
Pejam celik masa berlalu, tahun 1429H kini sudah menjengah dan akan kita tempuh setahun lagi untuk mencorak kematangan sebagai seorang insan. Tahun 1428H yang melabuhkan tirainya bermakna kita telah pun menjalani umur kita yang telah ditetapkan telah berkurang selama setahun. Semakin bertambah usia dan tahun semakin dekat kita kepada janji Allah s.w.t. Namun begitu Rasulullah s.a.w. telah mengkhabarkan kepada kita orang yang paling bijak adalah orang yang mengingati mati dan bersiap menghadapinya. Orang yang ingat akan pertemuan dengan Tuhannya akan sedaya upaya mempersiap diri untuk berjumpa dengan-Nya. Maut boleh menjemput pada bila-bila masa. Soalan nya, bersediakah kita jika apa yang dijanjikan itu sudah menunggu di hadapan pintu rumah kalian? Secara peribadi saya merasakan diri masih banyak kekurangan serta dosa dan semata-mata mengharapkan rahmat dan belas kasihan Allah di hadapan-Nya kelak jika maut menjemput saya di waktu ini.
Oleh itu hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah dan para muhajirin dari Mekah ke Yathrib (kini Madinah) sebenarnya menuntut sesuatu dari kita walaupun kita lahir dikalangan orang yang terkemudian. Kita tidak terkecuali dari tuntutan hijrah ini kerana manusia sering hidup di antara dua persimpangan. Antara baik dan buruk, mahu atau tidak, semuanya menuntut manusia untuk membuat pilihan. Atas dasar itulah hijrah sentiasa dituntut untuk dilaksanakan. Walaupun kini tiada lagi hijrah yang secara fizikal (perpindahan tempat umat islam secara beramai-ramai) buat kali kedua nya, serta tiada lagi pengiraan tahun Hijrah yang baru, tetapi hijrah yang disambut menuntut kepada semangat hijrah supaya sentiasa mekar dan segar dalam diri setiap umat Islam.
Sebagai umat Islam yang mengerti akan soal tujuan dalam hidup ini (mahupun yang bukan Islam yang sentiasa mencari kebenaran), kita perlu bijak memilih keutamaan dalam menjalani urusan seharian kerana ini juga sebahagian daripada semangat hijrah yang patut kita ikuti selain pengorbanan, kesetiaan, perancangan strategik dan lain-lain lagi iktibar. Rasullullah s.a.w. telah memilih keutamaan untuk menyelamatkan ajaran dan akidah umat Islam daripada dicabuli barbanding harta benda dan tanah air sendiri di mana letaknya Baitullah yang baginda kasihi. Memilih keutamaan dalam urusan seharian dengan membezakan yang mana keperluan dan yang mana kehendak atau yang mana bersifat darurat dan yang mana bersifat santai adalah perkara yang amat penting pada waktu ini kerana kita sudah kesuntukan masa! Seperti petikan kata-kata As-Syahid Imam Hassan Al-Banna, "Kewajian kita lebih banyak daripada masa yang kita ada" mesti kita praktiskan dan tidak dijadikan retorik semata-mata. Jadi, bersama-samalah kita pergunakan masa yang kita ada ini untuk menyumbang kepada agama, bangsa dan negara. Walaupun masa kita seharian telah penuh dengan jadual dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita, itu bukan satu pengecualian kita tidak ikut serta kepada penyebaran Islam. Lihatlah sekeliling kita, kita diberi masa 24 jam oleh Allah sama rata kepada semua manusia, tetapi ada manusia yang menjadi ilmuwan, orang yang disegani tetapi masih mampu berbuat sesuatu untuk umatnya dan ada juga yang menjadi pesalah laku mahupun tidak dapat menyumbang apa-apa kepada orang disekilingnya malah menyusahkan orang lain. Ini kerana mereka yang beruntung tersebut telah memilih keutamaan yang perlu didahulukan di dalam hidup mereka dan mereka yang rugi itu telah silap percaturan melengahkan ataupun meninggalkan kewajipan mereka. Oleh itu wahai sahabat-sahabat sekalian, sama-samalah kita berhijrah memimpin diri sendiri terlebih dahulu kearah perubahan yang positif dengan memilih keutamaan dalam pelajaran, gerakan dakwah, membantu orang yang memerlukan bantuan, mencari dan menyampaikan kefahaman (ilmu) , menunjukkan akhlak yang mulia berbanding bermain 'PC' game, berborak berlebihan hingga membazir masa, tidur yang berlebihan mahupun sentiasa mahu keselesaan dalam hidup tanpa peduli akan orang lain.
Sayugia sebagai umat Islam, pengajaran-pengajaran yang tersurat dan tersirat sebeginilah patut kita raikan dan ikuti di samping menjadi teras dalam meralisasikan azam tahun baru kita. Bukannya berkumpul tanpa tujuan yang tidak menjamin apa-apa untuk diraih di masa hadapan. Sesungguhnya dunia ini adalah ladang, tempat menyemai dan menjaga tanaman manakala akhirat nanti menjadi tempat untuk menuai hasil tanaman. Jadi, jangan jadikan diri kita rugi di sana kelak. Sempena tahun baru 1429H ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan kepada seluruh umat Islam di seluruh dunia selamat memperbaharui tekad dan azam untuk berubah ke daerah yang lebih baik sifatnya serta moga kita dapat merealisasikan impian masing-masing. Insya-Allah setiap perbuatan baik kita kerjakan akan mendapat pahala daripada Allah begitu juga setiap keburukan yang kita tinggalkan juga akan mendapat ganjaran daripada Allah s.w.t. Wallahu'alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan