9 Jul 2008

Berdakwah Di Tengah Fitnah

Fitnah yang berlaku di negara kita kini semakin dahsyat dan mengaibkan. Mana-mana pihak yang terlibat tidak diketahui salah dan benarnya. Sudah pasti masing-masing akan membidas segala tuduhan dan tohmahan. Walaupun rakyat kebanyakkan dilihat tidak ada kena mengena langsung dengan isu yang dibangkitkan, tetapi di akhirnya kesan akan dirasai oleh rakyat, kerana ia berkaitan dengan pemimpin rakyat, urus tadbir ekonomi dan juga agama.

Setiap pemimpin sudah pasti ada penyokong masing-masing dan akan mempertahankan pemimpin mereka dari segala bahaya dan ancaman yang datang. Jadi, dalam keghairahan menyokong, mereka alpa dengan tanggungjawab menjaga adab, menghormati kawan mahupun lawan, menjaga hak ketenteraman orang lain dan lain-lain lagi.

Oleh itu, umat Islam jangan lupa berusaha untuk menghadapi keadaan ini iaitu melalui usaha dakwah, mengajak kembali sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung mahupun tidak untuk kembali kepada tuntutan agama dan setiap perkara yang dilakukan itu yang terbaik adalah bersederhana.

Umat Islam boleh melakukan beberapa perkara dalam situasi sebegini. Yang pertama sedarlah bahawa tugas kita adalah memartabatkan atau membantu agama kita ini. Bukan semata-mata memartabatkan pemimpin tertentu. Allah telah berfirman di dalam Surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela agama Allah nescaya Allah membela kamu (untuk kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. “

Selain itu, hadapilah fitnah ini dengan istiqamah (sabar dan berpendirian teguh di atas petunjuk Allah), berjihad(melawan dari menurut hawa nafsu) dan paling penting tetap berada di jalan Allah, tidak bercerai berai disebabkan fanatik kepada mana-mana pihak.

Manakala yang paling penting ialah fitnah perlu dilawan dengan doa. Inilah kekuatan yang tidak dapat dikalahkan oleh mana-mana musuh sekalipun. Berdoalah agar kita ditetapkan keimanan, diberikatan keberkatan ke atas diri kita dan keturunan kita, tenang menghadapi apa jua cabaran serta berhati-hati dan bijak dalam tindakan. Apa yang kita harapkan agar kita terus istiqamah menenangkan umat Islam di dalam apa jua keadaan. Wallahua’lam.

Tiada ulasan: