7 Jul 2008

Memimpin, Cara Dua ‘Umar’: Untuk Pemimpin-Pemimpin Kita (2)

Islam mempunyai banyak teladan kepimpinan antaranya daripada Khalifah Umar Al-Khattab dan cicitnya, Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Pemimpin-pemimpin yang beragama Islam di Malaysia khususnya perlu belajar daripada mereka berdua kerana majoriti mereka memimpin tampuk pemerintahan negara. Akan tetapi mengapa pula Ketua Menteri Pulau Pinang (bukan Islam) yang mengakui ingin mencontohi gerak kerja Khalifah Umar bin Abdul Aziz dikatakan tidak menghormati Islam dan menghina tokoh Islam? Apakah kita selaku orang Islam pula tidak malu pada diri sendiri iaitu enggan pula mencontohi tokoh Islam malah mengangkat tokoh-tokoh pemimpin bukan Islam seperti Abraham Lincoln, Winston Churchill, Nelson Mandela, John F. Kennedy dan lain-lain? Owh, mungkinkah mereka belum kenal siapa dua Umar ini? Apa istimewa mereka berdua ini?

Suatu ketika Utbah bin Farqad, gabenor Azerbaijan pada masa pemerintahan Umar Al-Khattab telah menjamu makanan yang ditawarkan oleh rakyatnya.

Gabenor pun bertanya”Apa nama makanan ini?”.

“Namanya hasish, ia dibuat daripada kuram dan minyak sapi”, jawab salah seorang wakil rakyatnya.

“Subhanallah, sangat sedap dan manis makanan ini. Kalau kita kirim makanan ini kepada Amirul Mukminin tentu dia gembira.”, kata gabenor.

Kemudian gabenor memerintahkan rakyatnya tadi membuat makanan yang serupa tetapi lebih enak. Setelah makanan tersedia, gabenor pun memerintahkan pula utusan supaya menghantar makanan itu kepada Khalifah Umar di Madinah. Setelah tiba di Madinah, utusan tadi terus berjumpa khalifah dan khalifah pun bertanya.

“Makanan apakah ini?”

“Makanan ini namanya hasish, Makanan paling lazat di Azerbaijan.”, jawab si utusan.

Umar bertanya lagi, “Apakah seluruh rakyat Azerbaijan dapat menikmati makanan ini?”

Si utusan pun mejawab, “Tidak, tidak semua boleh menikmatinya,”.

Umar pun segera berkata dengan tegas memerintahkan utusan itu kembali ke Azerbaijan dengan makanan itu sekali serta dengan sepucuk surat kepada gabenor. Antara isi pentingnya berbunyi;

“……makanan semanis dan selazat ini bukan dibuat daripada wang ayah dan ibumu. Kenyangkan perut rakyatmu dengan makanan ini sebelum engkau mengenyangkan perutmu.”

Dikesempatan lain, pernah pula Khalifah Umar Al-Khattab berkata.

“Aku orang pertama yang merasa lapar jika rakyatku kelaparan, dan akulah orang yang terakhir merasa kenyang kalau mereka kenyang”.

Pengajaran dari episod kedua ini ialah,

  1. Umar seorang pemimpin yang sangat peduli akan nasib dan mementingkan rakyatnya daripada kemahuan dirinya. Ini dibuktikan dengan kata-kata dan perbuatan Khalifah Umar Al-Khattab sendiri dalam pemerintahannya. Akan tetapi persoalannya disini ialah, apakah ada pemimpin kita hari ini mengikut jejak langkah beliau dalam menjaga kebajikan rakyatnya. Kalau adapun, dapat kita lihat dalam mereka memberikan kebajikan kepada rakyat, tetap juga mereka memperoleh kesenangan yang melimpah banyaknya berbanding dengan apa yang rakyat perolehi. Betapa ramai lagi rakyat Malaysia yang masih serba kekurangan tetapi pegawai tinggi kerajaan mahupun pegawai di GLC masih lagi mendapat tambahan elaun keraian dan hidup dalam kemewahan. Tindakan ini langsung tidak menjaga perasaan, hati dan perut rakyat, tambah-tambah lagi dengan menaikkan harga bahan api yang turut mengakibatkan kenaikan harga barang makanan dan keperluan asas yang lain. Secara ironisnya, sikap pemimpin ketika ini dilihat justeru sebaliknya. Mereka lebih banyak berfikir bagaimana menyenangkan ketuanya berbanding memikirkan orang bawahan. Ini disebabkan mereka mahukan kesenangan sendiri kelak hasil daripada ‘perkhidmatan’ untuk ketuanya tadi.

  1. Dapat dipetik lagi dari kisah tadi ialah, Umar melarang sikap mengampu orang atasan. Tentu tiada niat buruk gabenor Azerbaijan Utbah bin Farqad untuk mengampu ketuanya. Dia hanya ingin menyenangkan hati khalifah. Tapi, Umar Al-Khattab tidak menginginkan hal itu. Dia bukan tidak mahu dihargai tetapi dia lebih mementingkan rakyatnya. Tapi kini lain pula yang terjadi, pengampu orang atasan ada dimana-mana. Yang difikirkannya adalah bagaimana jawatan yang dia ada kekal padanya dan bagaimana untuk mendapat jawatan yang lebih tinggi daripada sekarang. Ini sekali lagi akan menjadi ketidakadilan dalam kepimpinan apabila ketuanya tadi terpaksa memberi balasan atas kesenangan yang dia dapat dari si pengampu. Hasilnya kekayaan yang ada berlegar di sekiling mereka sahaja.

Akhirnya, diperlukan pemimpin yang adil dan bebas untuk memimpin umat daripada ketinggalan. Kesejahteraan yang berlaku semasa perintahan dua Umar tersebut bukan hanya lantaran meningkatkan penghasilan rakyat, tetapi tersebarnya kekayaan secara adil dan saksama. Tanpa pemimpin adil dan bertimbang rasa, kita tidak dapat berharap rakyat akan hidup sejahtera.

p/s: Umat Melayu juga pernah dibuktikan kelahiran pemimpin yang adil kepada rakyat kerana mengikuti prinsip mengutamakan kepentingan rakyat, Sultan Alauddin Riayat Shah dan Tun Abdul Razak. Jadi tidak mustahil jika ada pemimpin negara kita kini dapat melakukan sedemikian juga.

Renungan: tapi kan.. pemimpin yang sebegini selalu wafat semasa memerintah, tempoh memerintah pendek pulak tu.. (Umar Al-Khattab – 2 tahun, Umar bin Abdul Aziz – tidak sampai 3 tahun, Sultan Alauddin Riayat Shah – 7-10 tahun, Tun Abdul Razak – 5 tahun) kenapa ek?? Mungkin tandanya Allah lebih sayang kepada mereka… Wallahualam..

Kisah akan bersambung lagi…

Tiada ulasan: