19 Nov 2008

Fikir-Fikir : Menerima Teguran dan Nasihat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Ramai dikalangan kita yang suka memberi nasihat, teguran dan peringatan untuk kebaikan bersama. Tetapi apakah orang yang dinasihat, ditegur tersebut mahu menerimanya sebagi teguran atau nasihat? Atau apakah dia hanya mendengarnya sebagai sesuatu berupa angin lalu? Atau apakah teguran dan nasihat tadi telah dianggap satu senjata kebencian terhadapnya oleh si pemberi nasihat atau teguran tadi? Atau memang ada yang terus berubah sikap kepada lebih baik atau mengajuk berubah menjadi lebih buruk? Ada juga yang memang berazam untuk menjadi lebih baik setelah dinasihat dan ditegur tetapi akhirnya tertangguh akibat dari ketiadaan iltizam dan faktor persekitaran yang berbagai. Apakah anda bersetuju ini semuanya ialah pilihan kepada si kena tegur atau nasihat. Sama-sama kita fikirkan dan ambil jalan yang terbaik. Tapi percayalah, menerima teguran dan nasihat ini juga adalah payah bagi mereka seperti mana ada disebut dalam kitab kompilasi nasihat Imam Al-Ghazali, Ayyuhal Walad.

Semua itu tadi meruapakan tanggapan-tanggapan kita terhadap orang yang kita tegur dan nasihati. Walaupun begitu, sebagai pemberi nasihat kita tidak boleh bersikap melepaskan batok ditangga. Maksudnya, kita jangan jadikan nasihat kita tadi "terpulanglah pada engkau untuk menerimanya atau tidak". Kita diwajibakan untuk menjaga ahli keluarga kita, kaum kerabat kita untuk menjaga mereka terhindar dari api neraka, mengapa kita perlu bersikap sambil lewa dalam memberikan teguran dan nasihat? Malah orang yang memberikan nasihat tadi pernah berkata "aku dah bagitau sekali, dahlah". Jika sikap itu yang kita jadikan sebagai sandaran, nasihat bukan lagi boleh kita kategorikan sebagai amar maaruf. Si pemberi nasihat juga perlu menganjurkan nasihat tadi dalam bentuk pelajaran, didikan, pengolahan sikap dalam diri kita sendiri, barulah amar maaruf tadi kelihatan sempurna. Sebab itulah dalam program motivasi, jati diri di sekolah2 perlu kepada kaedah 'follow-up' dan latihan yang berterusan.



Nasihat dan teguran bukannnya sesuatu perkara yang boleh kita lihat hasil totalnya esok mahupun lusa. nasihat dan teguran ialah perkara yang ingin kita lihat hasilnya berpanjangan sampai bila-bila. Oleh itu, nasihat dan teguran itu juga perlu kita olah dalam bentuk amar maaruf berupa didikan dan latihan yang berterusan. Sebab itulah kesabaran itu penting.

Rakan-rakan sekalian, kita juga masih perlu belajar tentang memberi nasihat dan berusaha mengolah langkah supaya nasihat kita boleh diterima oleh orang lain. Bermula dengan memperbaiki diri.. Wallahualam..

Fikir-Fikir : Mensyukuri Nikmat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Sudah lama saya biarkan blog saya ini tidak di isi dengan maklumat dan perkongsian. Mungkin boleh saya katakan saya alpa dengan sikap saya yang bertangguh-tangguh. Sepanjang ketiadaan saya berkongsi cerita di sini, sebanarnya saya banyak berfikir dan memerhati apa yang berlaku di dunia nyata. Terlibat dengan banyak program dan tugas sebagai pekerja membuatkan saya banyak melihat dan mengalami pengalaman baru.

Sewaktu menjelajah ke hampir separuh negeri Sarawak beberapa bulan yang lalu atas urusan kerja membuatkan saya semakin mengerti akan makna syukur dan mewah dengan apa yang ada pada kita di bandar, tidak seperti mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Mereka walaupun daif kemudahan tetapi masih boleh meraut senyuman menyambut kedatangan tetamu dan mengerjakan pekerjaan harian. Walaupun mereka ini majoritinya beragama Kristian mereka tetap bersyukur cara hidup mereka seolah2 tiada stress tentang kewangan. Makan minum mereka dari tanaman yang mereka usahakan. Wang yang mereka perolehi memang cukup buat mereka menyekolahkan anak, membeli keperluan dapur lain dan mungkin sedikit untuk pengangkutan.

Cuba kita renungkan diri kita kembali sebagai seorang Islam, apakah kita yang mewah di bandar ini tidak punya rasa puas dan syukur dengan apa yang ada? Kita pasti akan menjawab kita bersyukur dengan bersolat, zikir, doa, menjaga hak itu ini, tetapi dalam diam dan tidak kita sedari kita mendengus dan merungut akan kekurangan yang kita alami waktu itu berbanding masa kita mudah dan senang malah sepanjang hari tidak senang memikirkannya. Jika itu masih ada maknanya kita perlu masih bermuhasabah tentang mensyukuri nikmat Allah yang kita nikmati. Ada pula orang yang bersyukur akan apa yang ada padanya tetapi tidak mensyukuri nikmat yang ada pada orang lain, malah merendahkan apa yang orang lain ada berbanding dirinya.

Harapnya apa yang saya bangkitkan ini kita sama-sama fikirkan dan bertindak memperbaikinya. Rakan-rakan sekalian, sebenarnya kita masih perlu belajar mensyukuri nikmat yang kita ada.. Wallahualam.

9 Jul 2008

Berdakwah Di Tengah Fitnah

Fitnah yang berlaku di negara kita kini semakin dahsyat dan mengaibkan. Mana-mana pihak yang terlibat tidak diketahui salah dan benarnya. Sudah pasti masing-masing akan membidas segala tuduhan dan tohmahan. Walaupun rakyat kebanyakkan dilihat tidak ada kena mengena langsung dengan isu yang dibangkitkan, tetapi di akhirnya kesan akan dirasai oleh rakyat, kerana ia berkaitan dengan pemimpin rakyat, urus tadbir ekonomi dan juga agama.

Setiap pemimpin sudah pasti ada penyokong masing-masing dan akan mempertahankan pemimpin mereka dari segala bahaya dan ancaman yang datang. Jadi, dalam keghairahan menyokong, mereka alpa dengan tanggungjawab menjaga adab, menghormati kawan mahupun lawan, menjaga hak ketenteraman orang lain dan lain-lain lagi.

Oleh itu, umat Islam jangan lupa berusaha untuk menghadapi keadaan ini iaitu melalui usaha dakwah, mengajak kembali sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung mahupun tidak untuk kembali kepada tuntutan agama dan setiap perkara yang dilakukan itu yang terbaik adalah bersederhana.

Umat Islam boleh melakukan beberapa perkara dalam situasi sebegini. Yang pertama sedarlah bahawa tugas kita adalah memartabatkan atau membantu agama kita ini. Bukan semata-mata memartabatkan pemimpin tertentu. Allah telah berfirman di dalam Surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela agama Allah nescaya Allah membela kamu (untuk kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. “

Selain itu, hadapilah fitnah ini dengan istiqamah (sabar dan berpendirian teguh di atas petunjuk Allah), berjihad(melawan dari menurut hawa nafsu) dan paling penting tetap berada di jalan Allah, tidak bercerai berai disebabkan fanatik kepada mana-mana pihak.

Manakala yang paling penting ialah fitnah perlu dilawan dengan doa. Inilah kekuatan yang tidak dapat dikalahkan oleh mana-mana musuh sekalipun. Berdoalah agar kita ditetapkan keimanan, diberikatan keberkatan ke atas diri kita dan keturunan kita, tenang menghadapi apa jua cabaran serta berhati-hati dan bijak dalam tindakan. Apa yang kita harapkan agar kita terus istiqamah menenangkan umat Islam di dalam apa jua keadaan. Wallahua’lam.