Kebelakangan ini kita telah dikejutkan dengan pelbagai isu yang adanya membangkitkan kemarahan, kejutan malah keraguan bagi kita khususnya komuniti Islam di Malaysia. Semua isu yang timbul juga punya maksud yang tersirat dan tersurat yang memerlukan kita untuk sama-sama berfikir apakah yang harus kita lakukan terutamanya hidup dalam satu jemaah atau masyarakat. Isu-isu yang terjadi baik secara sengaja, tidak sengaja mahupun yang terbongkar kerahsiaanya kebelakangan ini semuanya berkaitan untuk menimbulkan kesedaran kepada kita sebagi hamba Tuhan. Saya teringin sekali untuk memberi beberapa pandangan personel saya yang boleh sama-sama kita halusi lagi.
Isu-isu yang saya maksudkan disini memerlukan tindakan kita sebagai orang yang paling bawah dalam komuniti masyarakat iaitu memberi kefahaman yang sebetulnya tentang masalah yang timbul terutamanya ahli keluarga, rakan-rakan dan teman seperjungan kita. Pada pendapat saya, pendekatan ini lebih berbentuk jangka panjang, selamat serta 'cost-effective' jika dilaksanakan. Hakikat ini harus kita terima seadanya kerana perubahan zaman membuatkan orang menerima sesuatu kebenaran itu berdasarkan orang lebih dipercayainya berbanding kebenaran itu sendiri. Penjelasan kepada isu akhbar the Harold contohnya perlu kita ambil peduli sebagai orang yang sudah mengetahui agenda segolongan orang-orang bukan Islam yang cuba mengelirukan secara tersirat untuk menerbitkan risalah mereka dengan membenarkan perkataan 'Allah' digunakan menggantikan perkataan God yang selama ini digunakan. Oleh itu, sebagai golongan yang peka, perlulah kita mengambil inisiatif untuk memberikan sebaran umum kepada orang disekililing akan isu ini selain dapat menjadi benteng kepada mereka dan diri kita jika ini benar-benar dilaksanakan. Walaupun isu ini tidaklah menjadi sebesar isu penghinaan kepada agama Islam, tapi jika terlaksana maka Islam di Malaysia khususnya sudah hilang eksklusifme nya sebagai agama yang satu disisi Allah s.w.t. Isu PTPTN juga merupakan isu yang perlu kita ambil peduli khususnya oleh para peminjam PTPTN kerana ianya berhubung kait dengan maksiat riba jika masih perkara tersirat di sebaliknya tidak kita ketahui. Antara bacaan yang sesuai untuk mendalami dan memahami isu ini adalah tulisan Ustaz Zaharuddin di www.zaharuddin.net.
Apa yang suka saya kongsikan bersama adalah berkenaan isu sosial yang terpapar di ruang akhbar. Kita sering terbaca artis di negara kita khususnya yang mengaku dirinya kuat beribadah di waktu malam, mengamalkan sunnah nabi, solat 5 waktu tidak ditinggalkan dan buktinya telah kita lihat mereka ini telah menyahut seruan Baitullah mengerjakan umrah, haji dan sebagainya. Ini tidak salah sama sekali malah dituntut dalam agama kita. Apa yang mereka gambarkan di sini ibarat tiada salah dan cacat celanya seorang artis yang beragama Islam. Tetapi permasalahan yang timbul amat tersirat bagi mereka tidak pernah memikirkannya betapa pemahaman Islam itu sudah ada pemesongannya. Begitulah terjadi pada masa sekarang dimana pekerjaan menjadi artis amat mudah untuk dicapai. Selain menjadi glamor dapat pula mengumpul segala kemampuan dari segi harta dari wang dari industri hiburan kemudian dilaburkan untuk umrah dan sebagainya. Mungkin tidak salah kita minat mendengar muzik, lagu atau nyanyian nasyid tetapi tidak bagi kita mengiakan segala perbuatan dan imej mereka. Dan disini ingin saya merespon tentang kepulangan penyanyi terkenal tanah air, Datuk Siti Nurhaliza yang baru pulang dari Mekah mengerjakan haji. Beliau kini dalam paparan akhbar Metro semalam (7 Januari 2008) menggunakan tudung tetapi masih menampakkan leher dan sedikit rambutnya. Bagi saya ini satu perubahan yang baik, dan lebih baik jika beliau menggunakan tudung seperti yang dituntut oleh syara' lebih-lebih lagi sempena kepulangan beliau dari mengerjakan ibadah haji. Tapi apalah maknanya jika beliau sendiri beranggapan bahawa inilah imejnya sementara ini? seolah-olah tidak mahu mengerjakan tuntutan yang sepatutnya sebagai seorang muslimah Islam, lebih-lebih lagi setelah bergelar Hajjah. Seperti yang diketahui, pulang mengerjakan haji ini ibarat kita baru dilahirkan semula dan terhapus dosa-dosa yang lalu apabila niat yang kita sertakan adalah ikhlas. Ingin saya tegaskan di sini bahawa apa yang ingin saya perkatakan bukanlah berkenaan penyanyi terkenal tanah air tersebut, akan tetapi soal pegangan dan maruah agama kita ini. Artis, mahupun juga pemimpin sememangnya sering dilihat sebagai 'public figure' dan mudah untuk menjadi bahan bualan dan ikutan masyarakat. Begitulah juga berkenaan kes Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang sudah diketahui umum di mana sepatutnya sebagai pemimpin perlulah menunjukkan kejujuran dan perlakuan yang baik tidak kira semasa bekerja ataupun masa peribadi. Rakyat sememangnya menuntut satu contoh teladan yang baik walaupun seorang pemimpin itu bukan beragama Islam kerana ini adalah berkaitan tentang integriti dan kejujuran.
Pokok pangkal kepada respon saya adalah di sini. Seperti saudara/i semua ketahui, dunia artis, glamor dan sebagainya ini penuh dengan syak wasangka yang dalamnya penuh pelbagai perkara seperti maksiat, lagha dan boleh mengundang kemurkaan Allah berbanding menjurus ke jalan redha Ilahi. Di sini ingin saya membawa saudara/i mengaitkan dengan apa yang akan saya perkatakan dengan isu ini. Saya ibaratkan di sini kita mempunyai sebekas air dan sebekas minyak. Cuba kita campurkan keduanya dalam satu bekas lain dan kita akan lihat, keduanya tidak akan bercampur menjadi sebatian. Air tetap air dan minyak tetap minyak. Tidak sebati dalam satu campuran. Kemudian kita tuangkannya ke dalam tangki minyak kereta dan lihat apa yang akan terjadi jika kita hidupkan kereta tersebut. Pastinya tidak akan hidup kereta tersebut malah mungkin enjinnya akan rosak apatah lagi untuk sampai kedestinasi yang dituju. Pastilah tidak sampai ke destinasi yang dituju. Begitulah kita ibaratkan sebagai pemahaman majoriti remaja Islam khususnya kini terhadap akidah Islam yang mereka pegang. Sebab itulah ada segelintir remaja Islam berangapan mudah malah mengamalkan tidak bertudung tapi solat tak tinggal dan begitu juga dunia artis seperti yang telah disebutkan. Sudah terang disini antara maksiat (walaupun kecil) tidak boleh kita sebatikan dengan amal ibadah (seperti minyak dan air). Allah telah memberikan kita petunjuk yang jelas bahawa amal ibadah tidak boleh kita campur adukkan dengan perbuatan lagha. Amal tetap amal, maksiat tetap maksiat. Jika keduanya dicampur dan diamalkan, ibarat sebuah kereta yang berisikan minyak dan air itu tadi. Destinasi Ilahi tidak akan kita sampai malah rosak ditengah jalan (kereta rosak ibarat rosak akhlaqnya). Teman2 yang diredhai Allah, mungkin tidak kurang ajar sekiranya saya disini mendedahkan perkara yang mungkin boleh kita kaitkan dengan isu di atas, ada segelintir rakan2 atau ahli keluarga kita berpakaian bertudung tetapi menggunakan T-shirt lengan pendek. Jika menutup aurat biarlah penuh, tidak sekadar ambil yang perlu sahaja, pakai T-shirt biarlah lengan panjang bagi perempuan. Mohon maaf jika ada yang tersinggung, segala teguran membuktikan masih ada rakan atau keluarga yang sayang pada kita. Jadi saya berpesan disini agar kita sama-sama tidak mencampurkan hal yang boleh mengundang dosa dengan hal2 yang diredhai Allah. Walaupun disini ada yang cuba membangkitkan tentang persoalan hak peribadi seseorang untuk berbuat apa jua pada dirinya, begitu juga saya berhak untuk memberikan pandangan dan begitu juga kalian juga berhak menerima atau tidak. Semuanya ini adalah berupa peringatan kepada kita terutamanya untuk diri saya yang masih merasa kelalaian yang sering dilakukan malahan jauh lagi untuk menjadi contoh pada yang lain. Ini adalah sekadar sedikit kepekaan saya terhadap saudara/i muslim yang lain.
Berusahalah dan berdoalah pada Allah agar kita ditetapkan serta ditingkatkan keimanan kita. Sesungguhnya Allah berkuasa untuk membolak-balikkan hati. Hari ini mungkin kita berada dalam Iman, Islam, Taqwa dan sebagainya. Esok dan hari mendatang bagaimana pula?!! jadi berdoalah pada Allah agar hati kita, hati ahli keluarga kita, hati teman kita dan hati umat Islam seluruhnya tidak dibolak-balikkan olah Allah s.w.t. Senantiasalah kita berpesan-pesan tentang perkara yang baik kepada orang di sekelliling kita. Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk itu datang dari kelemahan saya sendiri..Mohon Permisi... Wassalam...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan