16 Mei 2008

PTD Assessment Center (PAC)

Entri ini sengaja saya lambatkan kerana ingin menjaga etika rahsia sebagai seorang yang telah menjalani PTD Assessment Center (PAC) pada minggu lepas kerana hari ini (16 Mei 2008) akan ada lagi kumpulan terakhir akan ber’PAC’ di seluruh Malaysia. Saya tidak akan menceritakan strategi aktiviti yang kami lakukan tetapi sekadar berkongsi emosi dan rasa ketika berada di PAC tersebut. di Kolej Multimedia Telekom Kuching pada 9-11 Mei 2008 yang lalu.

Saya pulang ke Kuching pada 8 Mei 2008 untuk menghadiri PAC bagi penapisan pengambilan untuk lantikan ke jawatan Pegawai Tadbir Dan Diplomatik (PTD) 2008. Ini merupakan kepulangan saya yang ketiga tahun ini. Seronok rasanya dapat pulang ke Sarawak. Saya berada di Sarawak selama 6 hari; 3 hari khusus untuk PAC manakala 3 hari lagi khusus untuk bersama keluarga dan sahabat handai yang sempat saya ziarahi.

Segala puji bagi Allah kerana saya telah lulus Ujian PTD M41 yang lalu yang mana entrinya ada saya nukilkan di blog ini (disini). Jika hendak dikatakan saya lulus untuk terpilih ke PAC ini adalah kerana apa yang telah saya lakukan di Ujian PTD M41 yang lalu, mungkin ada kebenarannya, kalau tidak masakan boleh terpilih ke PAC?

Saya tiba di Kuching pada pagi 8 Mei 2008, sempat lagi untuk membuat persiapan terakhir sebelum ke PAC. Mana tidaknya, surat panggilan ke PAC itupun saya belum pernah lihat lagi. Saya hanya diberitahu oleh ayah saya mendapat panggilan ke PAC di Sarawak pada 9-11 Mei 2008 dan tiket penerbangan segera saya tempah selepas itu.

Rupa-rupanya, surat itu mengatakan bahawa sesiapa yang hendak hadir ke PAC hendaklah menelefon urusetia PAC untuk ‘confirmation’ selewat-lewatnya 8 Mei 2008 iaitu hari ini! Waduh! Nasib baik sempat lagi… dan selepas itulah baru saya tahu tempat PAC Sarawak telah ditukar ke Kolej Multimedia Telekom, Jalan Sultan Tengah, tidak seperti di dalam surat supaya mendaftar di INTAN Sarawak, Jalan Badruddin.

Petangnya saya sempat lagi membeli pakaian sukan kerana saya pulang tidak membawa baju sukan lebih-lebih lagi yang berkolar dan berwarna putih. Langsung tiada. Pada malamnya, keletihan selepas perjalanan pulang masih terasa, malam itu tidak sempat berbuat apa-apa, terus lena diulit mimpi selepas solat isya’.

Saya ke PAC dengan tergesa-gesa kerana pendaftaran berakhir pada jam 11 pagi. Saya keluar dari rumah pada pukul 10.30 kerana pagi itu saya sibuk menggosok setiap pakaian yang hendak dibawa, almaklumlah PAC nakkan semua calon menggunakan pakaian pejabat yang kemas, tiada pakaian lain, aktiviti malam pun kena pakai tali leher! Perjalanan ke kolej tersebut dari rumah saya hanya 15 minit.

Saya tiba di Kolej Multimedia Telekom pada jam 10.50 pagi. Lega kerana masih sempat. Tiba sahaja terus mendaftar bilik asrama dan ukur berat serta tinggi. Nampaknya ada seorang yang lagi datang ‘tepat’ pada masa ‘puncaknya’, kami jadi rakan sebilik. Kami sama-sama mendaftar dan alangkah bertuahnya, rakan saya tadi adalah calon yang ke 99 yang mendaftar manakala saya lagilah bertuah kerana saya adalah calon yang ke 100 mendaftar pada pagi itu. Jadi, sepanjang PAC itu saya memakai tag nombor 100 sebagai tanda nama. Selepas pendaftaran kami diberitahu jumlah calon yang mendaftar ialah genap seratus orang dan sayalah orang yang keseratus itu… =P Saya rasa sayalah yang paling unik kerana satu-satunya calon yang memakai nombor 3 digit.

Rakan satu sekolah


Apa yang boleh saya perkatakan tentang PAC ialah satu peringkat penilaian para calon PTD untuk kebolehan mengeluarkan pendapat yang bernas serta berisi, lancar dalam pengucapan awam (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris), spontan dalam mengeluarkan hujah dan fakta, bijak bertindak dan bekerjasama dalam membuat keputusan secara berkumpulan, YAKIN pada diri sendiri (keyakinan ini boleh saya katakan sebagai keyakinan bersuara, tidak tergagap-gagap, jelas kata dan ayat), cergas tubuh badan, peka kepada isu semasa, penguasaan Bahasa Melayu dan Inggeris yang baik, penilaian emosi dan mental dalam mengeluarkan hujah dan idea dan tegas dalam pendirian.

Seseorang calon tidak perlu untuk bersikap terlalu dominan dalam setiap tindakannya dalam berkata-kata sehingga menenggelamkan orang lain. Seseorang yang pendiam pula tidak semestinya akan menjadi calon yang pasif dan gagal dalam PAC jika pendapatnya bernas lagi berisi bila bersuara walaupun hanya sekali, kerana orang sebegini adalah orang yang tahu menggunakan kata-kata untuk mempengaruhi ahli mesyuarat betul pada masanya. Bagi saya untuk menjadi calon yang sebegini pola pemikirannya hendaklah analitik dan menyeluruh dalam menilai masalah dan penyelesaian.

Tengok nombor-nombor mereka, kebetulan duduk bersama sewaktu minum malam

Ada rakan-rakan yang berpendapat bahawa mereka susah untuk berbahasa Melayu baku berbanding bertutur di dalam bahasa Inggeris. Mengapa ini terjadi? Saya rasa ini disebabkan kurangnya praktik bertutur mahupun penulisan dalam bahasa kebangsaan serta kurangnya membaca bahan bacaan ilmiah berbahasa Melayu di dalam masyarakat kita. Nah, di sini timbul lagi persoalan di manakah kita meletakkan martabat bahasa kebangsaan kita dalam diri kita? Peranan kerajaan dalam memartabatkan bahasa kebangsaan pula bagaimana? Terpulang pada anda untuk berfikir akan kesannya pada masyarakat kini.

Semua aktiviti yang dijalankan memerlukan penguasaan bahasa Melayu yang baik, tidak dinafikan juga keperluan berbahasa Inggeris. Kami dinilai dalam aktiviti wacana intelektual, pengucapan awam, public speaking, simulasi mesyuarat dan akhir sekali debat ala parlimen.

Apa yang saya harapkan dan doakan ialah hanya calon-calon yang layak dan berkreadibiliti sahajalah yang terpilih. Begitu juga saya mengharapkan calon-calon yang terpilih untuk ke peringkat seterusnya selepas ini dapat memberikan yang terbaik dan bijak dalam memilih arah tuju hidup apabila bergelar PTD. Saya berpendapat bekerjaya sebagai PTD sememangnya lumayan dan mempunyai kelas tertentu, tetapi cabarannya juga banyak dan berliku. Menjadi orang penting kementerian dan jabatan kerajaan termasuk agensi-agensi di bawahnya bukan kerja mudah. PTDlah yang menentukan dasar pentadbiran negara, mengawal dan memimpin 'anak buah' atau kakitangan di bawahnya. Masa yang dikorbankan juga sudah pasti akan mengambil masa berkualiti untuk keluarga, anak-anak, jemaah, masyarakat dan sebagainya. Almaklumlah selepas bergelar PTD akan ada bermacam-macam skim yang perlu diikuti, DPA selama 6 bulan, latihan itu ini, dan tidak ketinggalan jika terpilih untuk manjadi pegawai di kedutaan Malaysia di luar negara. Jika mahukan barang yang lumayan nampaknya perlu membayar dengan harga yang lumayan juga. Jadi, fikir-fikirkanlah antara kerjaya, wang, masa bersama keluarga, jemaah dan masyarakat. Begitulah hakikatnya. Saya teringat, awal-awal lagi saya sudah dipesan oleh seorang rakan sebelum saya ke PAC, pesanan yang nyata dan terang. 'Kalau ngko jadi PTD kelak, janganlah ngko jadi korup macam ada yang lain, aku harap macam tu lah, tapi aku percaya kat ngko, jadilah public servant yang amanah'. Bagi saya tidak kira kita bekerja sebagai apa sekalipun, jadilah 'public servant' dan paling utama 'Allah servant' yang amanah. Begitulah serba sedikit tentang PAC.

Ayah dan adik sewaktu mendaftar di IKMAS

Kepulangan saya ke Kuching kali ini tidak banyak memberikan kesempatan kepada saya bertemu rakan-rakan PERKEPIS dan ABIM Sarawak, cuma seorang dua sahaja. Tapi 'quality times' tersebut banyak saya habiskan bersama keluarga, antaranya menghantar adik saya yang lepasan SPM mendaftar di Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak, IKMAS. Dia mengambil Diploma Pengajian Islam dan Dakwah selama 3 tahun. Apa yang saya harapkan adik saya akan menjadi permata keluarga dan masyarakat dalam mengukuhkan Islam dan dakwah di bumi Sarawak kelak. Wallahua’lam.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

brp org adik ktk sebenarnya?

En. Am berkata...

salam..
kamek ada 3 adik, 2 laki n sorang perempuan.

Tips PTD berkata...

saya suka dengan nasihat sahabat saudara pasal KORUPSI. itu mmg hal penting tapi ianya lahir dari jatidiri yang teguh. tapi bila dah duit depan mata selalu sangat kita klabu mata. hehe


http://tipsptd.com/blog/