::Esei ditulis oleh penulis sewaktu menyertai Pertandingan Menulis Esei Kenegaraan 2007, Jabatan Penerangan Malaysia::
Tari Tinta Pendahuluan
Tanggal 31 Ogos setiap tahun, seluruh rakyat Malaysia secara amnya, sama ada yang berada di dalam negeri mahupun di luar negara, menyambut dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan akan sambutan Ulangtahun Hari Kemerdekaan Negara. Malah sambutan secara besar-besaran juga diadakan di setiap peringkat sama ada di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi awam atau swasta, agensi-agensi kerajaan, jabatan-jabatan, kementerian-kementerian dan termasuk juga di peringkat tertinggi di peringkat negeri dan kebangsaan. Menjelang sahaja bulan Ogos setiap tahun, bermulalah kempen memperingati sejarah kemerdekaan negara dengan dianjurkan kempen secara besar-besaran mengibarkan Jalur Gemilang, pemeran galeri, sayembara puisi, sajak, teater kemerdekaan dan sebagainya. Tidak lupa juga akan peranan media cetak dan elektronik memaparkan mahupun menyiarkan rakaman serta temubual tentang sejarah dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dan lain-lain lagi. Stesen-stesen radio juga memainkan peranan mereka dengan memutar lagu-lagu patriotik; dan yang paling terkenal ialah lagu nyanyian Allahyarham Sudirman Hj. Arshad, “Tanggal 31”. Semua ini, sudah pasti bukan hanya untuk dijadikan satu kemeriahan atau majlis memperingati ulangtahun semata-mata, tetapi pastinya sebagai satu usaha pengiktibaran dan pengajaran bahawa betapa berharganya nikmat kemerdekaan itu perlu dikekalkan dan disinambungkan kepada generasi-generasi muda yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan dan kemajuan negara.
Menyorot Sejarah dan Iktibar
Dalam menggapai kegemilangan dan kecemerlangan yang telah dikecapi hari ini, sudah pasti ianya bukan satu jalan yang mudah atau singkat untuk ditempuhi. Kejayaan Malaysia pada hari ini merupakan hasil pengorbanan jiwa dan raga seluruh rakyatnya demi melihat kebangkitan satu bangsa yang pernah mempunyai satu kuasa empayar; sepertimana zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Sebelum kita menelusuri cabaran dan perjalanan dalam pembinaan sebuah negara Malaysia yang gemilang, adalah lebih baik kiranya kita menyingkap kembali sorotan sejarah di zaman kegemilangan Melaka sebagai kuasa pemerintah di nusantara sehinggalah berakhirnya era penjajahan British yang disambut pula dengan laungan kemerdekaan.
Sultan berdaulat rakyat berjasa,
Masyhurlah Melaka serata alam,
Negara gemilang aman sentosa,
Sejarah terkenal di zaman silam,
Kedatangan Parameswara (antara 1400 - 1403) ke bumi emas tanah Melayu adalah bukan sebagai pelarian mahupun pemberontakan, akan tetapi satu titik tolak kepada kebangkitan demi menggapai kemayshuran dan kemakmuran sebuah kekuasaan yang unggul di rantau nusantara kepulauan Melayu.
Kegemilangan Melaka (1459 – 1511) sebagai pusat perdangangan suatu ketika dahulu membuktikan bahawa Melaka adalah pusat pertemuan pedagang-pedagang yang datang dari pelusuk dunia dan juga merupakan tempat bertembungnya pelbagai sosio-budaya yang menggamit suasana muhibbah di waktu itu. Kesibukan selat dan pelabuhan Melaka sebagai laluan dan persinggahan utama kapal-kapal dagang yang menuju ke negara China ataupun ke India termasuk Semenanjung Arab dan Eropah sungguh mengagumkan. Laluan yang berada di pertengahan samudera ini membuatkan Melaka pesat berkembang yang juga menjadi tempat pertukaran matawang, barang dagangan, mahupun tempat membaiki kapal serta memperoleh bekalan makanan. Bahasa Melayu pada ketika itu juga dijadikan sebagai bahasa pengantar utama atau ‘lingua franca’ bagi pedagang-pedagang asing yang berdagang dan berurusan di pelabuhan Melaka. Perdagangan rempah juga adalah antara penyebab mengapa Melaka sangat terkenal pada waktu itu dikalangan pedagang Eropah. Rempah ratus menjadi bahan permintaaan yang tinggi di Eropah kerana industri mengawet makanan menggunakan rempah di Eropah pada ketika itu sedang berkembang maju. Ini dapat digambarkan menerusi Duarte Barbosa yang berkata, "Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan dunia". Pedagang-pedagang arab juga datang ke Melaka dengan membawa barang dagangan seperti kain selain membawa misi menyebarkan dakwah dan pengembangan ilmu pengetahuan. Di atas faktor inilah Melaka mengundang secara rasmi dan tidak langsung akan perhatian negara-negara jiran mahupun rakan dagangannya. Lawatan muhibbah Laksamana Cheng-Ho (1411) ke Melaka atas titah Maharaja China membuktikan pentingnya Melaka kepada dunia perdagangan China. Atas sebab kemasyhuran ini, maka tidak hairanlah kuasa Portugis datang ke bumi Melaka membawa hajat yang besar tetapi terselindung untuk menakluki Melaka. Selain itu, Melaka juga terkenal dengan kekuatan angkatan lautnya yang menguasai samudera di selat Melaka serta keluasan empayar Melaka yang mempunyai unjuran tanah jajahan dan taklukan yang besar, kaya dengan hasil bumi dan budaya dari utara semenanjung Tanah Melayu mengunjur ke selatan hinggalah ke kepulauan Johor-Riau dan Acheh.
Walaupun kegemilangan ini akhirnya runtun selepas kedatangan kuasa penakluk Portugis ke atas Melaka, terbukti bahawa bangsa ini sebenarnya pernah dan mampu untuk mencipta kegemilangan seperti dahulukala. Selepas kejatuhan Melaka ke tangan Portugis, maka bermulalah era kemalapan bangsa Melayu yang dilitupi kuasa penjajahan yang bertukar tangan kepada Belanda, British dan Jepun. Sewaktu era penjajahan inilah, bangsa Melayu sebagai bangsa majoriti hilang punca dan arah di tanah air sendiri buat seketika. Walaubagaimanapun, benarlah kata pujangga Datuk Laksamana Hang Tuah “Takkan Melayu Hilang Di Dunia” dan “Raja Adil Raja Disembah dan Raja Zalim Raja Disanggah” masih tersemat di sanubari bangsanya dan membuatkan bangkitnya rasa semangat untuk menentang kuasa penjajah. Satu demi satu pejuang yang gugur tidak melunturkan obor kebangkitan di dalam jiwa waris pejuang. Penentangan oleh Datuk Maharajalela, Tok Janggut, Dato’ Bahaman sehinggalah kebangkitan penentangan penubuhan Malayan Union pada tahun 1946 dan tuntutan kemerdekaan melalui Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, membuktikan bahawa api perjuangan yang tidak pernah padam untuk mencapai aspirasi menjadi penguasa di tanah air sendiri. Sorotan sejarah ini penting bagi kita untuk mengambil pengajaran bahawa kegemilangan dahulukala pernah sekali terlepas dari tangan kita dan untuk merebutinya semula adalah satu jalan yang bukan mudah dan amat penting bagi generasi pasca merdeka mempertahankan dan memakmurkan kegemilangan yang telah kembali ke pangkuan kini. Cabaran pasti timbul dalam memakmurkannya, dan adalah lebih manis sekiranya cabaran itu dapat diharungi bersama manakala nikmatnya dikecapi oleh seluruh warganya.
Darsawarsa Pertama Selepas Merdeka
Darsawarsa pertama selepas kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 sebagai Persekutuan Tanah Melayu merupakan tempoh yang paling penting bagi membina keutuhan dan kestabilan dalam negara. Cabaran yang datang juga bukan hanya datang dari luar negara malah lebih besar lagi dari dalam negara itu sendiri. Ibarat anak kecil yang baru lahir, segalanya perlu diurus dengan lembut dan terbimbing supaya tidak jatuh dan selamat, begitulah sama ertinya kepada tempoh itu antara tahun 1957 hingga penghujung 1960-an yang memerlukan pengorbanan dari pucuk pimpinan negara hinggalah ke akar umbi rakyatnya. Cabaran yang paling getir pada waktu itu adalah menyeimbangkan kesan kemerdekaan kepada semua pihak supaya nikmat kemerdekaan itu benar-benar dirasai bersama. Antaranya ialah membebaskan Tanah Melayu dari tempoh darurat penentangan komunis yang berakhir pada tahun 1960. Usaha ‘pembersihan’ keganasan pihak komunis ini masih juga diteruskan dengan operasi-operasi hutan ketenteraan walaupun sudah pun berakhir dengan perang saraf yang diketuai oleh Sir Gerald Templer pada tahun 1960.
Dalam tempoh 10 tahun ini juga, cabaran dalam negara yang timbul adalah cabaran untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum untuk membina asas negara. Berbagai usaha dan perancangan yang dilaksanakan untuk mencapai hasrat tersebut antaranya ialah dengan menyelaraskan sistem pendidikan negara, antaranya dengan Penyata Rahman Talib (1956) dan Penyata Razak (1960). Kedua-dua penyata tersebut, iaitu Rahman Talib dan Razak mengemukakan sistem pendidikan ke arah pembentukan pembangunan bangsa Malaysia yang selaras dengan wawasan kebangsaan yang bertujuan mengukuhkan dan mendaulatkan imej, identiti dan kewibawaan bangsa yang dikaitkan dengan negara. Asas-asas pembinaan negara ini dibuat dengan memperkukuhkan unsur-unsur nasionalisma dan budaya kebangsaan seperti bahasa kebangsaan, kebudayaan kebangsaan, kuasa politik ketuanan, perlembagaan negara yang menjamin kedudukan negara-bangsa, agama dan begitu juga dengan lambang-lambang kedaulatan Negara-Bangsa. Asas-asas pembinaan negara bangsa ini pula diperkukuhkan dengan merujuk kepada sejarah awal ketamadunan bangsa, sejarah perjuangan bangsa dan sejarah pembinaan semula masa depan nasib bangsa yang telah mengalami proses penjajahan sama ada oleh kuasa barat mahupun kuasa-kuasa lain. Membebaskan diri daripada kongkongan mana-mana kuasa atau pengaruh ke atas negara dan bangsa adalah satu lambang sejarah perjuangan bangsa Melayu yang menjadi teras pembinaan Negara-Bangsa. Bagaimanapun konsep Negara-Bangsa ini mengambilkira kepentingan bangsa-bangsa lain yang bermastautin di negara ini yang merupakan sebahagian daripada satu rumpun budaya dan politik negara-bangsa yang menjadi wadah untuk membina wawasan masa depan bangsa yang dipanggil Bangsa Malaysia. Di sinilah letaknya cabaran negara yang baru sahaja merdeka yang ingin meletakkan asas dan dasar yang kukuh di dalam diri setiap rakyat Malaysia yang majmuk, terdiri dari berbagai rumpun kaum supaya mereka bersatu di bawah satu Negara-Bangsa yang berdaulat. Namun begitu, usaha ini tetap dan masih diteruskan sehingga ke hari ini dengan peningkatan sistem dan taraf pendidikan negara dari tahun ke tahun. Semuanya adalah untuk keutuhan perpaduan kaum dan imej negara.
Cabaran juga datang dari luar negara, antaranya Konfrontasi Indonesia yang tercetus akibat penubuhan Gagasan Malaysia pada tahun 1963 yang dicetuskan Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Dalam tempoh pentadbiran yang diterajui oleh Tunku adalah tempoh yang penuh dengan dugaan dan pancaroba. Selepas kemerdekaan, beliau meneruskan usaha-usaha pembinaan negara yang telah beliau bina; memupuk persefahaman antara kaum dan memajukan ekonomi untuk memperkukuhkan pentadbiran beliau. Rancangan Tanah Melayu pertama, yang telah dimulakan sejak 1956, telah diteruskan dalam usaha mengisi kemerdekaan yang baru dimiliki. Tunku telah membawa Tanah Melayu ke arena antarabangsa; menyertai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Komanwel, mengambil dasar anti-apartheid dan menyokong perjuangan rakyat Palestin serta Congo. Selain itu, Tunku juga telah membawa Malaysia kepada penubuhan ASEAN pada 1967 dan membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), di mana beliau dilantik sebagai Setiausaha Agungnya yang pertama pada tahun 1969. Pada September 1963, Tunku telah menjadi bapa kepada sebuah lagi negara baru, Malaysia, apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (sekarang Sabah). Cabaran sebegini sebenarnya membuatkan Malaysia lebih matang bagi menghadapi cabaran yang seterusnya. Apa yang ditempuhi Tunku serta Malaysia amnya, tentunya tidak semua berjalan lancar seperti yang diharapkan. Krisis-krisis seperti Konfrontasi Indonesia, perpisahan Singapura dari Malaysia dan peristiwa 13 Mei 1969 menggegarkan seluruh negara, namun Tunku berjaya melaluinya dengan kebijaksanaan, kesabaran, toleransi yang tinggi serta peri kemanusiaan.
Gagasan Malaysia: Cabaran Ke Arah Negara Yang Harmoni dan Berdaulat
Berjaya negara kerana rakyatnya,
Harmoni warna kerana budayanya,
Berjaya bangsa kerana muafakatnya,
Harmoni Malaysia kerana kaumnya,
Idea yang dicanangkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama untuk menubuhkan sebuah negara baru bernama Malaysia adalah satu idea yang bernas. Gagasan Malaysia pada asalnya mencadangkan agar Pesekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Brunei dan Borneo Utara (Sabah sekarang) supaya disatukan di bawah satu payung Malaysia. Namun akhirnya, setelah mengadakan rundingan dan pertemuan, kajian dan soal selidik tentang penubuhan Negara Malaysia ini, hanya Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak sahaja yang bersetuju untuk menjadi satu negara baru bernama Malaysia pada tahun 1963. Antara idea asal mengapa perlu wujudnya negara Malaysia ini dengan membawa masuk Singapura, Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia ialah kerana untuk menambah jumlah rakyat Malaysia secara keseluruhannya, serta meningkatkan lagi jumlah rakyat Malaysia yang berstatus bumiputera yang sedia ada di Semenanjung Malaysia dengan bumiputera Sabah dan Sarawak. Dengan kemasukan Sabah dan Sarawak, secara automatiknya rakyat Malaysia bertambah dan rakyat yang berstatus bumiputera juga bertambah dengan adanya suku kaum Dayak, Melanau dan Melayu di Sarawak dan beberapa lagi kaum bumiputera di Sabah. Selain itu hak-hak bumiputera di Sabah dan Sarawak juga turut terpelihara. Antara sebab lain adalah untuk menghindarkan pengaruh komunis untuk kembali mengumpul kekuatan bagi menggugat kedaulatan Persekutuan Tanah Melayu pada waktu itu. Dengan kemasukan Singapura, Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia, masalah pengaruh komunis sedikit sebanyak dapat diatasi apabila tentera-tentera Malaysia dihantar ke dalam hutan Sabah dan Sarawak untuk memburu pengganas komunis. Namun apa yang berlaku kemudiannya tidaklah seperti yang diharapkan sebelumnya apabila Singapura keluar dari Malaysia secara rasmi pada tahun 1966.
Negara Malaysia telah meletakkan asas yang kukuh kepada setiap rakyatnya yang berbilang bangsa; iaitu supaya hidup bertoleransi, menghormati budaya dan adat resam masing-masing serta mengamalkan cara hidup yang sihat dengan tidak meninggalkan lunas-lunas dan ajaran agama yang mereka anuti.
Bahasa melambangkan jiwa bangsa. Walaupun rakyat Malaysia berbudaya, berketurunan dan mempunyai agama yang berbeza, semua ini dapat disatukan dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Cabaran Di Era Pembangunan
Bermula tahun 1970, Malaysia telah memulakan babak barunya sebagai sebuah negara yang sedang membangun. Tahun 1970 juga melihatkan pertukaran pucuk pimpinan Malaysia yang pertama iaitu perlantikan Tun Abdul Razak bin Hussein sebagai Perdana Menteri Kedua Malaysia. Ketokohan Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri terserlah sebelum beliau dilantik menjadi Perdana Menteri lagi. Salah satu contoh yang boleh diketengahkan adalah kebijaksanaan beliau mempengerusikan MAGERAN atau Majlis Gerakan Negara pada tahun 1969 selama 21 bulan untuk menangani perselisihan kaum yang telah tercetus di Kuala Lumpur yang ditiupkan pula oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Di bawah pengurusan bijaksana Tun Abdul Razak, ketenteraman dapat dipulihkan dan kedua-dua pihak bertelagah dapat berbaik semula dan bekerja bersama seperti sebelumnya. Sewaktu era pembangunan Malaysia di bawah pentadbiran Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri selama enam tahun, rakyat telah menyaksikan pembangunan yang begitu pesat di seluruh negara. Dasar Ekonomi Baru telah diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak pada pertengahan 1970-an untuk membasmi kemiskinan di kalangan semua kaum dan menyusun semula aktiviti ekonomi ke arah pembahagian kekayaan negara yang lebih saksama. Jika disenaraikan satu-persatu sumbangan Tun Abdul Razak kepada negara, pastinya ia akan menjadi buku yang tebal, namun di antara pemberiannya yang paling berharga ialah pengenalan Dasar Kebudayaan Nasional, yang telah menyediakan asas penting bagi pembentukan satu budaya Malaysia yang unik dan menggabungkan ciri-ciri semua kaum serta kesucian agama; dan pengenalan Rukunegara sebagai ideologi nasional yang menggariskan hasrat serta ikrar rakyat Malaysia ke arah mencipta masyarakat Malaysia yang saksama, progresif dan bertatasusila.
Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah salah satu dasar yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak untuk mengatasi cabaran kemiskinan dan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum di Malaysia yang akhirnya boleh menjauhkan lagi jarak perpaduan antara kaum. Jika dilihat dari perspektif sejarah Malaysia, penjajah British menggalakkan perkembangan masyarakat secara 'plural' melalui amalan pecah dan perintah. Pihak British telah menggalakkan kedatangan tenaga buruh dari negara China dan India untuk kepentingan ekonomi penjajah dalam sektor perlombongan bijih timah, perdagangan dan perladangan. Penambahan penduduk dan peningkatan kegiatan ekonomi telah menyebabkan pertumbuhan bandar, jalan-jalan, rel-rel keretapi dan pembahagian kelompok kaum mengikut sektor ekonomi. Keadaan ini telah menyebabkan jurang perbezaan antara kaum, pembangunan bandar dan luar bandar bertambah besar. Selepas mencapai kemerdekaan, Rancangan Malaya 5 tahun telah diperkenalkan. Rancangan Malaya Pertama, Kedua dan Rancangan Malaysia Pertama dirancang untuk menitikberatkan kepada pertumbuhan dan pembaharuan ekonomi. Rancangan ini telah menunjukkan kelemahan dari segi strategi di mana corak atau sistem semasa penjajahan masih berterusan.
Matlamat tersurat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ianya telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata untuk:
a) mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum; dan
b) mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.
DEB hanyalah satu dasar pelaksanaan. Tentunya, Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri ketika itu bukan sahaja menumpukan usahanya kepada pembangunan luar bandar semata-mata. Selain mengusahakan penubuhan Felda, Felcra, Risda dan badan-badan lain yang bersangkutan pembangunan luar bandar, Tun Abdul Razak juga mengusulkan penubuhan institusi-institusi lain seperti Bank Bumiputera, MARA, ITM, Universiti Kebangsaan Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad, Petronas dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi di setiap negeri. Inilah antara cabaran di era awal pembangunan Malaysia yang cuba diatasi oleh pucuk pimpinan negara pada akhir 1960-an sehingga pertengahan tahun 1970-an.
Bagi mengukuhkan lagi keharmonian dan kesepaduan rakyat berbilang kaum di Malaysia, berbagai usaha yang berkesinambungan antara satu sama lain telah dilaksanakan. Dari perencanaan semula sistem pendidikan sehinggalah peningkatan taraf ekonomi, semuanya berkaitan dengan perpaduan dan integrasi kaum. Ternyata cabaran perpaduan kaum inilah yang membawa Malaysia ke arah kegemilangan selepas 50 tahun mengecapi kemerdekaan.
Salah satu usaha untuk menghadapi cabaran perpaduan kaum ini ialah pengenalan kepada Rukunegara ke arah perpaduan rakyat yang lebih utuh. Rukunegara yang diperkenalkan selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 adalah salah satu usaha berpanjangan kerajaan untuk memastikan rakyatnya terus bersatu padu membina negara dan menyumbang ke arah kemajuan tanpa mengetepikan prinsip-prinsip yang ada di dalam rukunegara.
1. Kepercayaan Kepada Tuhan
2. Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
3. Keluhuran Perlembagaan
4. Kedaulatan Undang-undang
5. Kesopanan dan Kesusilaan
Hasil 37 tahun pengenalan Rukunegara ini maka terhasil apa yang kita kecapi hari ini berupa kegemilangan dan kemakmuran negara di mana rakyatnya tidak menegenepikan perpaduan kaum dalam pekerjaan seharian.
Menuju Malaysia Moden dan Progresif
Dalam usaha menuju Malaysia yang moden dan maju, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai dasar dan perancangan untuk memastikan jalan yang kita lalui hari ini tidak tersasar dari landasan yang sepatutnya. Pengenalan Dasar Pandang Ke Timur contohnya yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia Keempat; Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan contoh yang ideal bahawa kemajuan Malaysia haruslah beracuankan budaya ketimuran dan berbudaya Malaysia yang tersendiri. Perancangan 5 tahun Malaysia (RMK) merupakan landasan terbaik untuk merealisasikan Malaysia yang moden mengikut acuan sendiri. Berikut adalah antara tempoh pelaksanaan RMK yang telah dilaksanakan setakat ini.
1. Rancangan Malaysia Pertama: 1966 - 1970
2. Rancangan Malaysia Kedua: 1971 – 1975 : Dasar Ekonomi Baru
3. Rancangan Malaysia Ketiga: 1976 - 1980
4. Rancangan Malaysia Keempat: 1981 - 1985
5. Rancangan Malaysia Kelima: 1986 - 1990
6. Rancangan Malaysia Keenam: 1991 - 1995
7. Rancangan Malaysia Ketujuh: 1996 - 2000
8. Rancangan Malaysia Kelapan: 2001 - 2005
9. Rancangan Malaysia Kesembilan: 2006 – 2010
Kini Malaysia berada di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan – 2006-2010. Pembangunan yang pesat membangun juga membuktikan bahawa Malaysia sedang berada dalam landasan yang betul demi mencapai negara maju menjelang tahun 2020 seperti yang telah diperkenalkan di dalam Wawasan 2020. Cabaran terbesar juga adalah cabaran peralihan industri negara yang berasaskan pertanian kepada perusahaan perindustrian berat seperti perusahaan otomobil,sains dan teknologi. Ramai dikalangan rakyat Malaysia pada awal 1980-an yang tidak begitu yakin dengan keupayaan negara untuk maju dalam bidang tersebut, namun natijahnya sekarang negara telah mampu bersaing dalam menghasilkan produk otomobil seperti lahirnya kereta pertama negara Proton Saga sehinggalah kini terhasil pula generasi kedua Proton Gen-2 di mana enjinnya setanding dengan kereta import di pasaran serta kewjudan Perodua sebagai pesaing yang sihat dalam industri ini. Selain itu Malaysia juga telah mampu melibatkan diri secara aktif dalam penghasilan barangan-barangan elektronik, perubatan dan kajian sains yang mampu berdiri sama tinggi dengan hasil-hasil keluaran luar negara. Dalam bidang teknologi maklumat juga Malaysia telah mampu membina tapaknya yang tersendiri contohnya kewujudan Cyberjaya, Koridor Raya Multimedia dan satelit komunikasi MEASAT.
Antara cabaran lain yang sering dihadapi oleh Malaysia kini ialah cabaran dari segi pasaran ekonomi dan matawang yang meliputi pasaran global. Sebagai contoh di sini ialah sepertimana yang berlaku pada tahun 1997-98, krisis matawang Asia. Cabaran yang datang secara tiba-tiba ini benar-benar menguji akan keupayaan kepimpinan politik dan kebijaksaan pimpinan negara; dan untuk itu, tuah menyebelahi Malaysia, bahawa Malaysia mampu keluar dari krisis ini dengan jayanya tanpa mengharapkan bantuan atau dana kewangan dari luar. Isu terkini yang dihadapi Malaysia adalah isu ‘Free Trade Aggreement’ atau FTA, dan kali ini, adalah diharapkan tampuk pimpinan negara dapat menyelesaikannya secara bijaksana. Sayugia, terbukti bahawa cabaran Malaysia kini sudah sampai ke tahap global dan lebih mencabar dari sebelumnya. Ini semua menuntut kepada komitmen dan kebijaksaan akal setiap warganya dan bukan lagi terletak di bahu pemimpin semata-mata.
Lipatan Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, cabaran yang datang dan diharungi sepanjang 50 tahun kemerdekaan negara bukan sahaja untuk dilalui dan dilupakan akan tetapi, menuntut supaya warganya terutama generasi muda belia untuk tampil memberikan sumbangan. Cabaran belia dalam mempertahankan kemakmuran negara ini lebih besar lagi, dan lebih utama sebagai kesinambungan perjuangan generasi terdahulu. Oleh itu belia hari ini harus lebih bijaksana dan berilmu dalam menghadapai cabaran Malaysia yang mendatang. Apa yang mengagumkan juga, sudah ramai dikalangan rakyat Malaysia termasuk belia muda yang telah mengharumkan nama negara di persada dunia dengan pencapaian yang cemerlang seperti berjaya menawan puncak everest, menjadi pemidato terhebat dunia, jaguh sukan skuash dunia malah sudah ada menjadi angkasawan dan lain-lain lagi. Sematkan dalam hati belia kita untuk sentiasa terus berjasa kepada masyarakat dan meneruskan kegemilangan 50 tahun kemerdekaan negara untuk selama-lamanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan