Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan

9 Jan 2008

Selamat Tahun Baru 1429H



Pejam celik masa berlalu, tahun 1429H kini sudah menjengah dan akan kita tempuh setahun lagi untuk mencorak kematangan sebagai seorang insan. Tahun 1428H yang melabuhkan tirainya bermakna kita telah pun menjalani umur kita yang telah ditetapkan telah berkurang selama setahun. Semakin bertambah usia dan tahun semakin dekat kita kepada janji Allah s.w.t. Namun begitu Rasulullah s.a.w. telah mengkhabarkan kepada kita orang yang paling bijak adalah orang yang mengingati mati dan bersiap menghadapinya. Orang yang ingat akan pertemuan dengan Tuhannya akan sedaya upaya mempersiap diri untuk berjumpa dengan-Nya. Maut boleh menjemput pada bila-bila masa. Soalan nya, bersediakah kita jika apa yang dijanjikan itu sudah menunggu di hadapan pintu rumah kalian? Secara peribadi saya merasakan diri masih banyak kekurangan serta dosa dan semata-mata mengharapkan rahmat dan belas kasihan Allah di hadapan-Nya kelak jika maut menjemput saya di waktu ini.

Oleh itu hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah dan para muhajirin dari Mekah ke Yathrib (kini Madinah) sebenarnya menuntut sesuatu dari kita walaupun kita lahir dikalangan orang yang terkemudian. Kita tidak terkecuali dari tuntutan hijrah ini kerana manusia sering hidup di antara dua persimpangan. Antara baik dan buruk, mahu atau tidak, semuanya menuntut manusia untuk membuat pilihan. Atas dasar itulah hijrah sentiasa dituntut untuk dilaksanakan. Walaupun kini tiada lagi hijrah yang secara fizikal (perpindahan tempat umat islam secara beramai-ramai) buat kali kedua nya, serta tiada lagi pengiraan tahun Hijrah yang baru, tetapi hijrah yang disambut menuntut kepada semangat hijrah supaya sentiasa mekar dan segar dalam diri setiap umat Islam.

Sebagai umat Islam yang mengerti akan soal tujuan dalam hidup ini (mahupun yang bukan Islam yang sentiasa mencari kebenaran), kita perlu bijak memilih keutamaan dalam menjalani urusan seharian kerana ini juga sebahagian daripada semangat hijrah yang patut kita ikuti selain pengorbanan, kesetiaan, perancangan strategik dan lain-lain lagi iktibar. Rasullullah s.a.w. telah memilih keutamaan untuk menyelamatkan ajaran dan akidah umat Islam daripada dicabuli barbanding harta benda dan tanah air sendiri di mana letaknya Baitullah yang baginda kasihi. Memilih keutamaan dalam urusan seharian dengan membezakan yang mana keperluan dan yang mana kehendak atau yang mana bersifat darurat dan yang mana bersifat santai adalah perkara yang amat penting pada waktu ini kerana kita sudah kesuntukan masa! Seperti petikan kata-kata As-Syahid Imam Hassan Al-Banna, "Kewajian kita lebih banyak daripada masa yang kita ada" mesti kita praktiskan dan tidak dijadikan retorik semata-mata. Jadi, bersama-samalah kita pergunakan masa yang kita ada ini untuk menyumbang kepada agama, bangsa dan negara. Walaupun masa kita seharian telah penuh dengan jadual dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita, itu bukan satu pengecualian kita tidak ikut serta kepada penyebaran Islam. Lihatlah sekeliling kita, kita diberi masa 24 jam oleh Allah sama rata kepada semua manusia, tetapi ada manusia yang menjadi ilmuwan, orang yang disegani tetapi masih mampu berbuat sesuatu untuk umatnya dan ada juga yang menjadi pesalah laku mahupun tidak dapat menyumbang apa-apa kepada orang disekilingnya malah menyusahkan orang lain. Ini kerana mereka yang beruntung tersebut telah memilih keutamaan yang perlu didahulukan di dalam hidup mereka dan mereka yang rugi itu telah silap percaturan melengahkan ataupun meninggalkan kewajipan mereka. Oleh itu wahai sahabat-sahabat sekalian, sama-samalah kita berhijrah memimpin diri sendiri terlebih dahulu kearah perubahan yang positif dengan memilih keutamaan dalam pelajaran, gerakan dakwah, membantu orang yang memerlukan bantuan, mencari dan menyampaikan kefahaman (ilmu) , menunjukkan akhlak yang mulia berbanding bermain 'PC' game, berborak berlebihan hingga membazir masa, tidur yang berlebihan mahupun sentiasa mahu keselesaan dalam hidup tanpa peduli akan orang lain.

Sayugia sebagai umat Islam, pengajaran-pengajaran yang tersurat dan tersirat sebeginilah patut kita raikan dan ikuti di samping menjadi teras dalam meralisasikan azam tahun baru kita. Bukannya berkumpul tanpa tujuan yang tidak menjamin apa-apa untuk diraih di masa hadapan. Sesungguhnya dunia ini adalah ladang, tempat menyemai dan menjaga tanaman manakala akhirat nanti menjadi tempat untuk menuai hasil tanaman. Jadi, jangan jadikan diri kita rugi di sana kelak. Sempena tahun baru 1429H ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan kepada seluruh umat Islam di seluruh dunia selamat memperbaharui tekad dan azam untuk berubah ke daerah yang lebih baik sifatnya serta moga kita dapat merealisasikan impian masing-masing. Insya-Allah setiap perbuatan baik kita kerjakan akan mendapat pahala daripada Allah begitu juga setiap keburukan yang kita tinggalkan juga akan mendapat ganjaran daripada Allah s.w.t. Wallahu'alam.

8 Jan 2008

Sekadar Respon Untuk Ingatan Bersama

Kebelakangan ini kita telah dikejutkan dengan pelbagai isu yang adanya membangkitkan kemarahan, kejutan malah keraguan bagi kita khususnya komuniti Islam di Malaysia. Semua isu yang timbul juga punya maksud yang tersirat dan tersurat yang memerlukan kita untuk sama-sama berfikir apakah yang harus kita lakukan terutamanya hidup dalam satu jemaah atau masyarakat. Isu-isu yang terjadi baik secara sengaja, tidak sengaja mahupun yang terbongkar kerahsiaanya kebelakangan ini semuanya berkaitan untuk menimbulkan kesedaran kepada kita sebagi hamba Tuhan. Saya teringin sekali untuk memberi beberapa pandangan personel saya yang boleh sama-sama kita halusi lagi.

Isu-isu yang saya maksudkan disini memerlukan tindakan kita sebagai orang yang paling bawah dalam komuniti masyarakat iaitu memberi kefahaman yang sebetulnya tentang masalah yang timbul terutamanya ahli keluarga, rakan-rakan dan teman seperjungan kita. Pada pendapat saya, pendekatan ini lebih berbentuk jangka panjang, selamat serta 'cost-effective' jika dilaksanakan. Hakikat ini harus kita terima seadanya kerana perubahan zaman membuatkan orang menerima sesuatu kebenaran itu berdasarkan orang lebih dipercayainya berbanding kebenaran itu sendiri. Penjelasan kepada isu akhbar the Harold contohnya perlu kita ambil peduli sebagai orang yang sudah mengetahui agenda segolongan orang-orang bukan Islam yang cuba mengelirukan secara tersirat untuk menerbitkan risalah mereka dengan membenarkan perkataan 'Allah' digunakan menggantikan perkataan God yang selama ini digunakan. Oleh itu, sebagai golongan yang peka, perlulah kita mengambil inisiatif untuk memberikan sebaran umum kepada orang disekililing akan isu ini selain dapat menjadi benteng kepada mereka dan diri kita jika ini benar-benar dilaksanakan. Walaupun isu ini tidaklah menjadi sebesar isu penghinaan kepada agama Islam, tapi jika terlaksana maka Islam di Malaysia khususnya sudah hilang eksklusifme nya sebagai agama yang satu disisi Allah s.w.t. Isu PTPTN juga merupakan isu yang perlu kita ambil peduli khususnya oleh para peminjam PTPTN kerana ianya berhubung kait dengan maksiat riba jika masih perkara tersirat di sebaliknya tidak kita ketahui. Antara bacaan yang sesuai untuk mendalami dan memahami isu ini adalah tulisan Ustaz Zaharuddin di www.zaharuddin.net.

Apa yang suka saya kongsikan bersama adalah berkenaan isu sosial yang terpapar di ruang akhbar. Kita sering terbaca artis di negara kita khususnya yang mengaku dirinya kuat beribadah di waktu malam, mengamalkan sunnah nabi, solat 5 waktu tidak ditinggalkan dan buktinya telah kita lihat mereka ini telah menyahut seruan Baitullah mengerjakan umrah, haji dan sebagainya. Ini tidak salah sama sekali malah dituntut dalam agama kita. Apa yang mereka gambarkan di sini ibarat tiada salah dan cacat celanya seorang artis yang beragama Islam. Tetapi permasalahan yang timbul amat tersirat bagi mereka tidak pernah memikirkannya betapa pemahaman Islam itu sudah ada pemesongannya. Begitulah terjadi pada masa sekarang dimana pekerjaan menjadi artis amat mudah untuk dicapai. Selain menjadi glamor dapat pula mengumpul segala kemampuan dari segi harta dari wang dari industri hiburan kemudian dilaburkan untuk umrah dan sebagainya. Mungkin tidak salah kita minat mendengar muzik, lagu atau nyanyian nasyid tetapi tidak bagi kita mengiakan segala perbuatan dan imej mereka. Dan disini ingin saya merespon tentang kepulangan penyanyi terkenal tanah air, Datuk Siti Nurhaliza yang baru pulang dari Mekah mengerjakan haji. Beliau kini dalam paparan akhbar Metro semalam (7 Januari 2008) menggunakan tudung tetapi masih menampakkan leher dan sedikit rambutnya. Bagi saya ini satu perubahan yang baik, dan lebih baik jika beliau menggunakan tudung seperti yang dituntut oleh syara' lebih-lebih lagi sempena kepulangan beliau dari mengerjakan ibadah haji. Tapi apalah maknanya jika beliau sendiri beranggapan bahawa inilah imejnya sementara ini? seolah-olah tidak mahu mengerjakan tuntutan yang sepatutnya sebagai seorang muslimah Islam, lebih-lebih lagi setelah bergelar Hajjah. Seperti yang diketahui, pulang mengerjakan haji ini ibarat kita baru dilahirkan semula dan terhapus dosa-dosa yang lalu apabila niat yang kita sertakan adalah ikhlas. Ingin saya tegaskan di sini bahawa apa yang ingin saya perkatakan bukanlah berkenaan penyanyi terkenal tanah air tersebut, akan tetapi soal pegangan dan maruah agama kita ini. Artis, mahupun juga pemimpin sememangnya sering dilihat sebagai 'public figure' dan mudah untuk menjadi bahan bualan dan ikutan masyarakat. Begitulah juga berkenaan kes Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang sudah diketahui umum di mana sepatutnya sebagai pemimpin perlulah menunjukkan kejujuran dan perlakuan yang baik tidak kira semasa bekerja ataupun masa peribadi. Rakyat sememangnya menuntut satu contoh teladan yang baik walaupun seorang pemimpin itu bukan beragama Islam kerana ini adalah berkaitan tentang integriti dan kejujuran.

Pokok pangkal kepada respon saya adalah di sini. Seperti saudara/i semua ketahui, dunia artis, glamor dan sebagainya ini penuh dengan syak wasangka yang dalamnya penuh pelbagai perkara seperti maksiat, lagha dan boleh mengundang kemurkaan Allah berbanding menjurus ke jalan redha Ilahi. Di sini ingin saya membawa saudara/i mengaitkan dengan apa yang akan saya perkatakan dengan isu ini. Saya ibaratkan di sini kita mempunyai sebekas air dan sebekas minyak. Cuba kita campurkan keduanya dalam satu bekas lain dan kita akan lihat, keduanya tidak akan bercampur menjadi sebatian. Air tetap air dan minyak tetap minyak. Tidak sebati dalam satu campuran. Kemudian kita tuangkannya ke dalam tangki minyak kereta dan lihat apa yang akan terjadi jika kita hidupkan kereta tersebut. Pastinya tidak akan hidup kereta tersebut malah mungkin enjinnya akan rosak apatah lagi untuk sampai kedestinasi yang dituju. Pastilah tidak sampai ke destinasi yang dituju. Begitulah kita ibaratkan sebagai pemahaman majoriti remaja Islam khususnya kini terhadap akidah Islam yang mereka pegang. Sebab itulah ada segelintir remaja Islam berangapan mudah malah mengamalkan tidak bertudung tapi solat tak tinggal dan begitu juga dunia artis seperti yang telah disebutkan. Sudah terang disini antara maksiat (walaupun kecil) tidak boleh kita sebatikan dengan amal ibadah (seperti minyak dan air). Allah telah memberikan kita petunjuk yang jelas bahawa amal ibadah tidak boleh kita campur adukkan dengan perbuatan lagha. Amal tetap amal, maksiat tetap maksiat. Jika keduanya dicampur dan diamalkan, ibarat sebuah kereta yang berisikan minyak dan air itu tadi. Destinasi Ilahi tidak akan kita sampai malah rosak ditengah jalan (kereta rosak ibarat rosak akhlaqnya). Teman2 yang diredhai Allah, mungkin tidak kurang ajar sekiranya saya disini mendedahkan perkara yang mungkin boleh kita kaitkan dengan isu di atas, ada segelintir rakan2 atau ahli keluarga kita berpakaian bertudung tetapi menggunakan T-shirt lengan pendek. Jika menutup aurat biarlah penuh, tidak sekadar ambil yang perlu sahaja, pakai T-shirt biarlah lengan panjang bagi perempuan. Mohon maaf jika ada yang tersinggung, segala teguran membuktikan masih ada rakan atau keluarga yang sayang pada kita. Jadi saya berpesan disini agar kita sama-sama tidak mencampurkan hal yang boleh mengundang dosa dengan hal2 yang diredhai Allah. Walaupun disini ada yang cuba membangkitkan tentang persoalan hak peribadi seseorang untuk berbuat apa jua pada dirinya, begitu juga saya berhak untuk memberikan pandangan dan begitu juga kalian juga berhak menerima atau tidak. Semuanya ini adalah berupa peringatan kepada kita terutamanya untuk diri saya yang masih merasa kelalaian yang sering dilakukan malahan jauh lagi untuk menjadi contoh pada yang lain. Ini adalah sekadar sedikit kepekaan saya terhadap saudara/i muslim yang lain.

Berusahalah dan berdoalah pada Allah agar kita ditetapkan serta ditingkatkan keimanan kita. Sesungguhnya Allah berkuasa untuk membolak-balikkan hati. Hari ini mungkin kita berada dalam Iman, Islam, Taqwa dan sebagainya. Esok dan hari mendatang bagaimana pula?!! jadi berdoalah pada Allah agar hati kita, hati ahli keluarga kita, hati teman kita dan hati umat Islam seluruhnya tidak dibolak-balikkan olah Allah s.w.t. Senantiasalah kita berpesan-pesan tentang perkara yang baik kepada orang di sekelliling kita. Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk itu datang dari kelemahan saya sendiri..Mohon Permisi... Wassalam...

7 Jan 2008

Tazkirah: Lelaki Kacak Untuk Didampingi

Di dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Pada hari Kiamat nanti, di hadapan Allah swt tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Al-Quran, bukan Nabi, bukan malaikat dan sebagainya".

Melalui hadis di atas kita dapat mengetahui bahawa Al-Quran adalah pemberi syafaat yang mana syafaatnya akan diterima Allah. Terdapat satu riwayat menyatakan bahawa Apabila seseorang itu meninggal dunia dan keluarganya sibuk melakukan upacara pengkebumian, seorang yang kacak akan berdiri di bahagian kepalanya. Apabila mayat itu dikafankan, orang itu akan datang mendiami antara dadanya dan kain kafan itu. Bila selesai dikebumikan, orang ramai termasuklah ahli-ahli keluarga dan kekasih kita akan pulang ke rumah dan datanglah dua malaikat;Munkar dan Nakir cuba untuk memisahkan orang yang kacak itu supaya mereka dapat membuat pertanyaan mengenai iman orang yang meninggal dunia itu tanpa sebarang gangguan.Tetapi orang yang kacak itu akan berkata : "Dia adalah kawanku. Aku tidak akan meninggalkannya berseorangan walau dalam keadaan apa sekalipun. Jalankanlah tugas kamu tetapi aku tidak akan meninggalkannya sehingga aku membawanya masuk ke syurga!" Selepas itu dia berpaling ke arah mayat sahabatnya dan berkata: "Akulah Al-Quran yang mana engkau telah membacanya kadang kala dengan suara perlahan dan kadang kala dengan suara yang kuat.""Janganlah engkau bimbang. Selepas pertanyaan Munkar dan Nakir ini, engkau tidak akan berasa dukacita lagi" Bila pertanyaan selesai, orang yang kacak itu akan mengadakan untuknya satu hamparan sutera yang penuh dengan kasturi dari malaikat - malaikat dari syurga"

Alangkah indahnya dan bahagianya sekiranya orang itu adalah kita. Kita tahu tentang tingginya syafaat Al-Quran tetapi dengan mengetahuinya sahaja tanpa berusaha untuk mendekati dan merebut syafaat itu, kita adalah orang-orang yang rugi. Cuba kita renungkan sejenak diri kita sendiri. Ajal dan maut adalah ketentuan Allah. Bila ia telah datang kita tidak akan mampu memperlambatkan atau mempercepatkannya walaupun untuk tempoh sesaat. Dan apabila berada di alam kubur siapakah lagi yang akan menemani kita, jauh sekali memberi bantuan kecuali amalan-amalan kita sewaktu di dunia. Allah telah menjanjikan Al-Quran sebagai pemberi syafaat terulung dan janji Allah itu adalah benar.

Jadi, apa tunggu lagi, ambil Al-Quran dan bacalah sikit..banyak lagi bagus... Tapi jangan lupa ambil wudhuk dulu... Wallahua'lam