7 Jul 2008

Memimpin, Cara Dua ‘Umar’: Untuk Pemimpin-Pemimpin Kita (2)

Islam mempunyai banyak teladan kepimpinan antaranya daripada Khalifah Umar Al-Khattab dan cicitnya, Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Pemimpin-pemimpin yang beragama Islam di Malaysia khususnya perlu belajar daripada mereka berdua kerana majoriti mereka memimpin tampuk pemerintahan negara. Akan tetapi mengapa pula Ketua Menteri Pulau Pinang (bukan Islam) yang mengakui ingin mencontohi gerak kerja Khalifah Umar bin Abdul Aziz dikatakan tidak menghormati Islam dan menghina tokoh Islam? Apakah kita selaku orang Islam pula tidak malu pada diri sendiri iaitu enggan pula mencontohi tokoh Islam malah mengangkat tokoh-tokoh pemimpin bukan Islam seperti Abraham Lincoln, Winston Churchill, Nelson Mandela, John F. Kennedy dan lain-lain? Owh, mungkinkah mereka belum kenal siapa dua Umar ini? Apa istimewa mereka berdua ini?

Suatu ketika Utbah bin Farqad, gabenor Azerbaijan pada masa pemerintahan Umar Al-Khattab telah menjamu makanan yang ditawarkan oleh rakyatnya.

Gabenor pun bertanya”Apa nama makanan ini?”.

“Namanya hasish, ia dibuat daripada kuram dan minyak sapi”, jawab salah seorang wakil rakyatnya.

“Subhanallah, sangat sedap dan manis makanan ini. Kalau kita kirim makanan ini kepada Amirul Mukminin tentu dia gembira.”, kata gabenor.

Kemudian gabenor memerintahkan rakyatnya tadi membuat makanan yang serupa tetapi lebih enak. Setelah makanan tersedia, gabenor pun memerintahkan pula utusan supaya menghantar makanan itu kepada Khalifah Umar di Madinah. Setelah tiba di Madinah, utusan tadi terus berjumpa khalifah dan khalifah pun bertanya.

“Makanan apakah ini?”

“Makanan ini namanya hasish, Makanan paling lazat di Azerbaijan.”, jawab si utusan.

Umar bertanya lagi, “Apakah seluruh rakyat Azerbaijan dapat menikmati makanan ini?”

Si utusan pun mejawab, “Tidak, tidak semua boleh menikmatinya,”.

Umar pun segera berkata dengan tegas memerintahkan utusan itu kembali ke Azerbaijan dengan makanan itu sekali serta dengan sepucuk surat kepada gabenor. Antara isi pentingnya berbunyi;

“……makanan semanis dan selazat ini bukan dibuat daripada wang ayah dan ibumu. Kenyangkan perut rakyatmu dengan makanan ini sebelum engkau mengenyangkan perutmu.”

Dikesempatan lain, pernah pula Khalifah Umar Al-Khattab berkata.

“Aku orang pertama yang merasa lapar jika rakyatku kelaparan, dan akulah orang yang terakhir merasa kenyang kalau mereka kenyang”.

Pengajaran dari episod kedua ini ialah,

  1. Umar seorang pemimpin yang sangat peduli akan nasib dan mementingkan rakyatnya daripada kemahuan dirinya. Ini dibuktikan dengan kata-kata dan perbuatan Khalifah Umar Al-Khattab sendiri dalam pemerintahannya. Akan tetapi persoalannya disini ialah, apakah ada pemimpin kita hari ini mengikut jejak langkah beliau dalam menjaga kebajikan rakyatnya. Kalau adapun, dapat kita lihat dalam mereka memberikan kebajikan kepada rakyat, tetap juga mereka memperoleh kesenangan yang melimpah banyaknya berbanding dengan apa yang rakyat perolehi. Betapa ramai lagi rakyat Malaysia yang masih serba kekurangan tetapi pegawai tinggi kerajaan mahupun pegawai di GLC masih lagi mendapat tambahan elaun keraian dan hidup dalam kemewahan. Tindakan ini langsung tidak menjaga perasaan, hati dan perut rakyat, tambah-tambah lagi dengan menaikkan harga bahan api yang turut mengakibatkan kenaikan harga barang makanan dan keperluan asas yang lain. Secara ironisnya, sikap pemimpin ketika ini dilihat justeru sebaliknya. Mereka lebih banyak berfikir bagaimana menyenangkan ketuanya berbanding memikirkan orang bawahan. Ini disebabkan mereka mahukan kesenangan sendiri kelak hasil daripada ‘perkhidmatan’ untuk ketuanya tadi.

  1. Dapat dipetik lagi dari kisah tadi ialah, Umar melarang sikap mengampu orang atasan. Tentu tiada niat buruk gabenor Azerbaijan Utbah bin Farqad untuk mengampu ketuanya. Dia hanya ingin menyenangkan hati khalifah. Tapi, Umar Al-Khattab tidak menginginkan hal itu. Dia bukan tidak mahu dihargai tetapi dia lebih mementingkan rakyatnya. Tapi kini lain pula yang terjadi, pengampu orang atasan ada dimana-mana. Yang difikirkannya adalah bagaimana jawatan yang dia ada kekal padanya dan bagaimana untuk mendapat jawatan yang lebih tinggi daripada sekarang. Ini sekali lagi akan menjadi ketidakadilan dalam kepimpinan apabila ketuanya tadi terpaksa memberi balasan atas kesenangan yang dia dapat dari si pengampu. Hasilnya kekayaan yang ada berlegar di sekiling mereka sahaja.

Akhirnya, diperlukan pemimpin yang adil dan bebas untuk memimpin umat daripada ketinggalan. Kesejahteraan yang berlaku semasa perintahan dua Umar tersebut bukan hanya lantaran meningkatkan penghasilan rakyat, tetapi tersebarnya kekayaan secara adil dan saksama. Tanpa pemimpin adil dan bertimbang rasa, kita tidak dapat berharap rakyat akan hidup sejahtera.

p/s: Umat Melayu juga pernah dibuktikan kelahiran pemimpin yang adil kepada rakyat kerana mengikuti prinsip mengutamakan kepentingan rakyat, Sultan Alauddin Riayat Shah dan Tun Abdul Razak. Jadi tidak mustahil jika ada pemimpin negara kita kini dapat melakukan sedemikian juga.

Renungan: tapi kan.. pemimpin yang sebegini selalu wafat semasa memerintah, tempoh memerintah pendek pulak tu.. (Umar Al-Khattab – 2 tahun, Umar bin Abdul Aziz – tidak sampai 3 tahun, Sultan Alauddin Riayat Shah – 7-10 tahun, Tun Abdul Razak – 5 tahun) kenapa ek?? Mungkin tandanya Allah lebih sayang kepada mereka… Wallahualam..

Kisah akan bersambung lagi…

Memimpin, Cara Dua ‘Umar’: Untuk Pemimpin-Pemimpin Kita (1)

Disini saya ingin berkongsi cerita yang pernah saya ketahui. Kisah ini sudah lama tertimbus dan terbenam serta hampir dilupakan. Kisahnya ringkas tetapi punya pengajaran dan iktibar yang sangat mendalam untuk kita hayati dan praktik bersama, lebih-lebih lagi dengan situasi politik dan kepimpinan negara yang terkini sangat membimbangkan kita. Diharap anda membaca kisah ini hingga ke akhirnya.

Kisah bermula ketika era pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, seorang Khulafa’ Ar-Rasyidin yang sangat saya kagumi. Khalifah Umar dikagumi sebagai seorang khalifah yang berjiwa rakyat, sering berjaga malam, merayau-rayau di sekitar Madinah untuk melihat keadaan rakyatnya di waktu malam.

Pada suatu ketika menjelang subuh, setelah letih merayau-rayau meneliti keadaan rakyatnya, Amirul Mukminin ini duduk bersandar pada sebuah tembok rumah kecil di hujung kota Madinah. Dia berehat seketika sebelum meneruskan perjalanannya menuju ke Masjid Nabawi untuk solat subuh, terdengar suara sayup-sayup perbicaraan dua anak beranak, si ibu dan anak puterinya. Kedengaran seperti perbalahan kecil antara keduanya.

Si ibu berkata, “Campurkanlah susu itu dengan air!”.

“Amirul Mukminin melarang susu campuran. Apakah ibu tidak mendengar dia melarang perbuatan itu?” ujar puterinya.

“Umar tidak melihat kita. Dia tidak mungkin mengetahui perbuatan kita di penghujung terakhir malam ini.”, jawab si ibu.

Kemudian puterinya menjawab lagi, “Wahai ibu, seandainya Umar tidak melihat kita, tetapi Tuhan Umar melihat kita. Sungguh demi Allah, aku tidak akan melakukannya. Allah juga melarang perbuatan itu”

p/s : Susu tersebut kegunaanya ialah untuk urusan jual beli.

Pernyataan gadis itu menjadi penyejuk bagi hati Khalifah Umar. Kemudiannya dia meneruskan perjalanannya menuju ke Masjid Nabawi untuk bersolat subuh berjemaah. Selesai solat subuh, khalifah pun pulang ke rumah. Kata-kata gadis tadi masih terngiang-ngiang di terlinganya, “Seandainya Umar tidak melihat kita, tetapi Tuhan Umar melihat kita.”

Umar pun memanggil seorang anak puteranya yang ingin berkahwin, yang bernama ‘Ashim. Lalu Umar pun berkata dengan saranan mengunjungi rumah gadis itu, “Wahai anakku, pergilah dan nikahlahi dia. Aku tidak melihatnya, kecuali mendapatkan keberkatan. Semoga dia melahirkan zuriat yang akan memimpin Arab”.

‘Ashim pun menikahi gadis miskin yang wara’ itu. Gadis itu bernama Ummu Ammarah binti Sufyan bin Abdullah bin Rabiah ats-Tsaqafi. Hasilnya,pernikahan tersebut lahirlah seorang puteri yang mereka namakan Laila, atau dipanggil Ummu ‘Ashim. Ummu ‘Ashim kemudiannya berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan. Hasil pernikahan inilah lahirlah seorang khalifah yang zuhud, bertaqwa dan wara’ iaitu Umar bin Adul Aziz. Di dalam diri Umar bin Abdul Aziz mengalir darah Umar Al-Khattab.

Pengajaran dari episod pertama ini ialah,

  1. Khalifah Umar Al-Khattab merupakan susuk khalifah Islam yang tiada tolok bandingnya dalam menjaga kebajikan rakyat. Apabila ada pemimpin yang bertaqwa dan wara’, maka akan ada juga rakyat yang bertaqwa dan wara’ seperti Ummu Ammarah tadi.

  2. Berkat. Islam mempunyai isu berkat. Isu berkat tidak diajar dalam sains, dan juga tidak dapat dibuktikan melalui kajian dalam makmal-makmal sains. Contohnya, kata doktor kepada pesakit untuk mengambil pemakanan sihat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, tetapi ia cuma terhad kepada khasiatnya sahaja sekiranya ia datang dari usaha yang haram mahupun terlarang. Lain pula dengan saranan Islam supaya mengerjakan ibadah seperti berdoa, berpuasa, berusaha mendapatkannya dari jalan yang halal, bertawakkal, dan bersolat semata-mata untuk mendapatkan keberkatan dari Allah juga. Maka, hasil daripada inilah datangnya berkat. Berkat daripada Umar Al-Khattab yang melempar jauh-jauh syirik dan bulatkan hatinya hanya kepada Allah melahirkan keturunan yang cemerlang seperti cicitnya Umar bin Abdul Aziz. Oleh itu rakyat juga sangat berharap pemimpin kita pada hari ini memikirkan dahulu soal berkat ini dalam bertindak yang akhirnya akan menguntungkan rakyat serta mengundang rahmat Allah di akhirat kelak.

Kisah akan bersambung…

1 Jul 2008

Majnun, Jin, Rasukan apa kaitannya?? Apa pula penyembuhnya?

Terdetik rasanya untuk berbicara tentang rasukan, jin dan sebagainya, kerana teringat dengan nasib seorang sahabat karib di Kuching yang kini 'menderita' akibat daripada rasukan. Moga Allah melindunginya dan menyembuhkannya. Disini saya kongsikan sebuah emel yang saya dapat suatu ketika dahulu tentang tajuk di atas.

Didalam Al-Quran banyak terdapat kalimat 'majnun' (maksudnya gila atau rasuk) yang terbit dari perkataan janna. Janna pula bermaksud menutupi dan satu-satunya ayat mengandunginya berbunyi,

"Apabila malam menutupi di atasnya, dia (Ibrahim) melihat satu bintang dan berkata, 'Ini Pemeliharaku.' Tetapi apabila ia terbenam, dia berkata, 'Aku tidak menyukai yang terbenam.'" (6:76)

Satu lagi kata terbitan bagi janna ialah jann, bermaksud jin. Ia merupakan satu daripada tiga kalimat yang apabila diterjemah menjadi jin. Sila lihat Kalimat Jin di dalam al-Qur'an.

Justeru, dalam kerasukan terdapat unsur menutupi dan pengaruh jin. Lantas orang-orang yang dirasuk didapati tidak sedarkan diri sambil melakukan sesuatu di luar kemampuan.

Percaya kepada kerasukan boleh dikatakan dapat dikesan di seluruh pelusuk dunia. Di kalangan masyarakat paling maju atau moden pun kepercayaan tersebut difahamkan hadir di sesetengah golongannya pada hari ini.

Manusia sudah lama mempercayai kerasukan. Daripada ayat-ayat al-Qur'an diketahui bahawa ia dipercayai sejak zaman Nabi Nuh lagi apabila baginda telah dikatakan dirasuk. Nabi Musa dan Nabi Muhammad juga disifatkan sebagai orang-orang dirasuk. Malah, semua rasul telah agak dirasuk sesuatu oleh kaum mereka.

Orang-orang dikatakan dirasuk, seperti disebut di dalam al-Qur'an, adalah para rasul iaitu mereka yang menyampaikan ayat-ayat Allah. Itu pertuduhan kaum mereka yang tidak menerima utusan para rasul tersebut. Di samping itu mereka dikaitkan pula dengan ahli sihir atau tukang tilik.

Ia berbeza dengan kerasukan dalam masyarakat Melayu, di mana orang-orang dirasuk tidak menyampaikan ayat-ayat Allah, tetapi bercakap yang bukan-bukan, serta berada dalam keadaan sakit, termasuk sakit jiwa, dan sama dengan al-Qur'an pula, terdapat unsur ilmu hitam, umpamanya sihir dan menilik, dilakukan oleh bomoh yang merawat.

Selain dirasuk, para rasul turut dilihat sebagai orang-orang kena sihir. Empat contoh ayat mengenainya diturunkan di bawah:

"Kami sangat mengetahui bagaimana mereka mendengarkannya, apabila mereka mendengarkan kamu, dan apabila mereka berbicara rahsia, apabila orang-orang yang zalim berkata, 'Kamu hanyalah mengikuti seorang lelaki yang kena sihir.'" (17:47)

"dan Firaun berkata kepadanya, 'Wahai Musa, aku menyangka kamu orang yang kena sihir.'" (17:101)

"Mereka berkata, 'Kamu (Salleh) hanyalah antara orang-orang yang kena sihir,'" (26:153).

"Mereka berkata, 'Kamu (Shuaib) hanyalah antara orang-orang yang kena sihir,'" (26:185).

Begitu juga keadaan orang-orang dikatakan dirasuk dalam masyarakat Melayu, mereka kelihatan bagai kena sihir.

Rasuk atau sihir dikaitkan dengan makhluk ghaib, jin dan syaitan. Mengenai jin, ia didapati mempunyai kuasa luar biasa, sebagaimana disebut di dalam ayat berbunyi,

"Ifrit, daripada jin, berkata, 'Saya akan mendatangkannya kepada kamu sebelum kamu berdiri dari tempat kamu; saya mempunyai kekuatan untuknya, dan saya dipercayai.'" (27:39)

Ifrit mengatakan dia mampu mendatangkan singgahsana Ratu Sabak dari negerinya dan meletakkan ia di hadapan Nabi Sulaiman (di Babylon) sebelum baginda bangun dari tempat duduk.

Pengaruh jin pada orang-orang dirasuk dapat dilihat apabila mereka mampu melakukan sesuatu di luar kebolehan mereka, misalan menari, melompat, menjerit, mengilai, atau bercakap dalam bahasa asing.

Golongan jin juga difahamkan membuat bisikan jahat ke dalam dada manusia. Firman Allah,

"Daripada kejahatan pembisik yang menyelinap, Yang membisikkan di dalam dada manusia, Daripada jin dan manusia." (114:4-6)

Kadang kala, orang-orang dirasuk dikatakan kena buat oleh orang lain. Lalu terbit perbuatan menuduh tanpa sebarang bukti. Demikian satu contoh bisikan jahat daripada jin dalam kes kerasukan.

Sementara golongan syaitan pula, daripada al-Qur'an, mereka didapati mengajar manusia ilmu sihir, dan bagaimana mereka boleh memecahkan seorang lelaki dan isterinya. Al-Qur'an menjelaskan,

"Dan mereka mengikuti apa yang syaitan-syaitan membacakan semasa kerajaan Sulaiman. Sulaiman bukan tidak percaya (kafir) tetapi syaitan-syaitanlah yang tidak percaya, dengan mengajar manusia sihir, ..... mereka belajar bagaimana mereka boleh memecahkan seorang lelaki dan isterinya," (2:102)

Ilmu sihir memang wujud dalam kepercayaan kerasukan orang Melayu. Contoh, benda seperti jarum, dan sebagainya, yang dikeluarkan oleh bomoh daripada tubuh orang-orang dirasuk.

Atas perbuatan syaitan mengenai lelaki dan isterinya pula, contohnya ialah keretakan sebuah rumah tangga, setelah suami berbaik-baik dengan bomoh yang merawat isterinya yang sakit (penyakit isterinya mampu dirawat oleh doktor). Keretakan menjadi serius apabila suami berkahwin seorang perempuan lebih muda dan meninggalkan isteri pertama.

Melencong sekejap untuk menyentuh mengenai sihir. Al-Qur'an menjelaskan, sihir adalah perbuatan yang menyihir mata-mata manusia, dan ia boleh menimbulkan perasaan takut. Ayat-ayat berkaitan adalah:

"Dia (Musa) berkata, 'Lemparlah kamu.' Dan apabila mereka (ahli-ahli sihir) melempar, mereka menyihir mata-mata manusia, dan menjadikan takut pada mereka, dan mendatangkan sihir yang besar." (7:116)

"Berkata, 'Tidak, kamu lemparlah!' Dan tiba-tiba ia, seolah-olah nampak kepadanya, daripada sihir mereka, tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka merayap," (20:66).

Itu kisah Nabi Musa dengan ahli-ahli sihir Firaun, di mana tongkat-tongkat dan tali-tali, pada pandangan mata, menjadi ular-ular yang merayap.

Balik kepada bicara mengenai syaitan. Makhluk ini menakut-nakutkan manusia. Lantaran itu, Allah mengingatkan supaya jangan takut kepada mereka tetapi takut kepada-Nya dan menjadi orang-orang mukmin (yang mempercayai ayat-ayat-Nya). Firman Allah,

"Itu adalah syaitan yang menakut-nakutkan sahabat-sahabatnya, maka janganlah takut pada mereka, tetapi kamu takutilah Aku, jika kamu orang-orang mukmin." (3:175)

Syaitan menggoda manusia hingga menjadi bingung. Mereka diutus kepada orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah untuk menyucuk sesuatu yang tidak baik. Sila lihat dua ayat di bawah:

"Seperti orang yang digoda hingga kebingungan di bumi oleh syaitan-syaitan," (6:71)

"Tidakkah kamu melihat bagaimana Kami mengutus syaitan-syaitan terhadap orang-orang yang tidak percaya untuk menyucuk mereka, dengan cucukan?" (19:83)

Suami yang isterinya sakit tadi telah digoda dan dicucuk hingga berkahwin baru. Sementara isterinya, semasa sakit dalam tempoh agak panjang, timbul perasaan benci terhadap suami hingga enggan melihat mukanya. Keadaan dia seolah-olah dirasuk. Bomoh yang mereka percayai mengiakannya pula. Tapi sebab sebenar ialah si suami selalu balik lambat kerana melayan orang lain termasuk perempuan-perempuan.

Syaitan akan masuk ke dalam khayalan manusia, ketika manusia memikirkan sesuatu tidak berguna. Ayat yang menjelaskan berbunyi,

"apabila dia berkhayal, syaitan melemparkan ke dalam khayalannya;" (22:52)

Kedua-dua suami isteri tadi telah dimasuki syaitan dalam fikiran atau khayalan mereka yang berlainan.

Syaitan adalah daripada golongan jin dan manusia. Firman-Nya,

"syaitan-syaitan daripada manusia dan jin," (6:112)

Justeru, apa yang agak dilakukan oleh jin tadi adalah sebenarnya perbuatan syaitan. Dan bomoh yang melakukan sihir ialah satu contoh syaitan jenis manusia. Mereka tidak harus didampingi kerana mereka, pada hakikatnya, tidak beruntung. Firman bermaksud,

"ahli-ahli sihir tidak beruntung." (10:77)

Besar kemungkinan bomoh akan menggunakan makhluk jin dalam rawatannya. Dalam hal ini, teringat satu peringatan daripada Allah berbunyi,

"Tetapi ada lelaki-lelaki tertentu daripada manusia yang meminta perlindungan kepada lelaki-lelaki tertentu daripada jin, dan mereka menambahkan mereka dalam kekejian," (72:6)

Pertolongan atau perlindungan daripada jin hanya menambahkan dalam kekejian. Tidak pula disebut di situ sama ada ia jin islam atau kafir. Apapun, islam atau kafir, hanya Allah yang mengetahui. Peringatan Allah selanjutnya mengenai hubungan manusia dengan jin berbunyi,

"Dan orang-orang yang tidak percaya berkata, 'Wahai Tuhan kami, perlihatkanlah kepada kami mereka yang menyesatkan kami, kedua-dua jin dan manusia, dan kami akan meletakkan mereka di bawah kaki kami supaya mereka menjadi antara orang-orang yang lebih rendah.'" (41:29)

Mungkin ada orang menyebut mengenai Nabi Ayub yang disentuh syaitan. Jika begitu, kini diturunkan ayat-ayat bersabit:

"Dan ingatlah akan hamba Kami, Ayub; apabila dia memanggil Tuhannya, 'Sesungguhnya syaitan menyentuhku dengan keletihan dan azab.'
'Hentakkanlah kaki kamu! Ini adalah satu tempat mandi yang dingin, dan satu minuman.'
Dan Kami memberikan dia keluarganya, dan yang serupa dengan mereka bersama mereka sebagai satu pengasihan daripada Kami, dan peringatan, bagi orang-orang yang mempunyai minda.
Dan, Ambillah di tangan kamu seikat rumput, dan pukullah dengannya, dan janganlah melanggar sumpah kamu.' Sesungguhnya Kami mendapati dia seorang yang sabar. Seorang hamba yang sangat baik! Sesungguhnya dia orang yang kembali." (38:41-44)

Ayat-ayat tidak menunjukkan bahawa Nabi Ayub dirasuk. Cuma disentuh syaitan sahaja. Mungkin baginda telah membuat suatu kesilapan terhadap Allah, seperti tidak menepati sumpah, akibat sentuhan syaitan, serupa penggodaannya terhadap Adam dan isteri. Lalu, seperti Adam dan isteri, baginda dihukum, bukan dengan dibuang negeri tetapi dengan keletihan, kesakitan, dan kehilangan ahli keluarga.

Yang menarik perhatian ialah air dari bumi untuk baginda mandi dan minum supaya menyembuhkan sentuhan syaitan.

Terapi air bagi sesetengah jenis perubatan atau rawatan adalah satu cara dalam proses penyembuhan. Al-Qur'an ada menyebut lagi mengenai air, iaitu air dari langit, untuk menghilangkan kecemaran syaitan. Ayat berbunyi,

"Apabila menjadikan tidur nyenyak menutupi kamu sebagai keamanan daripada-Nya, dan menurunkan kepada kamu air dari langit untuk membersihkan kamu dengannya, dan untuk menghilangkan daripada kamu kecemaran syaitan, dan untuk menguatkan hati kamu, dan untuk memperteguhkan kaki kamu dengannya." (8:11)

Konteks ayat ialah semasa perang. Pun begitu, mungkin kandungannya mengenai air dan tidur nyenyak boleh dipakai untuk rawatan bagi menghilangkan kecemaran syaitan. Tentang air dari langit adalah dirasakan tidak begitu perlu menadah air hujan kerana air paip pun dari langit juga.

Golongan manusia yang kerap dilanda kerasukan adalah mereka yang mempercayainya lebih daripada mempercayai Allah dan kuasa-Nya. Mereka takut kepada syaitan lebih daripada menakuti Allah. Mulut mereka tidak sunyi menyebut mengenai rasuk, buatan orang, dan seumpamanya, terutama apabila sesuatu berlaku kepada ahli keluarga atau kenalan. Sebutan menjadi basahan lalu mudah bagi syaitan jenis jin dan manusia mengambil kesempatan.

Kerasukan berlaku hanya dengan izin Allah. Maka kepada-Nya dipohon perlindungan, iaitu perlindungan daripada syaitan. Lafaz yang diajar-Nya ialah:

"Wahai Pemeliharaku, aku berlindung pada Engkau daripada cadangan-cadangan jahat syaitan-syaitan,
Dan aku berlindung pada Engkau, wahai Pemeliharaku, daripada mereka hadir padaku.'" (23:97-98)

Perlindungan yang dipohon adalah daripada cadangan-cadangan jahat syaitan-syaitan, dan daripada mereka hadir pada diri si pemohon.

Dua surah al-Qur'an terakhir turut mengandungi permohonan perlindungan daripada Allah. Tentang perlindungan yang dipohon adalah jelas disebut di dalamnya. Mereka berbunyi,

"Aku berlindung pada Pemelihara yang membelahkan (pada waktu dinihari),
Daripada kejahatan apa yang Dia cipta,
Daripada kejahatan kegelapan apabila ia gelap,
Daripada kejahatan orang (perempuan) yang meniup pada ikatan,
Daripada kejahatan pendengki apabila dia dengki." (113:1-5)

"Aku berlindung pada Pemelihara manusia,
Raja manusia,
Tuhan manusia,
Daripada kejahatan pembisik yang menyelinap,
Yang membisikkan di dalam dada manusia,
Daripada jin dan manusia." (114:1-6)

Namun begitu, perlindungan yang paling baik ialah percaya kepada ayat-ayat Allah yang terkandung di dalam al-Qur'an, serta mengamalkannya, supaya Dia tidak mengutus syaitan-syaitan kepada kita.

Dengan peringatan itu bicara mengenai rasuk dan penyembuhnya berakhir, dan penulis sedia dibetulkan.

Terima kasih. Wallahua'lam.