24 Jan 2008

Komen - Novel : Atas Nama Cinta


'Atas Nama Cinta' sebuah novel nukilan pecinta seni dari Singapura, saudara Isa Kamari merupakan sebuah karya yang mempunyai aura yang tersendiri. Walaupun ia tidak sama dengan perasaan yang dirasai oleh saya sewaktu mengamati karya 'Ayat-ayat Cinta' Habiburrahman El-Shirazy, tetapi kisah benar yang digarap dalam bentuk novel ini benar-benar memberikan satu impak yang berlainan. Mungkin dengan penyampaian dan gaya bahasa yang mudah membuatkan minda terasa lapang untuk menerima dan membayangkan apa yang berlaku lebih-lebih lagi apa yang diceritakan merupakan sebuah kisah sejarah yang pernah terjadi.

Novel ini berkisar tentang 'Kes Nadra' yang terkenal suatu ketika dahulu, yang mengisahkan bagaimana tuntutan hak penjagaan Nadra Bte Maarof atau 'Maria Hertogh' oleh ibu kandungnya setelah diserahkan kepada keluarga Melayu akibat kesempitan hidup semasa perang dunia kedua. Tuntutan di mahkamah ini yang berlaku pada awal 50-an di Singapura yang berakhir dengan mahkamah memihak kepada ibu kandungnya Adelaine Hertogh sehingga menyebabkan rusuhan berdarah tercetus tidak lama selepas itu. Tuntutan melalui mahkamah ini walaupun hanya pada soal tuntutan hak penjagaan, akan tetapi telah berkait berkenaan soal agama, budaya dan adat resam Melayu yang tidak di ambil kira oleh pihak mahkamah yang akhirnya menyebabkan membangkitkan kemarahan komuniti Muslim di Singapura.

Kisah epik sejarah ini patut kita ambil iktibar dan pengajaran bagaimana orang terdahulu berjuang mempertahankan maruah agama dan aqidah seorang gadis. Oleh itu sebagai peminat bahan bacaan berunsur Islami, saya menyarankan buku ini patut kita telusuri kisahnya untuk iktibar bersama.

Kini, saya sedang menelusuri pula novel karya terbaru Habiburrahman El-Shirazy Ketika Cinta Bertasbih Episod 2 (cetakan bahasa Indonesia). Jadi, sesiapa rakan-rakan yang belum lagi membaca Episod 1, lebih baik bermula sekarang kerana impak sebenar Ketika Cinta Bertasbih ini berkesinambungan dari Episod 1 walaupun saya akui Episod 1 agak lambat dari sudut tingkatan penceritaannya kerana dalam peringkat memperkenalkan watak dan situasi. Episod 2 ini menjanjikan klimaks cerita yang lebih baik dan ada cakap-cakap mengatakan lebih baik unsur dakwah dan tarbiyyahnya dari 'Ayat-Ayat Cinta', dan mungkin akan jadi satu fenomenal terbaru dari gelombang pena El-Shirazy. Insya-Allah saya akan membuat komentar apabila selesai membacanya kelak.

Wallahu'alam..

Tiada ulasan: