayat al-Qur'an diketahui bahawa ia dipercayai sejak zaman Nabi Nuh lagi apabila baginda telah dikatakan dirasuk. Nabi Musa dan Nabi Muhammad juga disifatkan sebagai orang-orang dirasuk. Malah, semua rasul telah agak dirasuk sesuatu oleh kaum mereka.

Orang-orang dikatakan dirasuk, seperti disebut di dalam al-Qur'an, adalah para rasul iaitu mereka yang menyampaikan ayat-ayat Allah. Itu pertuduhan kaum mereka yang tidak menerima utusan para rasul tersebut. Di samping itu mereka dikaitkan pula dengan ahli sihir atau tukang tilik.

Ia berbeza dengan kerasukan dalam masyarakat Melayu, di mana orang-orang dirasuk tidak menyampaikan ayat-ayat Allah, tetapi bercakap yang bukan-bukan, serta berada dalam keadaan sakit, termasuk sakit jiwa, dan sama dengan al-Qur'an pula, terdapat unsur ilmu hitam, umpamanya sihir dan menilik, dilakukan oleh bomoh yang merawat.

Selain dirasuk, para rasul turut dilihat sebagai orang-orang kena sihir. Empat contoh ayat mengenainya diturunkan di bawah:

"Kami sangat mengetahui bagaimana mereka mendengarkannya, apabila mereka mendengarkan kamu, dan apabila mereka berbicara rahsia, apabila orang-orang yang zalim berkata, 'Kamu hanyalah mengikuti seorang lelaki yang kena sihir.'" (17:47)

"dan Firaun berkata kepadanya, 'Wahai Musa, aku menyangka kamu orang yang kena sihir.'" (17:101)

"Mereka berkata, 'Kamu (Salleh) hanyalah antara orang-orang yang kena sihir,'" (26:153).

"Mereka berkata, 'Kamu (Shuaib) hanyalah antara orang-orang yang kena sihir,'" (26:185).

Begitu juga keadaan orang-orang dikatakan dirasuk dalam masyarakat Melayu, mereka kelihatan bagai kena sihir.

Rasuk atau sihir dikaitkan dengan makhluk ghaib, jin dan syaitan. Mengenai jin, ia didapati mempunyai kuasa luar biasa, sebagaimana disebut di dalam ayat berbunyi,

"Ifrit, daripada jin, berkata, 'Saya akan mendatangkannya kepada kamu sebelum kamu berdiri dari tempat kamu; saya mempunyai kekuatan untuknya, dan saya dipercayai.'" (27:39)

Ifrit mengatakan dia mampu mendatangkan singgahsana Ratu Sabak dari negerinya dan meletakkan ia di hadapan Nabi Sulaiman (di Babylon) sebelum baginda bangun dari tempat duduk.

Pengaruh jin pada orang-orang dirasuk dapat dilihat apabila mereka mampu melakukan sesuatu di luar kebolehan mereka, misalan menari, melompat, menjerit, mengilai, atau bercakap dalam bahasa asing.

Golongan jin juga difahamkan membuat bisikan jahat ke dalam dada manusia. Firman Allah,

"Daripada kejahatan pembisik yang menyelinap, Yang membisikkan di dalam dada manusia, Daripada jin dan manusia." (114:4-6)

Kadang kala, orang-orang dirasuk dikatakan kena buat oleh orang lain. Lalu terbit perbuatan menuduh tanpa sebarang bukti. Demikian satu contoh bisikan jahat daripada jin dalam kes kerasukan.

Sementara golongan syaitan pula, daripada al-Qur'an, mereka didapati mengajar manusia ilmu sihir, dan bagaimana mereka boleh memecahkan seorang lelaki dan isterinya. Al-Qur'an menjelaskan,

"Dan mereka mengikuti apa yang syaitan-syaitan membacakan semasa kerajaan Sulaiman. Sulaiman bukan tidak percaya (kafir) tetapi syaitan-syaitanlah yang tidak percaya, dengan mengajar manusia sihir, ..... mereka belajar bagaimana mereka boleh memecahkan seorang lelaki dan isterinya," (2:102)

Ilmu sihir memang wujud dalam kepercayaan kerasukan orang Melayu. Contoh, benda seperti jarum, dan sebagainya, yang dikeluarkan oleh bomoh daripada tubuh orang-orang dirasuk.

Atas perbuatan syaitan mengenai lelaki dan isterinya pula, contohnya ialah keretakan sebuah rumah tangga, setelah suami berbaik-baik dengan bomoh yang merawat isterinya yang sakit (penyakit isterinya mampu dirawat oleh doktor). Keretakan menjadi serius apabila suami berkahwin seorang perempuan lebih muda dan meninggalkan isteri pertama.

