29 Jan 2008

Menjadi 'Mantan' : Bermulanya satu lagi episod perjuangan!



26 Januari 2008 (Sabtu-pagi jam 1005) - Saya pulang ke Sarawak dengan tergesa-gesa untuk menghadiri Majlis Persidangan Agung Tahunan (MPAT) Persatuan Kebajikan Pelajar Islam (PERKEPIS) Kali Ke-3. Memang tidak tersangka-sangka oleh sesiapa termasuk diri sendiri akan berada di majlis itu. Rancangan untuk tidak pulang sudah direncanakan lebih awal kerana masih memikirkan kekangan kewangan, tugas menyiapkan projek aplikasi dan pelbagai kekangan lain. Tanggungjawab saya sebagai SUA PERKEPIS menyediakan laporan tahunan, minit mesyuarat MPAT sudah saya selesaikan lebih awal, dan ini antara sebab mengapa saya memikirkan tidak begitu diperlukan untuk hadir ke MPAT kali ini. Namun perancangan Allah lebih cantik. Allah yang mencipta dan memiliki hati ini lebih layak 'menggerakkannya'. Cukup dengan satu asbab 'sms' seorang teman yang tercinta sudah cukup membuat hati ini menilai dan berfikir. Terima kasih teman...Allah sahaja yang membalas niat murni dan budi baikmu...

Pulang disaat akhir memerlukan pengorbanan besar. Tambang penerbangan yang terhad dan mahal menjadi percaturan saya untuk pulang. Namun demi memikirkan satu tanggungjawab yang bukan hanya akan dipertanggungjawab di dunia sahaja, saya nekad untuk pulang dengan berhabisan wang belanja untuk sebulan. Saya bertawakal pada Allah agar dimudahkan perjalanan untuk pulang ke Sarawak dan kembali semula ke KL. Saya hanya membeli tiket untuk pulang ke Sarawak sahaja. Saya masih tidak tahu bagaimana saya hendak menampung belanja saya selepas itu selepas berhabisan simpanan, tawakal pada Allah menjadi satu-satunya jaminan.

Sewaktu kebingungan untuk pulang, saya teringat satu petikan ayat suci Al-Quran dari surah At-Taubah ayat 38 dan 41 yang pernah saya dengar dari ucapan Ustaz Siddiq Fadhil maksudnya:-


38. Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.

41. Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.


Maha Suci Allah, inilah kebesaran ayat-ayat-Nya. Tidak ada jalan 'escape' untuk saya tidak menyertai rakan-rakan saya di Sarawak. Jelas, tidak perlu disimpulkan lagi akan ayat ini. "Pulanglah wahai insan" detik naluri halusku... Pernah disebutkan dalam satu riwayat bahawa seorang bernama Abu Talhah yang sudah sangat tua di zaman pemerintahan Khalifah Uthman, bila mendengar ayat di atas bangkit menyahut seruan jihad walaupun sudah kurang upaya mengangkat senjata tetapi tetap digagahi jua. Sememangnya Allah sayang padanya, beliau syahid dalam perjalanan ke medan pertempuran. Beliau meninggal sewaktu dalam pelayaran. Kerana tidak menjumpai daratan, selama 9 hari jenazahnya di dalam kapal tidak reput dan berbau. Itulah susuk pejuang yang diredhai dan dijaga oleh Allah. Oleh itu ibrah yang dapat kita pelajari ialah, tidak ada sebab untuk kita yang gagah ini dan yang mampu ini untuk 'excuse' dari perjuangan walaupun atas bebanan tanggungjawab dan kekangan kesihatan. Generasi muda harus mengambil ini sebagai satu iktibar dan pedoman yang perlu dijadikan prinsip hidup dan perjuangan.

Setibanya di Sarawak pada pukul 1230 tengahari, saya terus pulang ke rumah. Ayahnda dan bonda terkejut dengan kehadiran tubuh ini di hadapan pintu. Begitu juga sahabat-sahabat di tempat sedang berlangsungnya program. Saya langsung tidak memberitahu siapa-siapa tentang kepulangan saya. Langsung tiada niat untuk membuat kejutan tapi itulah yang berlaku. Maafkan saya sahabat...

Muktamar berlangsung dengan lancar penuh kemeriahan dan aura perjuangan. Semoga selepas ini akan berlaku satu kebangkitan perjuangan ilmu dan dakwah dari pelajar Islam Sarawak dengan kepimpinan baru PERKEPIS. Itu doa dan harapan saya. Kini saya tidak memegang apa-apa amanah di dalam PERKEPIS. Menjadi mantan atau bekas pimpinan bukan satu tiket untuk saya berhenti dari wadah dakwah ini malah satu tiket untuk menjadi lebih dewasa dalam perjuangan dakwah, lebih-lebih lagi keberadaan saya di tempat baru ini. Saya akan terus menyambung usaha ini walaupun berlainan wadah dan pendekatan tetapi tetap dalam lingkungan keluarga besar agensi dakwah ABIM-PKPIM. Melepaskan PERKEPIS bukan mudah dalam hati saya kerana itulah sekolah yang mendidik saya tentang perjuangan hidup, mendewasakan saya tentang Islam dan sebagainya. Selama berada di bawah 5 kepimpinan YDP yang saya ikuti, banyak perkara yang saya pelajari untuk bekalan saya dalam kehidupan ini. Terima kasih semuanya. Sahabat-sahabat yang hadir dalam hidup ini banyak berasal dari wadah ini. Bertambahlah keterikatan saya pada jemaah ini.

Sahutlah seruan perjuangan di mana sahaja kita mendengar laungan azan. Itulah yang harus kita ikuti. Tidak ada istilah berhenti atau makan angin dalam perjuangan ini. Teruskanlah selagi bernafas walaupun langkah kita agak perlahan. Sekelumit usaha akan menjadi saksi Allah di akhirat kelak. Insya-Allah.

Terima kasih wahai Tuhanku, yang melimpahkan rahmatnya. Kepulangan saya ke KL dipermudahkan oleh Allah semalam (28 Januari 2008). Sememangnya rahmat Allah itu sangat luas. Terima kasih sahabat-sahabat sekalian yang berkorban. Sekali-kali tidak akan dilupakan pada teman yang berkorban dan banyak memberikan sinar harapan pada diri ini untuk terus menjalani hidup di kota kosmopolitan ini.

Pengalaman ini akan terus saya abadikan sebagai pegangan hidup dan menjadikan saya lebih dewasa di masa hadapan. Insya-Allah. Buat sahabat-sahabat yang meneruskan perjuangan di Sarawak, tabahlah dan istiqamahlah. Teruskan belajar dan berusaha melakukan yang terbaik dalam pekerjaan yang anda lakukan. Wallahu'alam...

3 ulasan:

Miss_Nie berkata...

salam. tahniah dan takziah! =) kamek tertarik dengan pengisian al-fadhil ustaz Hafiz dalam kuliah hai'ah. nya padah, hidayah ya adalah suatu keinginan yang ALLAH berik dalam hati kita. dengan ya, suma urang ada rasa teringin untuk melakakukan sesuatu. tapi dengan keinginan ajak, x cukup untuk kita melakukan sesuatu. kita perlukan kekuatan. kekuatan ya lah dinamakan taufiq. x semua urang kan dapat. cuma orang tertentu jak ALLAH berik....

kamek percayak kerana kitak ada keinginan dan ALLAH berik kitak kekuatan ya lah, makanya kitak da di kuching waktu muktamar ya...=)

syabas n tahniah! moga ALLAH kuatkan langkah kita dalam perjuangan tok....amin...moga kita terus istiqamah dan ditetapkan ati pada jalanNya...sebab ALLAH juak yang berkuasa untuk membolak-balikkan hati manuasi nak? =)

syukur atas segala nikmat dan kasih sayang ALLAh berik selama tok....

Kembara Sufi Travel & Tours berkata...

semangat perjuanagn yg begitu besar!!!Tahniah atas komitmen.Cuma ana terkilan,ana tak pernah pi Sarawak,kenapa tak khabaq awai2,boleh ana teman enta...

rezwan alias

Unknown berkata...

salam ziarah..suatu catatan yg cukup mengusik hati. Maha Suci ALLAH yang memberikan hambaNYA kekuatan dan hidayah yang tidak henti2.