Melencong sekejap untuk menyentuh mengenai sihir. Al-Qur'an menjelaskan, sihir adalah perbuatan yang menyihir mata-mata manusia, dan ia boleh menimbulkan perasaan takut. Ayat-ayat berkaitan adalah:

"Dia (Musa) berkata, 'Lemparlah kamu.' Dan apabila mereka (ahli-ahli sihir) melempar, mereka menyihir mata-mata manusia, dan menjadikan takut pada mereka, dan mendatangkan sihir yang besar." (7:116)

"Berkata, 'Tidak, kamu lemparlah!' Dan tiba-tiba ia, seolah-olah nampak kepadanya, daripada sihir mereka, tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka merayap," (20:66).

Itu kisah Nabi Musa dengan ahli-ahli sihir Firaun, di mana tongkat-tongkat dan tali-tali, pada pandangan mata, menjadi ular-ular yang merayap.

Balik kepada bicara mengenai syaitan. Makhluk ini menakut-nakutkan manusia. Lantaran itu, Allah mengingatkan supaya jangan takut kepada mereka tetapi takut kepada-Nya dan menjadi orang-orang mukmin (yang mempercayai ayat-ayat-Nya). Firman Allah,

"Itu adalah syaitan yang menakut-nakutkan sahabat-sahabatnya, maka janganlah takut pada mereka, tetapi kamu takutilah Aku, jika kamu orang-orang mukmin." (3:175)

Syaitan menggoda manusia hingga menjadi bingung. Mereka diutus kepada orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah untuk menyucuk sesuatu yang tidak baik. Sila lihat dua ayat di bawah:

"Seperti orang yang digoda hingga kebingungan di bumi oleh syaitan-syaitan," (6:71)

"Tidakkah kamu melihat bagaimana Kami mengutus syaitan-syaitan terhadap orang-orang yang tidak percaya untuk menyucuk mereka, dengan cucukan?" (19:83)

Suami yang isterinya sakit tadi telah digoda dan dicucuk hingga berkahwin baru. Sementara isterinya, semasa sakit dalam tempoh agak panjang, timbul perasaan benci terhadap suami hingga enggan melihat mukanya. Keadaan dia seolah-olah dirasuk. Bomoh yang mereka percayai mengiakannya pula. Tapi sebab sebenar ialah si suami selalu balik lambat kerana melayan orang lain termasuk perempuan-perempuan.

Syaitan akan masuk ke dalam khayalan manusia, ketika manusia memikirkan sesuatu tidak berguna. Ayat yang menjelaskan berbunyi,

"apabila dia berkhayal, syaitan melemparkan ke dalam khayalannya;" (22:52)

Kedua-dua suami isteri tadi telah dimasuki syaitan dalam fikiran atau khayalan mereka yang berlainan.

Syaitan adalah daripada golongan jin dan manusia. Firman-Nya,

"syaitan-syaitan daripada manusia dan jin," (6:112)

Justeru, apa yang agak dilakukan oleh jin tadi adalah sebenarnya perbuatan syaitan. Dan bomoh yang melakukan sihir ialah satu contoh syaitan jenis manusia. Mereka tidak harus didampingi kerana mereka, pada hakikatnya, tidak beruntung. Firman bermaksud,

"ahli-ahli sihir tidak beruntung." (10:77)

Besar kemungkinan bomoh akan menggunakan makhluk jin dalam rawatannya. Dalam hal ini, teringat satu peringatan daripada Allah berbunyi,

"Tetapi ada lelaki-lelaki tertentu daripada manusia yang meminta perlindungan kepada lelaki-lelaki tertentu daripada jin, dan mereka menambahkan mereka dalam kekejian," (72:6)

Pertolongan atau perlindungan daripada jin hanya menambahkan dalam kekejian. Tidak pula disebut di situ sama ada ia jin islam atau kafir. Apapun, islam atau kafir, hanya Allah yang mengetahui. Peringatan Allah selanjutnya mengenai hubungan manusia dengan jin berbunyi,

"Dan orang-orang yang tidak percaya berkata, 'Wahai Tuhan kami, perlihatkanlah kepada kami mereka yang menyesatkan kami, kedua-dua jin dan manusia, dan kami akan meletakkan mereka di bawah kaki kami supaya mereka menjadi antara orang-orang yang lebih rendah.'" (41:29)

Mungkin ada orang menyebut mengenai Nabi Ayub yang disentuh syaitan. Jika begitu, kini diturunkan ayat-ayat bersabit:

"Dan ingatlah akan hamba Kami, Ayub; apabila dia memanggil Tuhannya, 'Sesungguhnya syaitan menyentuhku dengan keletihan dan azab.'
'Hentakkanlah kaki kamu! Ini adalah satu tempat mandi yang dingin, dan satu minuman.'
Dan Kami memberikan dia keluarganya, dan yang serupa dengan mereka bersama mereka sebagai satu pengasihan daripada Kami, dan peringatan, bagi orang-orang yang mempunyai minda.
Dan, Ambillah di tangan kamu seikat rumput, dan pukullah dengannya, dan janganlah melanggar sumpah kamu.' Sesungguhnya Kami mendapati dia seorang yang sabar. Seorang hamba yang sangat baik! Sesungguhnya dia orang yang kembali." (38:41-44)

Ayat-ayat tidak menunjukkan bahawa Nabi Ayub dirasuk. Cuma disentuh syaitan sahaja. Mungkin baginda telah membuat suatu kesilapan terhadap Allah, seperti tidak menepati sumpah, akibat sentuhan syaitan, serupa penggodaannya terhadap Adam dan isteri. Lalu, seperti Adam dan isteri, baginda dihukum, bukan dengan dibuang negeri tetapi dengan keletihan, kesakitan, dan kehilangan ahli keluarga.

Yang menarik perhatian ialah air dari bumi untuk baginda mandi dan minum supaya menyembuhkan sentuhan syaitan.

Terapi air bagi sesetengah jenis perubatan atau rawatan adalah satu cara dalam proses penyembuhan. Al-Qur'an ada menyebut lagi mengenai air, iaitu air dari langit, untuk menghilangkan kecemaran syaitan. Ayat berbunyi,

"Apabila menjadikan tidur nyenyak menutupi kamu sebagai keamanan daripada-Nya, dan menurunkan kepada kamu air dari langit untuk membersihkan kamu dengannya, dan untuk menghilangkan daripada kamu kecemaran syaitan, dan untuk menguatkan hati kamu, dan untuk memperteguhkan kaki kamu dengannya." (8:11)

Konteks ayat ialah semasa perang. Pun begitu, mungkin kandungannya mengenai air dan tidur nyenyak boleh dipakai untuk rawatan bagi menghilangkan kecemaran syaitan. Tentang air dari langit adalah dirasakan tidak begitu perlu menadah air hujan kerana air paip pun dari langit juga.

Golongan manusia yang kerap dilanda kerasukan adalah mereka yang mempercayainya lebih daripada mempercayai Allah dan kuasa-Nya. Mereka takut kepada syaitan lebih daripada menakuti Allah. Mulut mereka tidak sunyi menyebut mengenai rasuk, buatan orang, dan seumpamanya, terutama apabila sesuatu berlaku kepada ahli keluarga atau kenalan. Sebutan menjadi basahan lalu mudah bagi syaitan jenis jin dan manusia mengambil kesempatan.

Kerasukan berlaku hanya dengan izin Allah. Maka kepada-Nya dipohon perlindungan, iaitu perlindungan daripada syaitan. Lafaz yang diajar-Nya ialah:

"Wahai Pemeliharaku, aku berlindung pada Engkau daripada cadangan-cadangan jahat syaitan-syaitan,
Dan aku berlindung pada Engkau, wahai Pemeliharaku, daripada mereka hadir padaku.'" (23:97-98)

Perlindungan yang dipohon adalah daripada cadangan-cadangan jahat syaitan-syaitan, dan daripada mereka hadir pada diri si pemohon.

Dua surah al-Qur'an terakhir turut mengandungi permohonan perlindungan daripada Allah. Tentang perlindungan yang dipohon adalah jelas disebut di dalamnya. Mereka berbunyi,

"Aku berlindung pada Pemelihara yang membelahkan (pada waktu dinihari),
Daripada kejahatan apa yang Dia cipta,
Daripada kejahatan kegelapan apabila ia gelap,
Daripada kejahatan orang (perempuan) yang meniup pada ikatan,
Daripada kejahatan pendengki apabila dia dengki." (113:1-5)

"Aku berlindung pada Pemelihara manusia,
Raja manusia,
Tuhan manusia,
Daripada kejahatan pembisik yang menyelinap,
Yang membisikkan di dalam dada manusia,
Daripada jin dan manusia." (114:1-6)

Namun begitu, perlindungan yang paling baik ialah percaya kepada ayat-ayat Allah yang terkandung di dalam al-Qur'an, serta mengamalkannya, supaya Dia tidak mengutus syaitan-syaitan kepada kita.

Dengan peringatan itu bicara mengenai rasuk dan penyembuhnya berakhir, dan penulis sedia dibetulkan.

Terima kasih. Wallahua'lam.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam Ukhwah..

Syaitan manusia sama juga dengan pencuri. Ubatnya ialah dengan kalimah Allah.. Saya ada pengalaman menarik untuk dikongsi bersama. Suatu hari, rumah tokbah saya dimasuki pencuri. Pencuri datang lagi untuk kali kedua. Kerana takut berulang kembali, tokbah memagari rumah dengan jirusan air Yasin. Kerana keyakinan yang tinggi pada kehebatan air Yasin dan dengan kekuasaan Allah, alhamdulillah dengan izin Allah rumah tokbah sampai sekarang tiada lagi di masuki pencuri. Tokbah kata.."Itulah syaitan, takut dengan Allah. Pencuri yang dirasuk syaitan suka merosakkan diri si pencuri dan manusia lain. Bila kita yakin akan Allah, insya-Allah akan selamat. Allah pasti akan menjagamu."

Maka, selalulah kita beristighfar dan memohon petunjuk dari-Nya.

Wa-Allahu'alambissawab..